Bahaya clostridium botulinum

Foto

Clostridium botulinum adalah sejenis bakteria dalam kumpulan gram-positif. Ia bakteria yang biasanya terdapat pada tanah yang tercemar dan gemar kepada persekitaran yang tidak mempunyai oksigen atau kadar oksigen yang rendah.

Bakteria ini sangat berbahaya kerana ia menghasilkan toksin boleh menyerang terutama saraf manusia. Satu kilogram toksin ini boleh memusnahkan seluruh populasi manusia. Akan tetapi, toksin ini juga digunakan dalam industri penghasilan botoks.

Bakteria ini boleh hidup lama dan bertahan dalam persekitaran yang berbeza. Ia boleh hidup dalam suhu terlalu panas melepasi suhu mendidih dan juga boleh kekal hidup dalam persekitaran yang sejuk.

Oleh itu, kuman ini amat sukar untuk dimatikan. Clostridium botulinum boleh menjangkiti manusia dengan pelbagai cara sama ada melalui makanan yang tercemar atau luka pada kaki terkena tanah yang mempunyai kuman itu.

AWASI susu yang anak anda minum dan pastikan ia tidak dicemari bakteria berbahaya.

Baru-baru ini, sebuah syarikat penghasilan susu tepung di New Zealand telah menarik balik produk yang dihasilkannya kerana dipercayai telah tercemar dengan clostridium botulinum.

Kuman ini dipercayai telah mencemari protein susu tepung berkenaan melalui paip yang terbabit dalam salah satu proses penyediaan susu tepung iaitu penghasilan dadih atau whey protein concentrate (WPC80). Kandungan WPC80 ini turut digunakan oleh syarikat pengedaran susu tepung di Malaysia.

Clostridium botulinum ini boleh kekal dan hidup dalam susu tepung berkenaan bagi tempoh yang lama disebabkan sifat bakteria ini yang mempunyai daya tahan yang tinggi.

Bagaimanapun ia tidak menghasilkan toksin sehinggalah mula membiak menjadi spora. Proses pembiakan ini adalah bentuk aktif bakteria yang menghasilkan toksin berbahaya.

Ia terjadi apabila bakteria itu berada dalam persekitaran kurang oksigen dan kurang berasid seperti ketika ia dibancuh dengan air dan ketika berada dalam perut bayi.

Apabila kuman ini membiak menghasilkan spora dan merembeskan toksin yang boleh menjejaskan fungsi saraf, ini dipanggil botulisme. Gangguan saraf biasanya bermula dari otak dan seterusnya membabitkan saraf pada tangan dan akhirnya saraf pada anggota bawah badan.

Simptom pada peringkat awal ialah tidak hadam seperti loya, muntah, cirit birit dan sakit perut. Seterusnya membabitkan mulut kering, penglihatan menjadi kabur, diikuti mata menjadi kuyu, percakapan menjadi tidak terkawal, susah menelan, lemah anggota tangan, kesukaran bernafas, lemah anggota kaki dan akhirnya kematian disebabkan oleh otot pernafasan yang lumpuh.

Buat masa ini, tiada lagi kes bayi yang dijangkiti kuman clostridium botulinum dilaporkan. Akan tetapi, beberapa langkah perlu diambil untuk mengelakkan daripada jangkitan ini berlaku.

Senarai susu tepung yang menggunakan WPC80 dari New Zealand telah diuar- uarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan menerusi laman web rasminya.

Oleh itu, bagi ibu bapa yang menggunakan susu tepung berkenaan, hendaklah berhenti menggunakannya dan menukar dengan susu tepung lain yang banyak terdapat di pasaran. Jika terdapat tanda awal jangkitan, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.