Cecair dalam paru-paru

Paru-paru manusia dilapisi lapisan pleura yang memisahkan antara paru-paru dan tulang rusuk manusia pada bahagian luar anggota pernafasan kita. Paru-paru berair ialah istilah yang digunakan jika terdapat pengumpulan cecair di dalam rongga pleura ini.

Pengumpulan cecair adalah keadaan tidak normal yang boleh disebabkan oleh pelbagai punca. Ini akan mengakibatkan bekalan oksigen menjadi berkurangan akibat cecair itu yang menghimpit paru-paru dari luar dan akhirnya tidak dapat mengembang dengan sempurna.

Kebanyakan pesakit hanya menyedari paru-paru mereka bertakung dengan air jika jumlah cecair itu melebihi 300 mililiter iaitu kira-kira separuh daripada botol mineral kecil.

Pesakit akan mengalami sesak nafas, sakit dada dan pernafasan menjadi semakin laju. Jika ia disebabkan oleh jangkitan, pesakit akan mempunyai simptom seperti batuk dan juga demam. Selain itu, pesakit juga mungkin mempunyai masalah bengkak pada kaki dan perut menjadi buncit jika cecair berkumpul pada bahagian badan yang lain.

Pemeriksaan klinikal oleh pegawai perubatan dapat mengenalpasti masalah ini. Ujian sinaran X pula dapat mengesahkan terdapat pengumpulan cecair pada rongga pleura berkenaan atau dipanggil paru-paru berair.

Cecair itu perlu dihantar untuk analisis bagi mengenal pasti punca agar rawatan yang sesuai dapat diberi. Ia dapat dilakukan dengan memasukkan jarum pada kawasan selamat di celah tulang rusuk dan terus ke arah kawasan yang mempunyai pengumpulan cecair berkenaan.

Terdapat dua sebab utama berlakunya pengumpulan cecair ini. Sebab pertama ialah transudat. Keadaan di mana perubahan cecair dalam salur limfa dalam rongga itu menyebabkan cecair terkeluar dalam saluran seterusnya bertakung dalam rongga pleura.

Contoh seperti lemah jantung, masalah hati kronik dan juga buah pinggang dipanggil Sindrom Nephrotik. Selain itu, kurang protein dalam badan dan dialisis juga antara punca bagi keadaan jenis ini.

Sebab kedua ialah lelehan atau rembesan daripada kawasan radang yang berlaku pada paru-paru yang dipanggil eksudat. Jangkitan paru-paru seperti pneumonia, tuberculosis (TB), kanser paru-paru, kecederaan pada paru-paru, masalah auto-imun dan juga paru-paru tersumbat atau pulmonary embolism adalah antara punca yang menyebabkan berlakunya paru-paru berair. Kedua-duanya ini dapat dibezakan melalui pengambilan sampel cecair itu.

Ini adalah penting untuk membantu rawatan dan menentukan rawatan yang sesuai bagi penyebab yang berbeza. Contohnya, ubat antibiotik hendaklah diberikan jika ia disebabkan oleh jangkitan kuman. Rawatan anti-TB (tuberculosis) perlu diberikan untuk tempoh enam bulan jika disahkan TB. Akan tetapi, terdapat juga keadaan di mana cecair ini berterusan terkumpul dan agak sukar dikawal.

Oleh itu pilihan lain ialah memberikan suntikan atau melakukan pembedahan khas pada kawasan yang bertakung agar cecair tidak lagi berkumpul pada kawasan itu.

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.