Derita kencing tidak terkawal

Foto

Oleh Norainon Othman

Kebocoran kencing akibat inkontinens tekanan (stress incontinence) biasanya dialami warga tua, individu yang mengalami keadaan yang menyebabkan kenaikan tekanan terhadap pundi kencing seperti batuk kronik dan masalah sembelit, serta yang mempunyai berat badan berlebihan.

Bagi wanita, masalah ini sering dikaitkan dengan mereka yang melalui proses bersalin traumatik, melahirkan ramai zuriat dan menjalani pembedahan membuang rahim.

Lelaki jarang mengalami masalah kencing tidak terkawal. Kalau ada pun, penyakit ini biasanya dialami mereka yang selesai menjalani pembedahan prostat, radioterapi untuk kanser prostat dan yang mengalami kecederaan saraf tunjang.

Pembedahan untuk masalah prostat kadangkala boleh menyebabkan kerosakan saraf di sekeliling prostat dan menjadi punca penyakit lemah kawalan kencing.

PEMBEDAHAN prostat boleh menyebabkan kerosakan saraf dan menjadi punca penyakit lemah kawalan kencing.

Masalah ini lebih kerap berlaku dalam pembedahan kanser prostat berbanding pembedahan untuk masalah bengkak prostat.

Pakar Perunding Urologi, Dr Warren Lo Hwa Loon berkata, lelaki yang mengalami kecederaan pada saraf tunjang akibat kemalangan, penyakit atau kanser saraf tunjang, pembedahan saraf tunjang atau mereka yang dilahirkan dengan kecacatan saraf tunjang cenderung mengalami masalah kebocoran kencing.

Kebanyakan lelaki yang mengalami inkontinens tekanan akan mengadu mereka mengalami kebocoran apabila melakukan aktiviti berat, ketawa, bersin atau mencangkung. Kadangkala, inkontinens tekanan dikaitkan dengan jangkitan kuman bahagian saluran kencing, katanya.

Ia penting untuk membezakan inkontinens tekanan (stress incontinence) dengan kebocoran akibat pundi kencing yang terlalu aktif (urge incontinence) dan kebocoran akibat limpahan pundi kencing (overflow incontinence) kerana simptom dan rawatan antara masalah berkenaan begitu berbeza.

Punca kebocoran kencing:

1) Berat badan berlebihan atau usia meningkat yang menyebabkan otot pelvik lemah.

2) Pembedahan membuang prostat yang membesar, membabitkan satu hingga tiga peratus (%) kes (disebabkan kecederaan saraf pelvik yang mungkin berlaku ketika pembedahan).

3) Selepas pembedahan kanser prostat, membabitkan 3% hingga 43% (juga disebabkan kecederaan saraf pelvik).

4) Selepas radioterapi untuk kanser prostat, membabitkan 1% hingga 16%.

5) Kecederaan saraf tunjang – saraf tunjang penting untuk mengawal semua pergerakan. Kerosakan saraf tunjang mengakibatkan kegagalan mengawal pundi kencing dan masalah hilang daya kawalan kencing.

Saraf tunjang rosak bukan saja boleh mengakibatkan masalah kawalan kencing, juga menyebabkan kelemahan ereksi dan masalah buang air besar.

Masalah ini biasanya dihadapi golongan muda, misalnya yang terbabit kemalangan jalan raya dan mengalami lumpuh.

Cara pesakit dinilai:

  • Mencari punca kencing tidak terkawal.
  • Tahap kebocoran kencing (kekerapan menukar lampin dan bilangan lampin dipakai).
  • Menentukan sama ada wujud masalah kecederaan saraf tunjang.
  • Perlu menilai jika wujud kencing kotor, darah dalam kencing, kanser pundi kencing atau halangan dalam aliran pundi kencing akibat batu karang atau prostat yang besar.
  • Masalah sosial/rasa malu dihadapi disebabkan kebocoran kencing.

Masalah berkaitan kebocoran kencing:

  • Mudah mengalami jangkitan kuman. Apabila sering mengalami kebocoran kencing, pesakit akan dipakaikan lampin pakai buang. Air kencing biasanya terperap beberapa jam yang menyebabkan keadaan kotor, jangkitan kuman atau luka kulit punggung.
  • Tidak ekonomi – kos menggunakan lampin pakai buang mahal.
  • Bebanan kepada keluarga yang menjaga pesakit.
  • Bau kencing menyebabkan pesakit hilang keyakinan diri. Mereka mengelak bergaul dengan orang ramai.
  • Tidur tidak lena (perlu kerap menukar lampin).

Rawatan:

  • Rawatan kebocoran kencing dengan ubat kurang berkesan.
  • Lakukan senaman – fisioterapi untuk menguatkan otot pelvik.
  • Ramai lelaki menggunakan kaedah penile clamp (pengepit zakar) di tengah zakar bagi mengurangkan pengeluaran air kencing. Pengepit zakar boleh menyebabkan zakar melecet.
  • Kurangkan berat badan.
  • Elakkan merokok.
  • Pembedahan – jika fisioterapi tidak berkesan, kaedah lain boleh digunakan iaitu male sling (sling lelaki) dan artificial urinary sphincter (sphincter kencing tiruan)

Sling lelaki: pita dimasukkan ke dalam sekeliling saluran kencing untuk mengetatkan saluran kencing secara berterusan. Pesakit mudah menguruskan buang air kecil apabila ingin berbuat demikian. Kaedah itu boleh membetulkan anatomi pelvik lelaki ke posisi asal. Pita ini memang sesuai di dalam badan dan tidak menyebabkan sebarang masalah.

Kaedah ini sesuai untuk mereka yang mengalami kebocoran tahap ringan atau sederhana. Sekiranya seseorang mengalami kebocoran teruk seperti paip air, kaedah ini tidak sesuai.

  • Tahap kejayaan – melebihi 90%

Sphincter kencing tiruan: rangkai sentiasa dipenuhi dengan air untuk menutup saluran kencing. Apabila hendak membuang air kecil, pesakit perlu memicit pam untuk mengepam air ini ke arah takungan. Ini akan membuka saluran kencing dan membolehkan air kencing dari pundi mengalir keluar. Selepas dua minit, air dari takungan akan kembali ke rangkai dan menutup saluran kencing. Ia digunakan oleh pesakit yang mengalami kebocoran kencing yang serius.

  • Tahap kejayaan – melebihi 90%

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.