Diet harian wanita hamil

Foto

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Setiap ibu pasti mempunyai memori ketika hamil dan melahirkan bayi lebih-lebih lagi jika anak pertama. Ada yang berpendapat, saat hamil adalah saat paling indah dalam hidup seorang wanita.

Begitu juga ketika saat melahirkan. Meskipun perit dan sakit, namun perasaan itu akan hilang sekelip mata selepas mendakap dan melihat buah hati mereka.

Bagi yang pertama kali bakal bergelar ibu, pasti tertanya-tanya apakah nutrisi atau sumber tenaga tambahan yang perlu diambil sebagai bekalan tenaga sepanjang tempoh kehamilan.

Menurut Perunding Nutrisi, Indra Balaratnam berkata, cara terbaik untuk mendapatkan bekalan nutrisi diperlukan adalah dengan mengikuti panduan pengambilan diet harian berdasarkan piramid pemakanan Malaysia.

Bukan jumlah makanan yang perlu diberi perhatian sebaliknya kualiti nutrisi perlu diberi keutamaan. Menikmati makanan lima kali sehari dalam kuantiti berpatutan lebih baik sekiranya ia dilakukan dengan betul, katanya.

Pilihan untuk menggabungkan sayur-sayuran, bijirin penuh dan kekacang, protein tanpa lemak dalam pemakanan sebelum dan ketika hamil akan memberikan bayi permulaan yang kukuh dalam kehidupan mereka.

Ibu hamil memerlukan lebih tenaga, protin, kalsium, asid folik dan zat besi. Manakala makanan yang perlu dielak adalah seperti terlalu banyak mengambil kafein, barangan mentah dan lain-lain.

Untuk bekalan tenaga, ibu hamil disarankan mengambil makanan yang mengandungi protein misalnya daging, ayam, ikan, tofu, telur dan produk tenusu.

Bagi sumber zat besi pula, ibu hamil perlu mengambil kekacang, gandum dan sayuran hijau. Kekurangan zat besi ketika hamil boleh menyebabkan kelahiran bayi pramatang atau berat bayi terlalu rendah.

Untuk kalsium pula seperti yogurt, ikan kecil, keju dan kekacang. Ia turut membantu badan mengawal cecair serta membantu untuk membina tulang dan gigi bayi tanpa menjejaskan keperluan kalsium itu sendiri sendiri.

Keperluan harian kalsium ketika hamil adalah 1,000 miligram sehari. Manakala untuk asid folik pula seperti buah-buahan, kubis, sayuran warna hijau gelap, salad dan telur. Asid folik penting untuk pembentukan saraf tunjang bayi dan jumlah disarankan adalah 600 mikrogram ketika hamil, katanya.

Jelasnya lagi, jumlah keperluan tenaga (kalori) bagi ibu hamil berbeza untuk setiap trimester kerana ia makin bertambah bersesuaian dengan perkembangan tumbesaran bayi dalam kandungan.

Bagi trimester (tempoh tiga bulan) pertama ibu memerlukan kira-kira 2,000 kalori dalam setiap hidangan. Trimester kedua pula ibu perlukan 2,400 kalori dalam setiap hidangan.

Manakala trimester ketiga pula ibu memerlukan 2,650 kalori dalam setiap hidangan.

Pada masa sama, elakkan pengambilan alkohol, makanan dan minuman berkafien seperti kopi, teh serta coklat dan makanan mentah. Elakkan penyediaan makanan tidak bersih juga elakkan makanan tambahan berasaskan herba.

Menurut Indra, mengidam ataupun keinginan wanita hamil terhadap bentuk makanan tertentu juga perkara normal. Ia dialami dalam tempoh kehamilan berbeza dalam kalangan wanita.

Mengidam ialah perkara biasa dan tidak membahayakan jika si ibu dapat mengawalnya.

Penting untuk menikmati hidangan yang mampu membekalkan nutrisi diperlukan bayi dalam kandungan dan tidak mengambil makanan terbabit secara berlebihan sekiranya mengetahui ia tidak memberikan sebarang kebaikan, katanya.

Cara tangani alahan

Alahan

  • 50 peratus ibu hamil biasanya mengalami loya dan muntah. Ibu perlu makan secara berkala dengan hidangan yang kecil
  • Perlu mendapatkan masa rehat mencukupi untuk mengelakkan badan terlalu letih.
  • Halia mampu membantu mengurangkan rasa loya. Caranya dengan meminum jus perahan halia bersama air suam dan madu

Pedih ulu hati

  • Ini disebabkan pengembangan saiz rahim yang mengakibatkan pengaliran cecair dalam perut ke dalam esofagus berlaku dengan pantas
  • Elakkan pengambilan makanan pedas serta berminyak. Jangan terus berbaring selepas makan

Sembelit

  • Sering berlaku pada usia kandungan berada di trimester ketiga kehamilan
  • Tingkatkan pengambilan makanan yang mengandungi serat dan minum banyak air
  • Lakukan senaman ringan seperti berjalan untuk mengurangkan kesan masalah terbabit

Kejang kaki

  • Kekurangan nutrien, ketidakseimbangan elektrolit dalam badan, kekejangan serta penambahan berat badan

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.