ED bukan sebab usia meningkat

Foto

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Disfungsi erektil (ED) atau mati pucuk kini antara masalah berkaitan seks paling umum di Malaysia dan dialami kira-kira 16 hingga 47 peratus lelaki di Malaysia.

Keadaan ini semakin ditakrifkan sebagai masalah perubatan serius yang memerlukan perhatian dan rawatan segera. Walaupun punca asas ED mula muncul seiring peningkatan usia, ED sebenarnya bukan disebabkan masalah penuaan semata-mata.

Baru-baru ini, satu tinjauan kaji selidik dinamakan The H4rd Poll membabitkan lelaki dan wanita Malaysia berusia 25 hingga 44 tahun mendapati, ED dan ereksi suboptimum atau kurang tegar menjadi kelaziman dalam kalangan lelaki muda berusia 20 tahun, dengan punca utama masalah itu dikaitkan dengan gaya hidup tekanan tinggi, keadaan fizikal kurang baik dan aktiviti lewat malam.

Ini bermakna ada keperluan segera untuk melaksanakan inisiatif menangani kejadian ED yang semakin meningkat dalam kalangan lelaki muda.

Kempen Get H4rd adalah sebahagian daripada usaha pendidikan terbaru Pfizer Malaysia mengenai kesihatan lelaki demi mewujudkan kesedaran bahawa ED dan ereksi suboptimum adalah masalah kesihatan yang semakin dialami lelaki berusia 30-an disebabkan amalan gaya hidup moden.

Kempen ini menyeru golongan lelaki supaya prihatin mengenai kesihatan seks mereka dan mendapatkan rawatan sewajarnya bukan semata-mata untuk kepuasan seks tetapi sebagai pendekatan menyeluruh bagi meningkatkan kesihatan jasmani.

Ini kerana ED lazimnya adalah petanda bagi penyakit gaya hidup lain, termasuk kencing manis, sakit jantung dan hipertensi.

Pakar Perunding Urologi Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Prof Dr George Lee berkata, The H4rd Poll ialah tinjauan kaji selidik bagi menilai persepsi generasi muda, lelaki dan juga wanita mengenai isu berkaitan kehidupan seks masing-masing, termasuk meninjau kesedaran mengenai ED dan ereksi kurang suboptimum dan sikap mereka terhadap rawatan.

Hasil tinjauan kaji selidik itu mengejutkan dan membolehkan bantuan lebih khusus diberi kepada orang ramai bagi menangani masalah kebimbangan mereka mengenai isu ini, katanya ketika ditemui di Restoran Busaba, Bangsar, baru-baru ini.

ED ditakrifkan sebagai kegagalan mencapai atau mengekalkan ereksi yang cukup tegang untuk hubungan seks. Ia juga bermaksud ketidakupayaan penuh untuk mencapai ereksi, keupayaan tidak konsisten untuk berbuat demikian, zakar kurang tegang atau kecenderungan mencapai ereksi buat seketika saja.

Meskipun masalah ini lebih lazim dalam kalangan generasi muda, 47 peratus daripada responden tinjau selidik mendapati, mereka kurang mengetahui masalah ini dan kesannya terhadap kesihatan dan hubungan intim mereka.

Kempen Get H4rd menggalakkan mereka mula berbincang demi mewujudkan kesedaran mengenai penyakit dan menekankan betapa pentingnya mendapatkan rawatan.

Pun begitu, mendapatkan rawatan bukan bermakna merujuk kepada sumber sampingan seperti Internet atau penjual ubat di tepi jalan bagi mengelak rundingan perubatan disebabkan rasa malu.

Golongan lelaki perlu berbincang dengan penyedia khidmat penjagaan kesihatan mereka untuk mendapatkan ubat sewajarnya.

Tunggak rawatan ED ialah perencat PDE-5 dan walaupun banyak laman web menawarkan rawatan ED, kebanyakannya dikendalikan pihak tidak bertanggungjawab.

Ada berita melaporkan penipuan oleh farmasi maya yang menawarkan ubat tiruan atau ubat tidak berkesan yang boleh memudaratkan.

Kebimbangan mengenai keselamatan dan kekurangan maklumat berkaitan risiko, penggunaan dan keberkesanan rawatan ED antara sebab utama diberi oleh 60 peratus responden lelaki tinjau selidik, seterusnya menyebabkan mereka enggan mendapatkan rawatan.

Turut hadir, Pakar Perunding Urologi Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, Dr Peter Ng Eng Pin yang turut menyentuh mengenai langkah diambil lelaki untuk merawat masalah mereka.

Lelaki yang mengesyaki mereka mengalami ED dan ereksi suboptimum perlu mendapatkan nasihat doktor. Langkah pertama ialah menilai tahap masalah mereka dan selepas menentukan pelan rawatan terbaik, menjalani rawatan dengan perencat PDE-5 serta aktiviti menyihatkan akan membantu mereka kembali mencapai ereksi optimum.

Malangnya, di Asia, perbincangan mengenai ED dan kesihatan berkaitan seks masih dianggap subjek yang patut dijauhi penyedia khidmat penjagaan kesihatan kerana kesan sosial penyakit itu dan pandangan lelaki mengenai isu ini. Kekurangan perbincangan mengenai ED dan ereksi suboptimum perlu diberi perhatian bagi menggalakkan lebih ramai lelaki mendapatkan rawatan untuk masalah dialami, katanya.

Sementara itu, Pengarah Perubatan Pfizer Malaysia, Dr Vicknesh Welluppillai berkata, rawatan ED ditemui 15 tahun lalu dan membuka lembaran baru dalam pengurusan penyakit ini.

Pfizer berbangga memainkan peranan dalam kemajuan perubatan ini dan beriltizam mewujudkan kesedaran serta mendidik mengenai penyakit ini.

Namun, setakat ini golongan lelaki masih was-was dan malu untuk membincangkan isu ini dengan doktor, meskipun ia menjejaskan kualiti hidup mereka.

Mereka terus menderita dalam diam dan tindakan itu menjejaskan kesihatan secara keseluruhan, katanya.

Vicknesh berkata, pihaknya menganjurkan kempen kesedaran berterusan bagi mengetepikan halangan komunikasi bagi lelaki. Isu ED kini semakin serius, terutama dengan peningkatan masalah ini dalam kalangan lelaki muda.

Berdasarkan kajian dan penyelidikan dijalankan baru-baru ini, kita perlu terus berganding bahu dengan penyedia khidmat penjagaan kesihatan untuk menangani masalah ini, katanya.

Menerusi pendidikan sewajarnya serta usaha mengubah tanggapan mengenai ED daripada sejenis penyakit orang tua kepada penyakit gaya hidup, golongan lelaki akan lebih terbuka untuk menerima dan mendapatkan rawatan, seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Rumusannya, lebih tegar ereksi, lebih sihat lelaki. Justeru, sedarilah kepentingan ereksi yang tegar dalam hidup dan kaitannya dengan kehidupan sihat.

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.