Soaljawab: Gangguan kulat di faraj semasa hamil

Saya hamil anak kedua dan kandungan saya sudah menjangkau lapan bulan. Saya mengalami keputihan yang keluar daripada faraj. Saya tidak pernah mengalami masalah sebegini semasa kehamilan pertama. Untuk pengetahuan doktor, saya juga tidak mengalami masalah perubatan yang lain. Masalah keputihan ini menggusarkan saya. Saya juga selalu mengalami kegatalan pada celah paha. Mohon doktor bantu saya. Terima kasih.

* Neena, Kuala Lumpur

Jawapan

Keputihan atau lelehan faraj yang lebih banyak daripada biasa adalah normal bagi wanita hamil. Lelehan yang sihat bersifat cair dan berwarna jernih dan keputihan. Tetapi jika anda mengalami pengeluaran lelehan yang pekat, berwarna putih seperti susu yang sudah basi dan berkeladak, maka penyebab biasa adalah disebabkan oleh jangkitan sejenis kulat. Simptom lain yang mungkin dialami adalah kegatalan pada faraj dan celah paha, sakit atau warna kemerah-merahan di dalam atau sekeliling faraj. Ada juga wanita yang merasa sakit apabila membuang air kecil.

Punca

Jangkitan pada bahagian faraj agak biasa berlaku semasa hamil. Keputihan diakibatkan oleh kulat mikroskopik atau yis yang dipanggil candida albicans. Kulat ini ada dalam badan setiap orang. Biasanya kulat ini hidup dalam faraj tanpa memudaratkan dan anda mungkin tidak sedar bahawa ia berada dalam badan anda.

Namun keadaan ini imbangan antara jumlah kulat dan mikroorganisme lain dalam badan. Anda lebih berkemungkinan mengalami keputihan jika, anda hamil. Semasa hamil, faraj anda mengandungi glukosa yang tinggi yang dipanggil glikogen, dan ini menggalakkan pertumbuhan kulat.

Seseorang wanita juga mudah mengalami masalah ini jika mereka suka memakai pakaian yang ketat atau yang diperbuat daripada bahan sintetik, seperti seluar jeans atau seluar dalam daripada nilon. Pakaian seperti ini panas dan menghalang peredaran angin dan menggalakkan pertumbuhan kulat tersebut.

Penyebab lain adalah jika anda menggunakan mandian buih wangi atau pelapik seluar dalam beraroma yang mungkin menyebabkan ketidakselesaan atau mungkin disebabkan anda mengambil antibiotik. Antibiotik boleh mengganggu keseimbangan di antara mikroorganisma baik dan jahat yang berada di dalam perut anda. Bagi wanita mengalami diabetes yang tidak dikawal dengan baik juga biasa mengalami masalah sebegini.

Walaupun keputihan tidak dikategorikan sebagai penyakit yang berjangkit melalui hubungan seksual, anda boleh mengalaminya jika pasangan anda mengalaminya.

Berjumpa doktor

Jika anda rasa anda mengalami keputihan, beritahulah doktor anda. Jangan menderita bersendirian. Usah gusar. Doktor anda mungkin akan memeriksa kawasan di sekitar faraj untuk mengenalpasti masalah sebenarnya. Jika beliau tidak pasti sama ada itu adalah keputihan, beliau akan melakukan ujian, di mana sedikit cairan akan diambil daripada faraj dan dihantar ke makmal.

Doktor anda mungkin akan mempreskripsikan ubat jenis pessari atau krim anti kulat yang sesuai digunakan semasa hamil. Anda mungkin memerlukan rawatan penuh selama lima hingga tujuh hari untuk menghapuskan keputihan dengan sempurna. Jika anda diberikan ubat jenis pessari, anda juga mungkin diberi alat untuk memasukkan ubat itu ke dalam faraj. Jika ini berlaku, berhati-hati supaya tidak memberi tekanan kepada rahim, iaitu bahagian leher rahim (uterus) anda. Anda juga boleh memasukkannya dengan perlahan-lahan menggunakan jari sendiri.

Keputihan boleh jadi sukar untuk dihapuskan apabila anda hamil. Rawatan yang berkesan bagi wanita yang tidak hamil mungkin tidak berkesan pada anda. Bincanglah dengan doktor anda sebelum menggunakan apa-apa ubat yang boleh dibeli di pasaran. Ubat bukan sahaja mahal, malah tidak semestinya berkesan dan mungkin tidak sesuai digunakan semasa hamil.

Kesan ke atas bayi

Bayi anda selamat dan terlindung di dalam rahim dan tidak terjejas sama sekali. Jika anda mengalami jangkitan semasa anda sakit bersalin, ada sedikit kemungkinan yang bayi anda akan dijangkiti apabila melalui faraj anda ketika keluar daripada rahim.

Jika bayi anda yang baru lahir mengalami keputihan, anda akan melihat tompokan putih di mulutnya. Jika anda menyusu badan, kedua-dua ibu dan bayi memerlukan rawatan kerana keputihan ini boleh merebak ke payu dara.

Anda mungkin mendapati keputihan datang dan pergi sepanjang kehamilan. Walaupun ia mengambil masa untuk dihapuskan dan agak tidak selesa, ia bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan sangat. Oleh itu jangan runsing. Perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan perawatan yang sewajarnya.

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.