Gaya hidup punca tidak subur

Foto

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Memiliki anak adalah pelengkap dalam sesebuah perkahwinan. Namun tidak semua pasangan yang berkahwin bernasib baik berpeluang memilikinya disebabkan pelbagai faktor.

Antaranya masalah ketidaksuburan yang semakin menjadi isu hangat ketika ini. Perubahan gaya hidup dan tekanan antara faktor menyebabkan masalah ini semakin berleluasa.

Bagi meningkatkan kesedaran orang awam terhadap masalah ini, Persatuan Teknologi Reproduktif Malaysia (MSART) dengan sokongan Merck Serono, melancarkan kempen Hope For A Child iaitu inisiatif kesedaran penyakit untuk memberi kesedaran mengenai ketidaksuburan dan panduan serta maklumat pilihan rawatan bagi mereka yang inginkan sebuah keluarga.

Ketidaksuburan menghalang seseorang merealisasikan matlamat hidup yang penting iaitu menjadi ibu atau bapa kepada anak, hasil daripada sesuatu hubungan. Dianggarkan 9.6 peratus pasangan menghadapi masalah ini.

DAPATKAN berat badan ideal dengan diet seimbang bagi memperkukuhkan keksihatan reproduktif.

Di rantau Asia Pasifik, jumlah kadar kesuburan menurun kepada kadar penggantian populasi sebanyak 2.1 peratus. Di Asia, angka ini lebih rendah disebabkan batasan sosial dan peribadi yang berterusan serta pengetahuan terhad mengenai kesuburan dan akses kepada rawatan.

Presiden MSART, Dr Su- rinder Singh berkata, kempen Hope For A Child diadakan bagi meningkatkan kesedaran terhadap subjek yang jarang dibincangkan.

Kami berharap kempen ini memberi pendedahan mengenai ketidaksuburan serta mendidik pasangan yang tidak subur berkenaan perkara berkaitan kesihatan mereka.

Dengan meningkatkan pendidikan orang ramai terhadap ketidaksuburan, kami berharap pasangan yang mengalami situasi seumpama ini akan mendapatkan nasihat doktor dan menjalani rawatan perubatan yang sesuai, katanya ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.

Terapi reproduktif bantuan seperti persenyawaan In Vitro Fertilisation (IVF) membantu wanita untuk hamil dengan mengatasi masalah ketidaksuburan.

IVF memerlukan pesakit disuntik dengan hormon perangsang folikel (FSH) bagi mengawal evolusi sebagai rawatan peringkat pertama.

Dalam pada itu, Pengurus Unit Perniagaan (Onkologi dan Biotech) Merck Serono, Lem Kong Soon berkata, wujud banyak tanggapan salah mengenai ketidaksuburan.

Lazimnya, tanggapan itu kekal kerana kesedaran mengenai pilihan rawatan adalah rendah.

Meskipun ada rawatan berkesan, hanya 56 peratus pasangan yang tidak subur mendapatkan rawatan, manakala 22 peratus menerima penjagaan kesihatan bagi mengatasi masalah ketidaksuburan.

Kempen Hope For A Child menggalakkan pasangan yang masih mempertimbangkan rawatan IVF untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan nasihat perubatan sesuai serta panduan menjalani rawatan dengan harapan mendapatkan cahaya mata, katanya.

Lem berkata, MSART dan Merck Serono optimis perihal usaha meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai ketidaksuburan melalui kempen ini, malah menawarkan cara untuk pesakit mendapatkan maklumat mengenai keadaan mereka.

Kami ingin mengoptimumkan sumber yang ada untuk melakukan sebanyak mungkin supaya pesakit menikmati hasil. Harapan kami juga supaya pesakit mendapat pengetahuan melalui kempen ini.

Fokus kami ialah mengubah kehidupan seseorang menjadi lebih baik dan yakin bahawa kempen ini memberi harapan kepada pasangan tidak subur untuk memulakan keluarga impian mereka, katanya.

Kempen ini mengambil pendekatan holistik demi manfaat pesakit tidak subur.

Laman web Hope For A Child (www.fertilityasia. com.my) yang diperkenalkan ketika pelancaran ini, berfungsi sebagai sumber maklumat sehenti untuk pesakit yang ingin mempelajari lebih lanjut mengenai ketidaksuburan, pilihan rawatan, sokongan ketika proses rawatan dan mengandungi pengesan lokasi pusat kesuburan.

Ia juga menyaksikan penulisan dan penyebaran bahan pendidikan seperti risalah maklumat pesakit berkenaan ketidaksuburan yang akan diberi kepada sesiapa yang mahu mendapatkan rawatan terbabit.

Pesakit turut digalakkan mencari pusat kesuburan terdekat dan mendapatkan nasihat ahli profesional jagaan kesihatan untuk mengetahui pilihan rawatan mereka dan cara mendapatkan akses kepada rawatan.

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.