Gigitan boleh ragut nyawa

Foto

Oleh Norainon Othman

Kain pemidang amaran lokasi panas denggi sering dipasang di kawasan yang mempunyai kes denggi tinggi sebagai ingatan kepada penduduk setempat. Mungkin bagi sebilangan orang, ia pemandangan biasa kerana setiap kali musim hujan, banyak nyamuk membiak lantas kes denggi meningkat.

Apapun, jangan pandang ringan serangga kecil dengan kaki berbelang hitam putih itu kerana gigitannya boleh membawa maut.

Denggi adalah penyakit disebabkan virus daripada genus flavivirus bawaan nyamuk aedes betina. Cara penyebaran penyakit ini melalui gigitan nyamuk Aedes terhadap individu yang mengalami demam denggi. Selepas itu, virus yang diperoleh daripada pesakit demam denggi membiak dan masuk ke dalam kelenjar air liur nyamuk berkenaan yang kemudian dipindahkan kepada individu sihat melalui gigitan.

Virus berkenaan merebak ke seluruh tubuh pesakit membabitkan limpa, kelenjar dan sel darah putih. Tempoh pengeraman virus antara empat hingga lapan hari dan selepas tempoh berkenaan, timbul gejala demam denggi.

NYAMUK aedes yang menyebarkan genus flavivirus.

TAYAR terbiar menjadi pembiakan nyamuk aedes.

Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Dada Pusat Perubatan Tropicana Dr Mohammed Fauzi Abdul Rani berkata, tahap serius demam denggi bergantung kepada beberapa faktor seperti umur pesakit, kadar virus dan juga kewujudan beberapa polimorfisma genetik dalam kalangan beberapa gen pesakit denggi.

GEJALA:

  • demam
  • pening kepala
  • sakit otot
  • sakit badan
  • loya
  • muntah
  • menggeletar
  • hilang selera makan
  • sakit dada
  • cirit-birit

Menurutnya, sekiranya seseorang itu menghidap penyakit kronik seperti asma atau diabetes dan tiba-tiba digigit nyamuk aedes, demam denggi yang dialami boleh menjadi lebih teruk.

Mereka yang diserang demam denggi mungkin mengalami demam denggi biasa, denggi berdarah atau denggi sindrom kejutan.

Dalam kebanyakan kes, pesakit sembuh dalam masa dua minggu. Bagaimanapun, terdapat individu yang mengalami gejala berlarutan sehingga empat minggu. Dalam kes ini, dua minggu selepas sembuh dan keluar wad, pesakit masih mengalami sakit seperti pening kepala, sakit sendi atau sakit badan.

Di Malaysia, insiden demam denggi meningkat daripada 44.3 kes/ 100,000 populasi pada 1999 kepada 181 kes/ 100,000 populasi pada 2007.

Di negara ini, pesakit demam denggi kebanyakannya berusia 15 tahun ke atas dan kadar insiden tinggi dalam kalangan pelajar sekolah dan golongan bekerja.

Sebanyak 80 peratus kes berlaku di bandar kerana kepadatan penduduk yang tinggi di samping faktor kepesatan pembangunan. Banyak kawasan mengandungi air bertakung dan sampah yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, katanya.

Menurutnya, terdapat tiga fasa demam denggi iaitu febrile (demam), kritikal dan pulih. Pengurusan pesakit bergantung kepada fasa dan klasifikasi denggi yang mempunyai tanda amaran, tanpa tanda amaran dan denggi teruk.

Fasa demam

Lazimnya pesakit tiba-tiba mendapat demam dengan suhu yang tinggi. Fasa demam akut antara dua hingga tujuh hari dan selalunya disertai muka merah, kulit kemerahan akibat pengembangan kapilari darah, sakit badan, sakit pada otot, sakit sendi dan sakit kepala. Sebilangan pesakit juga mengalami sakit tekak, loya dan muntah.

Fasa kritikal

Fasa kritikal berlaku selalunya selepas tiga hari demam atau fasa akhir demam (biasanya antara tiga hingga lima hari sakit tetapi mungkin berlarutan hingga hari ketujuh). Akhir fasa kritikal antara 24 hingga 48 jam. Ramai pesakit sihat tiba-tiba atau selepas tempoh pemberian titisan cecair ke dalam tubuh atau terapi elektrolit.

Dalam keadaan yang lebih teruk akibat kebocoran plasma, pesakit mungkin berpeluh, sukar berehat dan mengalami kesejukan melampau. Pesakit mengalami sakit perut, muntah berterusan, kegelisahan dan tidak sedarkan diri.

Fasa pulih

Meskipun pesakit kelihatan sihat dan berselera makan, sebilangan masih lagi mengalami ruam. Tekanan darah berbalik kepada asal dan jumlah platelet normal.

Seseorang yang demam boleh mengesyaki dia diserang penyakit ini sekiranya mengalami pening kepala, sakit sendi, sakit otot, sakit mata, ruam, tanda pendarahan seperti di mulut atau kulit dan bilangan sel darah putih atau platelet yang rendah daripada biasa.

Mereka yang disyaki menghidap demam denggi tetapi kadar kiraan darah dan pemeriksaan fizikalnya normal tanpa loya, muntah, pendarahan dan sakit perut digalakkan minum banyak air. Sakit perut menandakan kemungkinan terdapat pendarahan dalam perut pesakit dan ia adalah tanda amaran denggi teruk.

Di hospital, pesakit boleh diklasifikasikan kepada denggi dengan tanda amaran, denggi teruk tanpa kejutan atau denggi dengan kejutan. Ketiga-tiga kumpulan ini perlu dimasukkan titisan air ke dalam tubuh dan kategori ketiga perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi untuk rawatan dan pemerhatian, katanya.

Demam denggi berdarah terjadi apabila berlaku kebocoran daripada saluran darah menyebabkan pendarahan yang kemudian keluar di liang roma atau pendarahan dalam usus.

Pesakit dirawat dengan memberi cecair sama ada minum (untuk kes biasa) atau titisan (drip). Kadar cecair yang patut dimasukkan ke dalam tubuh ditentukan dengan ujian darah.

Bergantung tahap serius penyakit, pesakit mungkin memerlukan pemindahan darah sekiranya berlaku pendarahan teruk. Pesakit digalakkan minum banyak air kosong atau jus.

Ketika mengalami demam denggi, pesakit boleh mendapat jangkitan kuman lain disebabkan daya melawan penyakit yang lemah, misalnya mendapat serangan bakteria yang boleh mengakibatkan kegagalan hati, buah pinggang, jantung atau jangkitan kuman di otak, katanya.

Tiada rawatan yang spesifik untuk pesakit demam denggi. Lazimnya, pesakit yang sudah tidak demam selama dua hari dan pulih segala kiraan darah boleh dibenarkan keluar wad.

Sebelum keluar wad, selalunya pesakit akan beransur sihat dengan selera makan bertambah, pengeluaran air kencing dan tahap tekanan darah bertambah dan pemulihan kiraan platelet biasanya didahului oleh pemulihan sel putih.

Penyakit demam denggi tidak berlaku di kawasan beriklim sejuk atau empat musim tetapi cepat merebak di kawasan beriklim tropika dan sub tropika. Cuaca panas lembap dan terdapat air bertakung membolehkan nyamuk aedes membiak.

Cara mengawal pembiakan nyamuk aedes melalui pencegahan iaitu:

1) Membunuh nyamuk dengan semburan racun serangga dan bubuh ubat jentik-jentik di kawasan air bertakung
2) Buang sumber air bertakung seperti lopak air, tayar, botol plastik, pelapik pasu bunga serta pasu jambangan bunga segar
3) Sekiranya menyimpan bekalan air, tutup bagi mengelakkan nyamuk aedes bertelur
4) Pastikan longkang tidak tersumbat pada musim hujan yang boleh menjadi tempat nyamuk Aedes bertelur
5) Elak daripada gigitan nyamuk. Serangga ini gemar di kawasan berwarna hitam, misalnya perabot berwarna gelap, pakaian hitam dan ketat
6) Pada waktu malam, tutup tingkap bagi menghalang nyamuk memasuki rumah
7) Nyamuk aedes gemar keluar pada waktu pagi dan senja, oleh itu elakkan berada di tempat yang banyak nyamuk pada waktu itu.

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.