Jamin kebersihan makanan

Oleh Zaitie Satibi

Sering kita tergoda dengan aneka juadah yang dijual di gerai tepi jalan, pasar malam, bazar Ramadan mahupun di premis makanan ternama.

Ketika membeli kerana tertarik juadah popular, harga berpatutan dan rasa yang sedap, pernahkah kita terfikir akan tahap kebersihan makanan itu? Melihat persekitaran premis yang bersih, tidak semestinya makanan itu selamat dimakan. Tanpa kita sedar, ada kemungkinan makanan itu tercemar akibat pengendali makanan itu sendiri yang dijangkiti penyakit, terutama kepialu atau tifoid.

Di Malaysia, semua pengendali makanan diwajib mendapatkan suntikan vaksin pelalian anti tifoid.

Malah, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) juga mensyaratkan peniaga mendapatkan vaksin ini kepada diri dan pekerja mereka sebelum diberi lesen berniaga.

Menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Dr Roslan Fadzil, mereka yang terbabit dengan perusahaan makanan dikehendaki mendapatkan suntikan anti tifoid (TY2) sebelum mengendalikan makanan sekurang-kurangnya seminggu sebelum memulakan aktiviti perniagaan.

Pengendali makanan perlu mendapatkan suntikan ini bagi setiap tiga tahun untuk mengelak penyakit bawaan air. Selain suntikan, vaksin boleh diperoleh dalam bentuk pil.

Jika gagal, mereka berdepan tindakan mengikut Akta Makanan 1983 dan lesen mereka boleh dirampas, katanya.

Roslan berkata, suntikan atau pil anti tifoid boleh diperoleh di semua klinik kesihatan, hospital kerajaan dan swasta. Manakala kos mendapatkan vaksin perlu ditanggung oleh pengusaha makanan.

Selepas mendapatkan suntikan ini, pengendali makanan akan diberi sijil yang disahkan doktor dan turut diwajibkan menghadiri kursus sajian makanan oleh PBT.

Namun, tanggungjawab mereka menjaga kebersihan perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan makanan atau minuman dijual tidak tercemar, katanya.

Dr Roslan berkata, yang dikesali ialah sikap pengusaha makanan yang enggan mematuhi arahan mendapatkan suntikan ini disebabkan tidak mahu menanggung rugi sehingga mengabaikan aspek kebersihan.

Kebanyakan pekerja mereka adalah sambilan dan selalu bertukar. Ini mengakibatkan pengusaha makanan tidak mahu mengeluarkan wang bagi menanggung kos mendapatkan vaksin anti tifoid.

Padahnya, pengusaha terbabit boleh didenda jika pemeriksaan kesihatan mendapati pekerja mereka tidak disuntik dengan anti tifoid, katanya.

Beliau berkata, suntikan itu adalah langkah pencegahan dan peringatan kepada orang awam dalam memilih premis makanan yang benar-benar menyediakan juadah bersih dan sihat.

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.