Kaedah PEG lebih mudah, cepat beri makanan kepada pesakit

Foto

Apakah PEG? Ia adalah endoskopi gastrostomi perkutaneus. Ia adalah satu prosedur baru untuk memasukkan tiub makanan ke dalam perut tanpa kaedah konvensional yang memerlukan pembedahan.

Apakah gastrostomi?

Satu tiub suapan yang menghubungkan perut secara langsung melalui kulit ke bahagian luar abdomen. Biasanya ia bagi tujuan memberi makan.

PESAKIT akan dibius sebelum prosedur PEG dilakukan.

Adakah ia prosedur baru?

Ia diperkenalkan kira-kira 10 tahun lalu dan kini semakin dikenali.

Mengapa pesakit strok memerlukan PEG?

Sesetengah pesakit strok perlu tiub nasogastric kerana mereka tidak dapat menelan dengan betul dan risiko pernafasan (makanan termasuk ke dalam saluran pernafasan dan paru-paru).

Apabila tiub nasogastric digunakan dalam jangka panjang, kulit hidung boleh mengalami kerengsaan. Tiub suapan PEG lebih selesa kerana ia tidak membabitkan hidung atau saluran pernafasan atas.

Adakah ia selamat?

Ia selamat, namun keadaan perubatan pesakit masih perlu dinilai sebelum prosedur.

Siapa yang berkelayakan untuk memasukkan PEG?

Mana-mana gastroenterologi yang terlatih atau pakar bedah yang biasa dengan prosedur.

Adakah pesakit perlu dimasukkan ke wad?

Prosedur ini biasanya dilakukan kepada pesakit luar atau penjagaan tanpa kemasukan ke wad.

Berapa lama prosedur dijalankan?

Kemasukan PEG akan mengambil masa 20 minit dan keluarga akan mempelajari bagaimana memberi makan kepada pesakit menggunakan tiub PEG.

Adakah prosedur memerlukan bius untuk membuatkan pesakit tidak sedar ketika prosedur atau bilik pembedahan?

Biasanya, ia dilakukan di bilik endoskopik dan pesakit akan diberi bius setempat dan ubat pelali oleh pengamal perubatan.

Apa sebenarnya dilakukan pengamal perubatan sepanjang prosedur memasukkan PEG?

Pertama, pengamal perubatan (gastroenterologi atau pakar bedah) perlu memasukkan teropong perut untuk memeriksa esofagus dan perut untuk memastikan tiada patologi seperti ulser atau ketumbuhan.

Lokasi bahagian atas perut dikenal pasti menggunakan skop untuk kemasukan tiub. Kemudian, bius setempat diberi pada perut dan jarum dengan wayar panduan dimasukkan ke dalam perut melalui kulit dan dinding perut.

Dengan bantuan skop wayar panduan, ia dimasukkan ke dalam perut dan ditarik keluar melalui mulut pesakit. Akhirnya, hujung wayar terikat dari mulut kepada tiub PEG.

Kemudian pengamal menarik hujung wayar pada abdomen supaya PEG dan hujung wayar panduan pada mulut dapat ditarik kembali ke dalam perut.

Pengamal membesarkan pembukaan pada kulit abdomen supaya satu hujung PEG boleh keluar menyeluruh pada pembukaan perut. Akhirnya, sekali lagi skop dilakukan pada perut untuk memeriksa kedudukan PEG adalah betul.

Adakah prosedur ini mahal?

Harganya berpatutan kerana tiada kos kemasukan atau tidak membabitkan pembedahan.

Adakah sukar untuk belajar makan menggunakan PEG atau menjaga PEG?

Caranya hampir sama dengan anda menjaga tiub suapan nasogastric untuk pesakit strok. Oleh kerana saiz lumen PEG lebih besar, anda boleh mencampurkan makanan yang dikisar ke dalam tiub. Kulit abdomen di sekitar tiub perlu dibersihkan dengan kerap.

Apakah perkhidmatan PEG mudah didapati?

Ia biasanya boleh didapati di hospital atau pusat perubatan yang menyediakan perkhidmatan endoskopik. Bagaimanapun, seseorang masih perlu untuk memeriksa jika pengamal dapat melakukan PEG untuk pesakit.

Jika tiub itu menjadi kotor, adakah ia ditukar?

Ya, ia boleh ditukar. Penukaran tiub lebih mudah dan cepat berbanding dengan kemasukan kali pertama tiub dan kos juga lebih rendah.

Bolehkah PEG digunakan untuk jangka panjang sebagai tiub suapan kekal?

Ya, ia boleh digunakan sebagai penjagaan makan jangka panjang. Tiub biasanya boleh digunakan untuk beberapa bulan di bawah penjagaan yang baik dan ditukar hanya jika kotor.

Jika pesakit strok kemudian bertambah sihat dan mampu untuk menelan dan makan dengan mulut, bolehkah PEG dikeluarkan?

Ya, PEG boleh dikeluarkan dengan selamat dengan hanya beberapa jahitan pada luka perut.

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.