Kawal anak daripada menagih

TAHUKAH anda bahawa sejarah penagihan dadah dalami kalangan ahli keluarga sama ada jauh atau dekat sebenarnya membawa risiko genetik kepada anak-anak anda untuk membesar menjadi seorang penagih dadah juga?

Walaupun ia belum menjadi satu masalah, ibu bapa seharusnya tidak terlepas pandang daripada terus memantau sebarang petunjuk kalau-kalau ada sesuatu tidak kena berlaku kepada diri anak-anak mereka.

Kebiasaannya ujian air kencing boleh dilakukan untuk mengesan penagih dadah. Malangnya, ia hanya dilakukan oleh pihak berkuasa dan jika ia berlaku, pelbagai kerosakan telah pun dibuat.

Oleh itu, bertindaklah segera selagi mereka masih berada di dalam kawalan anda. Berikut saya kongsikan beberapa petunjuk untuk mengetahui sama ada anak-anak anda telah terjebak atau tidak di dalam aktiviti tersebut.

Periksa bilik tidur

Walaupun anak-anak meningkat remaja, ibu bapa masih berhak memeriksa bilik tidur mereka. Periksa sebarang kehadiran bahan-bahan aneh yang menyerupai dadah. Ia mungkin dalam bentuk serbuk, kristal, pil atau mampatan.

Anda mungkin perlu lebih kreatif semasa mencari bahan bukti. Ini termasuklah minuman keras, gam atau rokok. Walaupun rokok dikatakan kurang merbahaya misalnya, anda perlu tahu yang daun tembakau di dalam rokok tersebut sebenarnya boleh digunakan sebagai ramuan menghisap ganja.

Begitu juga dengan kehadiran peralatan pelik yang digunakan untuk menghisap dadah seperti botol yang ditebuk, pemetik api atau potongan kertas aluminium. Mereka mungkin memberi pelbagai alasan seperti ia bukan kepunyaannya atau sekadar mahu mencuba. Yang penting mengapa ia berada di dalam simpanan mereka?

Perubahan tingkah-lakuAnak kecil yang meningkat remaja sememangnya akan menunjukkan perubahan tingkah-laku.

Berhati-hati kerana perubahan semulajadi ini tidak sama dengan perubahan tingkah-laku akibat pengambilan dadah seperti suka menyendiri, kelihatan tidak bermaya dan malas membuat sesuatu perkara.

Mereka berkawan dengan rakan yang kelihatan tidak sesuai dengan status pelajar dan usia mereka. Perhatikan juga sebarang perubahan emosi seperti mudah meradang, khayal atau lentok.

Corak tidur juga boleh dijadikan petunjuk. Pengambilan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine misalnya boleh menyebabkan mereka kelihatan aktif dan tidak tidur pada waktu malam untuk beberapa hari.

Kes sebegini banyak berlaku dalam kalangan pelajar yang kononnya akan mengambil peperiksaan besar pada tahun persekolahan tersebut. Bagi pelajar perempuan pula, penggunaan dadah jenis ini juga boleh menyebabkan penurunan berat badan mendadak.

Pengambilan dadah jenis ganja pula, akan menyebabkan pelajar selalu kelihatan murung dan tidak bersemangat. Tanda lain yang boleh dilihat ialah malas membuat kerja sekolah dan selalu ponteng sekolah.

Mencuri

Tanda paling serius ialah anda akan selalu kehilangan duit atau barangan berharga di dalam rumah. Ini kerana mereka terpaksa mendapatkan sumber kewangan tetap untuk menyara aktiviti penagihan.

Sekali lagi akan ada penjelasan demi penjelasan tetapi lama-kelamaan penjelasan tersebut akan menjadi semakin tidak masuk akal apabila mereka mula kehabisan idea untuk menipu.

Jumlah wang yang hilang juga semakin meningkat kerana penggunaan dadah mereka jakan meningkat dari semasa ke semasa.

Masalah kesihatan

Dadah menjahanamkan tubuh badan. Perhatikan tanda-tanda sama ada mereka kelihatan murung atau batuk-batuk lebih daripada biasa. Pengambilan dadah secara sniffing atau menghidu, akan menyebabkan masalah kesihatan seakan-akan sinusitis atau resdung.

Mereka kerap bersin dan kelihatan tersedu-sedu yang kebanyakan ibu bapa akan tersalah sangka ia hanya sejenis selesema biasa. Begitu juga dengan tanda suntikan jarum atau tampalan plaster di lengan.

Perbalahan bukanlah penyelesaianJika anda terlihat tanda-tanda di atas, perbalahan bukanlah satu kaedah penyelesaian yang baik. Jadikan rumah sebagai tempat untuk anak-anak berbincang dan mendapatkan pertolongan ibu bapa.

Ibu bapa yang benar-benar menyayangi anak-anak tidak akan putus asa dan akan sentiasa memberi dorongan untuk mereka keluar daripada masalah penagihan. Jika gagal, bawalah berjumpa dengan pakar perubatan yang mahir dalam bidang ini.

 

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.