Kurangkan kesakitan kontraksi

Foto

Oleh Norainon Othman

Ramai masih ragu mengenai kaedah bersalin dalam air sejak ia diperkenalkan di Malaysia, lima tahun lalu. Persoalan yang sering ditimbulkan ialah, bayi dikhuatiri lemas kerana tidak pandai bernafas atau wujud kesan sampingan ketika proses melahirkan.

Kaedah pilihan ini belum meluas biarpun ia popular di negara Barat. Kaedah berkenaan sebenarnya proses bersalin normal, cuma ia dilakukan di dalam air. Mungkin ada bakal ibu yang ingin merasai pengalaman bersalin dalam air, tetapi masih ragu-ragu kerana tidak mendapat maklumat jelas. Antara hospital yang menawarkan perkhidmatan ini ialah Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL). PHKL juga perintis bagi kaedah bersalin dalam air di Kuala Lumpur pada 2009 di bawah penjagaan Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Dr Choong Kuo Hsiang. Dr Choong berjaya menyambut kelahiran lebih 100 bayi menerusi teknik ini.

Kaedah epidural terlalu sakit hingga ibu yang ingin bersalin tidak mampu menggerakkan kaki, ditambah pula ada banyak wayar.

Tekanan darah jatuh, mengambil masa lama ketika titisan epidural dimasukkan ke tubuh pesakit, selain mempunyai banyak kesan sampingan. Kaedah bersalin dalam air lebih murah dan tidak banyak kesan sampingan. Risiko terhadap bayi juga bawah satu peratus, katanya pada majlis perasmian kelengkapan peralatan bersalin dalam air di PHKL, baru-baru ini. Kemudahan itu dipertingkatkan dengan pancuran mandian, muzik menenangkan jiwa dan kelengkapan perubatan lebih moden untuk ibu hamil bagi melengkapkan tahap keselesaan.

Tiga kolam seperti tab mandi jakuzi disediakan diisi air bersih mematuhi etika kolam renang. Ibu yang ingin bersalin akan memasuki kolam itu apabila bukaan rahim lima sentimeter. Ibu diberi pilihan sama ada mahu melahirkan bayi di tab atau kolam getah.

Air disediakan dalam kolam ialah air biasa dengan suhu 27 Celsius. Ibu berkenaan diberi kebebasan duduk dengan posisi mengikut keselesaan untuknya bersalin. Jika bayi masih belum lahir, ibu boleh keluar dari kolam dan masuk semula jika ada gesaan untuk bersalin. Sebaik bayi dilahirkan, dua minit berikutnya penting.

KEMUDAHAN bersalin dalam air di Hospital Pantai KL.

Bayi akan dibawa keluar dari air untuk mengelak kemalangan. Bersalin dalam air adalah cara mengurangkan kesakitan, katanya. Menurutnya, di Amerika Syarikat, kesatuan perbidanan dan sakit puan tidak berani mengulas sama ada kaedah ini selamat atau tidak, manakala di Australia dan New Zealand, kaedah ini perlu dikendalikan oleh kakitangan terlatih.

Jika tidak selesa dengan kaedah bersalin dalam air, ibu diberi pilihan untuk keluar dari kolam dan bersalin di katil. Ibu turut diberi gas ketawa untuk mengurangkan sakit, katanya.

Sementara itu, Raja Zarith Sofia Raja Zulkifli, 28, berkata, bersalin dalam air adalah pengalaman berbeza yang menyeronokkan. Dia melahirkan Kyla Natasha Khairul Nizam seberat 2.88 kilogram dengan ditemani suami Khairul Nizam Bachtiar, 34.

Katanya, dia memasang impian untuk bersalin dalam air sejak dulu lagi selepas mengetahui kaedah berkenaan sewaktu menuntut di luar negara.

Proses melahirkan memang sakit, tetapi berada dalam air melegakan kesakitan akibat kontraksi, katanya.

AR Maricar Saragih, 40-an, yang melahirkan anak keempat menerusi kaedah itu berkata, proses itu adalah pengalaman menakjubkan.

Dia yang mendapat sokongan suami, Anders Krogh, 45, sebelum ini melahirkan tiga anak secara normal.

Bersalin dalam air dapat mengurangkan kesakitan ketika berlaku kontraksi, selain mempercepatkan proses kelahiran. Tiga hari sebelum melahirkan anak, air ketuban pecah dan pergerakan bayi di dalam rahim semakin kurang.

Bagaimanapun, saya tidak mahu diinduksi kerana ia terlalu sakit, katanya yang melahirkan anak keempatnya, Ariena Ayla pada Julai tahun lalu.

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.