Maut menanti di puncak gunung

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Beberapa bulan lalu, negara digemparkan dengan berita kematian Mohammad Shahrulnizam Ahmad Nazari, 25, ketika pendakian Ekspedisi Kem Induk Everest (EBC) dan Kala Patthar di Banjaran Himalaya, Nepal bermula 27 Mei lalu.

Arwah dipercayai meninggal dunia akibat penyakit akut gunung (Acute Mountain Sickness – AMS), ditambah dengan cuaca buruk yang menyukarkan mangsa dibawa turun ke kawasan lebih rendah.

Ketua Jabatan, Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar, Hospital Columbia Asia Setapak, Dr Jegathes Rajah berkata, AMS adalah kesan patologi disebabkan oleh peningkatan ketinggian atau altitud kepada manusia. Ini disebabkan oleh pendedahan secara tiba-tiba kepada penurunan tekanan separa oksigen di kedudukan tinggi. Biasanya ia berlaku pada ketinggian melebihi 2,400 meter atau 8,000 kaki dari paras laut.

Ia sangat bahaya dan simptomnya tidak spesifik. Antara simptom yang biasa seperti demam, selesema dan keracunan karbon monoksida, katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, ketika ini sukar mengenal pasti siapa yang berisiko terkena AMS kerana tiada faktor tertentu untuk menentukannya. Yang pasti, tidak kira golongan, wanita mahupun kanak-kanak berisiko untuk mendapat AMS.

AMS boleh menyebabkan kematian jika ia membabitkan paru-paru iaitu seperti masalah paru-paru berair dipanggil high altitude pulmonary oedema. Selain itu, kematian juga boleh berlaku jika pengumpulan cecair di dalam otak manusia dipanggil high altitude cerebral oedema. Peratusan oksigen dalam udara biasanya ialah 21 peratus tetapi ia hanya hingga tahap ketinggian 21,000 meter atau 69,000 kaki. Selepas itu, oksigen dalam udara semakin berkurangan seiring dengan ketinggian semakin meningkat. Akhirnya, jumlah oksigen dalam udara sangat rendah, seterusnya mengakibatkan tahap kesedaran mental dan fizikal menurun disebabkan peningkatan ketinggian (altitude), katanya.

Dehidrasi berlaku disebabkan oleh kehilangan cecair badan melalui paru-paru melalui proses pengewapan. Ini akan mengakibatkan bermulanya gejala altitude sickness seperti loya, muntah, lemah anggota badan, lesu, pening, susah tidur, kebas jari, sesak nafas, hidung berdarah dan kaki bengkak serta hilang selera makan.

Ia boleh berterusan dan semakin teruk. Jika high altitude pulmonary oedema berlaku, pendaki akan mengalami batuk kering, demam dan sesak nafas semakin meningkat.

Jika high altitude cerebral oedema pula berlaku, pendaki akan mengalami sakit kepala, hilang keseimbangan badan, tidak sedarkan diri dan pendarahan pada retina mata.

Jelasnya, rawatan untuk AMS ialah turun ke paras lebih rendah secara perlahan-lahan. Selepas itu, bantuan oksigen perlu diberi.

Bagi kes lebih teruk, bantuan perubatan menggunakan hyperbaric chamber penting untuk menyelamatkan nyawa pendaki kerana alat itu tinggi dengan kepekatan oksigen.

Untuk tujuan keselamatan, pendaki juga boleh membawa bersama kebuk ini dalam bentuk pam, selain mengambil pil Acetazolomide untuk mencegah perkara ini berlaku, katanya.

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.