Muntah berulang faktor genetik

Foto

Oleh Norainon Othman

Shira muntah selama lima hari hingga membimbangkan ibu bapanya. Muntah tanpa sebab itu tiba-tiba pulih sendiri tanpa menjejaskan kesihatan si kecil. Namun, tiba-tiba masalah itu timbul lagi.

Boleh dikatakan dalam tempoh enam bulan, Shira mengalami muntah berterusan antara dua atau tiga kali. Apabila disiasat, tiada tanda diserang kuman atau berlaku jangkitan.
Kebanyakan kes Cyclic Vomiting Syndrome (CVS) atau muntah berterusan tidak dapat dikenal pasti puncanya (mitochondria) tetapi di dalam sel badan kita ada genetik dan kebanyakan genetik sama mempunyai tabiat sama. Dua peratus kanak-kanak mendapat gangguan ini.

Pakar Perunding Kardiologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Azam Mohd Nor berkata, antara sebab muntah berterusan ialah apabila kanak-kanak terbabit mengalami demam atau selesema.
Makanan tertentu, misalnya produk tenusu, juga boleh menjadi punca muntah berterusan selain disebabkan pengambilan ubat tertentu.
Paling ketara, muntah akan berlaku berulang kali. Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami masalah ini akan mengalami sakit kepala. Secara purata, kira-kira 50 peratus kanak-kanak yang mengalami CVS akan diserang migrain, katanya.

KANAK-kanak yang sering muntah terutamanya pada waktu malam biasanya akan demam.

ELAKKAN memberi kanak-kanak yang mengalami muntah produk tenusu, krim, bahan pengawet atau pewarna makanan.

CVS turut mengakibatkan sakit perut, sakit pusat, pening, loya serta sakit sendi. Kanak-kanak berusia dua hingga tujuh tahun paling ramai mengalami CVS dan ia akan hilang dengan sendiri. Masalah ini turut dialami golongan dewasa.
Menurutnya, ada ubat bagi mengelak muntah berulang kali, antaranya ubat yang sama digunakan bagi mengubati masalah migrain.

Bagi orang dewasa, katanya, masalah muntah berterusan dialami jika berdepan tekanan, kecewa atau letih.
CVS berlaku mungkin disebabkan ada ahli keluarga mengalami masalah sama, malah ada juga kemungkinan tidak pernah dialami ahli keluarga.
Ia mungkin dialami oleh kanak-kanak yang ahli keluarganya mempunyai masalah migrain, katanya.
Kanak-kanak yang berdepan masalah muntah berterusan yang teruk boleh mengalami kekurangan cecair dalam badan (dehidrasi) menyebabkan tubuh lemah.
Bagi kes ini, kanak-kanak dimasukkan ke dalam wad dan dimasukkan titisan air (drip). Komplikasi daripada CVS ialah luka di bahagian esofagus akibat asid perut naik ke bahagian berkenaan.
CVS akan menjejaskan kehidupan harian dan bagi mencegah masalah itu, pesakit diberi makan ubat setiap hari. Untuk mengelak kesan sampingan, cuma ubat dengan dos rendah diberi dan pengambilan cuba dihentikan apabila masalah tidak berulang lagi.
Dr Azam berkata, antara makanan yang perlu dielak ialah produk tenusu, krim, bahan pengawet dan pewarna makanan.

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.