Penyakit diabetes merosakkan saraf

Diabetes merosakkan saraf

Selama enam tahun, Hana sering pergi ke taman setiap hari bersama ayahnya, Razak Ismail, seorang penghidap diabetes berusia 45 tahun sehingga lelaki berkenaan kehilangan sebelah kakinya akibat dipotong. Ayahnya didiagnosis dengan diabetes 15 tahun lalu dan mengalami kerosakan saraf akibat penyakit itu dengan gejala seperti rasa kebas dan berdenyut-denyut pada kakinya.

Tahukah anda, hampir 70 peratus penghidap diabetes mengalami kerosakan saraf yang boleh membawa kepada amputasi (pemotongan anggota badan) jika penjagaan dan langkah pencegahan yang betul tidak diambil? Adakah anda juga mengalami gejala sama dengan yang dialami ayah Hana? Jika ya, teruskan membaca.

Sekiranya anda mengalami sebarang gejala kerosakan saraf yang biasa, jangan biarkannya kerana kesan pengabaian yang paling kejam boleh membabitkan pemotongan kaki. Marilah kita lengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan mengenai neuropati diabetes (kerosakan saraf) dan apa yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan komplikasinya.

Memahami neuropati diabetes

Perkataan neuropati terbit daripada dua bahagian iaitu neuro yang merujuk kepada saraf dan pati iaitu penyakit. Kerosakan saraf yang disebabkan diabetes dipanggil neuropati diabetes. Neuropati periferal ialah satu keadaan yang membabitkan saraf di luar sistem saraf pusat, terutama pada tangan dan kaki.

Saraf ialah talian perhubungan dalam tubuh kita. Isyarat elektrik dari otak bergerak melalui saraf dan memberi arahan kepada pelbagai bahagian tubuh. Tubuh menerima maklumat daripada persekitaran melalui deria dan menghantar maklumat ini ke otak melalui saraf.

Majoriti daripada saraf periferal bertanggungjawab memberikan sensasi yang anda rasa seperti sentuhan, kesakitan dan suhu. Terdapat jutaan saraf yang berakhir di jari, tangan, jari kaki dan kaki anda yang dicipta untuk mengelak daripada bahaya dan jauh daripada benda yang panas, sejuk, tajam dan sebagainya.

Tahap keseriusan gejala kerosakan saraf akibat diabetes berbeza daripada seorang pesakit kepada seorang pesakit yang lain. Anda mungkin berasa berdenyut-denyut atau kebas pada kaki dan tangan, iaitu tanda biasa kerosakan saraf akibat diabetes. Rasa terbakar dan tiada rasa juga ialah gejala biasa bagi kerosakan saraf.

Kehilangan rasa sering membawa maksud anda mungkin tidak merasa kecederaan pada kaki. Mungkin terdapat paku tekan atau batu kecil di dalam kasut anda dan anda terus berjalan sepanjang hari tanpa menyedarinya. Sesetengah orang akan berasa kesakitan yang tajam mencucuk, manakala orang lain pula merasa seperti dicucuk-cucuk dengan jarum.

Bagaimana kerosakan saraf akibat diabetes membawa kepada amputasi?

Pemotongan ialah komplikasi neuropati yang boleh menjadi serius. Tahukah anda bahawa risiko pemotongan kaki ialah 27.7 kali lebih besar kepada seorang penghidap diabetes berbanding seorang yang normal?

Kemungkinan seorang penghidap diabetes terpaksa dipotong kaki lebih besar berbanding dengan individu lain yang sihat. Ramai penghidap diabetes mengalami kerosakan saraf akibat diabetes yang mengurangkan kepekaan rasa pada kaki menyebabkan mereka tidak sedar kecederaan yang dialami dan ini boleh membawa kepada pemborokan (ulser) kaki.

Ramai penghidap diabetes turut menghidap penyakit arterial periferal yang mengurangkan aliran darah ke kaki dan melambatkan proses penyembuhan luka, seterusnya meningkatkan risiko terjadinya jangkitan. Semua masalah ini membuatkan pesakit mudah mendapat jangkitan yang teruk yang membawa kepada amputasi kaki.

Bagaimana kerosakan saraf akibat diabetes dirawat?

Langkah pertama dalam merawatnya ialah dengan memastikan tahap glukos dalam darah berada dalam julat normal untuk membantu mencegah kerosakan saraf selanjutnya. Pemantauan tahap glukos dalam darah, pemakanan yang terancang dan aktiviti fizikal yang teratur serta ubat-ubatan diabetes atau insulin akan membantu mengawal tahap glukos dalam darah.

Ia mungkin mengambil sedikit masa tetapi secara umumnya gejala akan berkurangan apabila terdapat pengawalan glukos yang baik. Pengawalan glukos dalam darah juga boleh mencegah atau melambatkan permulaan masalah yang selanjutnya.

Saintis Jepun mendapati bahawa saraf yang rosak boleh dihasilkan semula dengan sejenis makanan tambahan yang ringkas dikenali sebagai mecobalamin atau metilkobalamin iaitu satu bentuk vitamin B12 yang aktif untuk regenerasi saraf.

Mecobalam ialah sebentuk Vitamin B12 yang aktif dari segi neurologi. Dengan mecobalamin, hati tidak perlu menukarkan sianokobalamin iaitu bentuk B12 yang tidak aktif kepada mecobalamin kerana ia aktif secara oral.

Mecobalamin melindungi daripada penyakit neurologi (saraf) dan penuaan oleh mekanisme unik yang berbeza daripada terapi yang ada sekarang. Sebahagian daripada gangguan saraf yang boleh dicegah atau dirawat dengan terapi vitamin semula jadi ini termasuk neuropati periferal.

Ambil satu kapsul 500mcg tiga kali sehari untuk membantu menggalakkan saraf sihat dan melindungi daripada proses degenerasi sistem saraf. Satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Diabetes Mellitus mendapati bahawa mecobalamin sebanyak 1500mcg sehari yang diambil setiap hari mengurangkan berlakunya gejala polineuropati diabetes yang biasa dan tidak menyenangkan seperti rasa kebas, sesemut, lemah dan sakit. Selain itu, gejala baru tidak muncul dalam tempoh pemerhatian selama 24 minggu.

Tanyalah ahli farmasi anda mengenai jenama yang dipercayai bagi makanan tambahan untuk kesihatan saraf yang membantu mencegah kerosakan saraf akibat diabetes dan juga menghasilkan semula saraf-saraf periferal anda yang rosak. Diagnosis dan rawatan awal boleh menambah baik kualiti hidup dan mengurangkan risiko komplikasi neuropati diabetes dan amputasi selanjutnya. via hMetro.

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.