Pilih mainan sesuai elak resdung

Dunia kanak-kanak penuh dengan penerokaan perkara baru yang mengasyikkan. Sifat ingin tahu dan mencuba ada pada setiap kanak-kanak. Cubaan memahami tubuh badan sendiri kadangkala membuatkan mereka melakukan eksperimen pelik dan boleh membahayakan kesihatan diri.

Bendasing dalam hidung dan masalah hidung berbau adalah perkara lazim yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Hidung berbau mungkin disebabkan bendasing mahupun resdung alahan.

Bendasing terbahagi kepada dua iaitu organik dan bukan organik. Contoh bahan organik yang masuk ke dalam hidung kanak-kanak ialah jenis kekacang dan sayuran (seperti potongan batang serai).

Bahan bukan organik pula ialah manik, bateri alkali (bentuk butang), peluru pistol mainan dan sebarang mainan kanak-kanak bersaiz kecil, kertas tisu dan styrofoam (sejenis polisterin).

Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) Hospital Pantai Ampang, Dr Khairuzzana Baharudin berkata, masalah ini biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun. Disebabkan itu, ibu bapa perlu memilih mainan bersesuaian dengan usia anak.

Gejala

  • Bau sangat busuk yang boleh terhidu oleh orang di sekeliling
  • Hingus di sebelah hidung saja. Ini kerana biasanya kanak-kanak memasukkan bendasing cuma di sebelah hidung
  • Ibu bapa tidak menyedari perkara itu. Hingus berlarutan, selesema tidak sembuh walaupun sudah berubat
  • Gejala berlarutan lebih seminggu. Pesakit dinasihatkan bertemu pakar ENT untuk pemeriksaan lanjut
  • Selesema yang berpanjangan juga boleh menyebabkan hidung berdarah

Cara rawatan

  • Hanya dengan melihat bahagian depan hidung
  • Masalah juga dikesan melalui pemeriksaan X-ray
  • Bendasing tidak akan masuk terlalu jauh ke dalam saluran pernafasan hidung kerana hidung mempunyai struktur tulang

Cara mengeluarkan bendasingM

Bendasing dikeluarkan dengan peralatan sama ada di klinik atau bius penuh kerana dikhuatiri kanak-kanak yang meronta kesakitan tercekik bendasing terbabit. Bateri alkali boleh menyebabkan jangkitan kuman, manakala benda bukan organik boleh menjadi batu dan sebati dengan tisu hidung.

Bateri alkali boleh memakan tisu daging dan menyebabkan kerosakan struktur tulang hidung iaitu tulang hidung menjadi berlubang. Kekacang menyebabkan hidung berbau. Hingus yang meleleh berbau terlalu busuk, katanya.

Rawatan mengeluarkan bendasing di hidung dilakukan di klinik atau dewan bedah. Selepas bendasing dikeluarkan, pesakit perlu diperiksa sekali lagi dengan kamera untuk melihat kemungkinan wujud bendasing lain dalam hidung. Kawasan berkenaan biasanya bengkak dan berdarah kerana jangkitan kuman.

Pemeriksaan juga dilakukan terhadap telinga dan tekak kerana kemungkinan ada bendasing di situ. Jika tiada komplikasi, pesakit boleh sembuh dalam masa tiga hingga lima hari. Pesakit diberi semburan hidung dan antibiotik.

Bendasing seperti bateri alkali atau besi paling bahaya kerana komplikasi boleh dilihat selepas dua atau tiga minggu ia dikeluarkan. Waktu ini, penting untuk pesakit mencuci hidung sekerap mungkin bagi mengelak tindak balas alkali kepada tisu di hidung. Pesakit juga perlu membuat dua atau tiga kali rawatan susulan, katanya.

Dr Khairuzzana pernah berdepan kes kanak-kanak yang memasukkan bendasing seperti pemadam di belakang pensil dan krayon. Antara komplikasi ketika mengeluarkan bendasing ialah pendarahan.

Jika bukan dilakukan pakar, dikhuatiri bendasing terbabit akan tertolak di rongga hidung di bahagian dalam dan boleh menyebabkan pesakit tertelan, iaitu memasuki saluran makan atau ke dalam rongga paru-paru.

Resdung

Gejala hampir sama dengan masalah bendasing dalam hidung, tetapi selesema berlaku di kedua-dua hidung. Kanak-kanak yang mengalami resdung mudah bersin, gatal mata dan hidung apabila terdedah kepada habuk, debunga, bulu binatang atau pada waktu pagi dan malam. Mereka alah kepada hama katil.

Kes yang ketara boleh menyebabkan sakit kepala dan sakit di pangkal hidung dan pipi. Sakit dialami tidak mengambil masa lama tetapi boleh berulang jika ada pencetus.

Resdung bermaksud pesakit terkena jangkitan kuman. Hingus pesakit resdung jenis ini berwarna kekuningan berbanding hingus dialami pesakit resdung biasa yang berwarna jernih.

Rawatan

Masalah ini berlaku disebabkan tidak semua rongga sinus terbentuk. Jangkitan kuman yang berlarutan boleh melarat hingga ke otak dan orbit mata (pangkal mata).

Kanak-kanak terbabit dimasukkan ke wad dan cecair dalam hidung disedut. Pembedahan untuk mengecutkan saluran hidung dengan perubatan dan pemeriksaan menggunakan endoskop bagi mengeluarkan cecair nanah dan hingus.

Biasanya, sebelum pembedahan dilakukan, doktor terlebih dulu berusaha dengan memberi pesakit ubat antibiotik intravena dan semburan hidung.

Jika gejala masih tidak berkesan, doktor akan buat CT Scan untuk melihat tahap keseriusan pesakit. Jika perlu, baru pembedahan dilakukan.

Rawatan utama untuk kanak-kanak yang mempunyai resdung alahan ialah pencegahan iaitu hindari haiwan peliharaan berbulu, permaidani, habuk pada kipas selalu dibersihkan, pendingin hawa sentiasa diselenggara, ibu atau bapa perlu berhenti merokok atau tidak merokok dalam rumah serta amalkan pemakanan sihat.

Selain itu, elak makanan yang boleh menyebabkan alahan seperti makanan laut atau ayam (bergantung kepada individu).

Rawatan susulan untuk mengawal masalah resdung alahan ialah dengan cara perubatan, misalnya semburan hidung dan ubat histamin (mengurangkan bersin dan gatal).

Oleh NORAINON OTHMAN

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.