Prihatin jika anak demam panas

Foto

Demam bagi yang dewasa adalah perkara biasa, tetapi jangan dibuat main apabila anak kecil mengalaminya. Jika anak kecil mengalami demam panas, ia perlu diambil serius oleh semua ibu bapa. Ini kerana, anak kecil yang mengalami demam sehingga suhu badannya melebihi 40 darjah Celsius berisiko tinggi menghidap sawan yang boleh memberi pelbagai implikasi, dengan paling ditakuti ialah kematian.

Perunding Paediatrik Kardiologi Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL), Dr Azam Mohd Nor berkata, sawan demam biasanya berlaku pada kanak-kanak berumur enam bulan hingga enam tahun apabila demam menjadi terlalu tinggi dan mengganggu aktiviti otak.

Menurutnya, sawan bermaksud keadaan di mana kanak-kanak itu tidak sedarkan diri, mengalami kekejangan badan dan kaki, mata hitam terbeliak ke atas, air liur meleleh dan pada tahap tertentu boleh termuntah, terkencing atau terbuang air besar.
Ia berlaku pada hari pertama kanak-kanak mengalami demam, terutama apabila demamnya naik mendadak. Selalunya sawan menyerang tidak lebih daripada 15 minit, namun kadangkala ia boleh berlarutan dan kebanyakannya hilang sendiri, katanya.

Sawan demam terbahagi kepada demam biasa dan demam kompleks. Sawan demam biasa adalah singkat, hanya satu episod sawan setiap kali demam dan terjadi kurang daripada 15 minit.

Manakala sawan demam kompleks adalah berpanjangan, lebih daripada 15 minit dan terjadi berulang-ulang di dalam satu episod demam. Kanak-kanak boleh mengalami sawan demam dan ini adalah sawan yang lazim berlaku.

Sekitar 30 peratus kanak-kanak mengalami sawan demam yang berulang-ulang, terutama selepas doktor mendapati tidak ada punca lain menyebabkan sawan selain suhu badan yang tinggi.

Namun, perlu diketahui juga bahawa kanak-kanak dengan sawan demam tidak semestinya mendapat epilepsi iaitu kejadian sawan yang berulang-ulang dan tidak dicetuskan oleh demam.

Hanya kira-kira tiga peratus daripada kanak-kanak mengalami sawan demam akan mendapat epilepsi.

Ketika diserang sawan, kanak-kanak mungkin tercedera kerana terjatuh atau mungkin tercekik air liur yang bertakung dalam mulut, katanya. Tanda kanak-kanak diserang demam ketika sawan apabila tidak sedar diri atau tidak menunjukkan tindak balas bila dipanggil.

Kedua-dua kaki dan tangan kejang atau tersentak-sentak, tetapi kadangkala kekejangan atau sentakan hanya berlaku pada sebahagian anggota badan, seperti satu tangan atau satu kaki. Mata mungkin terbeliak ke atas.

Sawan demam biasanya berhenti dengan sendiri selepas dua atau tiga minit atau kurang dan jarang melebihi 10 minit. Bagaimanapun, dalam kes di mana sawan melebihi lima minit, kanak-kanak perlu dibawa ke klinik secepat mungkin.

Ketika anak diserang sawan, cuba jangan panik dan lihat jam bila serangan berlaku dan tamat kerana doktor perlu tahu berapa lama sawan berlaku.

Longgarkan segala pakaian dan jangan ambil sudu atau bahan keras dan meletakkannya di dalam mulut kerana ia boleh menyebabkan luka teruk dalam mulut. Malah, jangan beri minum air atau ubat ketika anak sawan. Baringkan anak anda mengiring ke kiri bagi mengelak muntah atau lendiran masuk ke paru-paru. Lap lendiran atau air liur yang keluar dari mulut, katanya.

Dr Azam berkata, bawa anak ke klinik atau hospital dengan segera dan biasanya doktor akan masukkan ubat rectal diazepam melalui dubur untuk mengelak sawan demam berulang atau berpanjangan.

Anak anda kemungkinan dimasukkan ke wad walaupun tidak semua kanak-kanak perlu dimasukkan ke wad. Anak dimasukkan ke wad kerana khuatir sawan berulang, selain memastikan tiada jangkitan di otak atau penyakit lain.

Doktor juga mungkin membuat beberapa ujian untuk mencari penyebab demam dan apabila dijangka ada jangkitan di otak, ujian cecair saraf mungkin perlu dijalankan untuk mencari dan merawat penyebab demam, selain jangkitan otak.

Ini kerana supaya doktor dapat memeriksa dan memastikan anak tidak menghidap meningitis atau jangkitan selaput otak berikutan demam sawan juga adalah positif untuk mendapat penyakit ini.

Malah, bahayanya meningitis boleh membawa maut dan menyebabkan kecacatan kekal otak, tubuh dan lumpuh. Jika menghidap meningitis, anak akan demam berpanjangan, lemah, muntah, menangis tak henti-henti dan dalam kesakitan, katanya.

Menurutnya, kebanyakan kesan jangka masa panjang sawan demam tidak membahayakan. Tidak ada bukti mengatakan sawan demam boleh menyebabkan kerosakan otak.

Kanak-kanak yang mengalami sawan demam memperoleh pencapaian normal di sekolah dan mempunyai tahap kecerdasan sama seperti kanak-kanak lain yang tidak mengalami masalah sawan demam.

Ibu bapa boleh mengawal sawan demam dengan mengawal demam anak mereka. Ini berkesan dengan cara mengelap anak yang demam dengan tuala basah daripada air paip atau air yang suam sedikit.

Beri anak minum ubat untuk demam atau selesema. Jangan pakaikan anak dengan pakaian tebal kerana ia boleh menaikkan lagi suhu. Buka pakaian anak dan letak di bawah kipas dan lap dengan air ke seluruh badan, katanya.

Beliau berkata, kajian turut menunjukkan anak yang mengalami sawan demam juga disebabkan sejarah keluarga terdekat yang menghidap epilepsi atau menghidap sawan demam ketika kecil. Oleh ZAITIE SATIBI.

Ketika anak diserang sawan

  • Jangan panik dan lihat jam bila serangan berlaku dan tamat.
  • Longgarkan segala pakaian.
  • Jangan beri minum air atau ubat ketika anak sawan.
  • Baringkan anak anda mengiring ke kiri bagi mengelak muntah atau lendiran masuk ke paru-paru.
  • Lap lendiran atau air liur yang keluar dari mulut.
  • Bawa anak ke klinik atau hospital dengan segera.

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.