Renjatan elektrik pada otak

Foto

Oleh NORAINON OTHMAN

Setiap kali anak kecil demam, ibu orang paling bimbang dan sanggup berjaga malam. Kepala anak dituam dengan tuala basah supaya suhu badannya tidak terlalu tinggi.

Paling ditakuti si ibu ialah jika dibiarkan, suhu badan anak bertambah tinggi hingga boleh menyebabkan tubuh anak kejang atau sawan.

Sawan iaitu berlakunya renjatan elektrik di otak di luar kawalan boleh disebabkan demam atau bukan demam. Kebanyakan sawan yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dipanggil demam sawan.

Ia biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia enam bulan hingga enam tahun ketika demam dengan suhu tinggi melebihi 38.5 darjah Celsius.

SERANGAN sawan boleh menyebabkan kekejangan.

SAWAN berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia enam bulan hingga enam tahun ketika demam dengan suhu badan melebihi 38.5C.

Demam sawan tidak memberi kesan kepada perkembangan otak dan kebanyakannya berlaku kepada kanak-kanak dalam lingkungan umur berkenaan kerana pada usia itu, otak mereka belum terbina sepenuhnya, menyebabkan sensitif terhadap suhu badan yang tinggi. Kebanyakan sawan berpunca daripada virus demam dan radang tonsil.

Perunding Pakar Pediatrik Dr Soong Eileen berkata, demam sawan boleh dibahagikan dua bahagian iaitu sawan biasa dan sawan yang kompleks.

Sawan biasa yang terjadi ketika demam panas biasanya berlaku sekali dan kurang daripada lima minit kejang keseluruhan, membabitkan dua kaki dan dua tangan, mulut berbuih dan mata terbeliak memandang ke atas.

Biasanya kanak-kanak yang mengalami masalah ini tidak sedarkan diri kira-kira setengah jam dalam tempoh 24 jam sebelum pulih seperti sedia kala.

Ada yang boleh diserang sawan sekali, ada juga mengalaminya selepas setengah tahun dan menyerang berulang-ulang.

Sawan berulang-ulang

  • Bayi berusia kurang setahun mudah terdedah risiko.
  • Walaupun suhu badan bayi yang demam tidak terlalu tinggi iaitu kurang 38.5 darjah Celsius, mereka mudah terdedah kepada risiko sawan berulang-ulang.
  • Keturunan iaitu ada adik-beradik pernah demam dan mengalami sawan, atau ibu bapa pernah diserang sawan.

    Sawan yang kompleks

    Dalam tempoh 24 jam demam panas, bayi boleh diserang sawan berulang- ulang dua atau tiga kali dan kekejangan itu berlaku dalam tempoh lebih 15 minit.

    Bayi yang diserang sawan lebih lima minit perlu dibawa berjumpa doktor. Lebih lama dibiarkan tanpa rawatan, dikhuatiri bayi kekurangan oksigen. Bayi mungkin mengalami kekejangan di sebelah bahagian tubuh, tidak sedar atau koma.

    Sawan berpanjangan lebih 30 minit adalah bentuk sawan yang kronik dan pesakit perlu diberi bantuan bernafas melalui mesin pernafasan.

    Nasihat kepada ibu bapa

  • Apabila anak diserang sawan, baringkan anak. Ubah kedudukan anak dengan mengiring ke sebelah kanan atau kiri.
  • Jangan letak sudu atau kain dalam mulut anak yang mengalami sawan tarik. Ada ibu bapa berbuat demikian bagi mengelak lidah anak putus akibat tergigit ketika berlaku sawan.

    Bagaimanapun, tindakan meletakkan sesuatu dalam mulut anak boleh membahayakan dirinya. Ini kerana ketika sawan, lidah anak terkebelakang, sekali gus menutup saluran pernafasan dan objek yang diletak menyebabkan halangan yang boleh mengakibatkan oksigen tidak sampai ke otak.

  • Ketika suhu badan tinggi, jangan mandikan anak. Sebaliknya, lap tubuhnya untuk turunkan suhu. Kadangkala anak yang demam masih aktif dan boleh menjamah makanan serta bermain.

    Jika anak mengalami sawan lebih lima minit, segera bawa anak ke klinik berhampiran. Sawan jenis ini boleh sembuh selepas diberi ubat dan pesakit tidak perlu dimasukkan ke wad.

    Sawan akibat jangkitan kuman di selaput otak

    Juga dikenali sebagai meningitis, bayi mengalami demam dan asyik merengek atau menangis. Anak selalu tidur dan sakit mata.

    Keadaan ini boleh dikesan apabila anak tidak suka melihat lampu. Leher anak keras dan dia tidak suka menggerakkan lehernya kerana tidak selesa.

    Ketika pemeriksaan dengan sistem neuro dilakukan ke atas bayi, refleks bayi berkenaan berlebihan daripada biasa. Ubun-ubun bayi bonjol dan keras.

    Kesan sampingan

    Boleh menyebabkan pendengaran terjejas dan terencat akal. Nanah atau air juga boleh bertakung di selaput otak jika sawan tidak dirawat dengan antibiotik.

    Bayi asyik tidur kerana radang menyebabkan tekanan. Bayi sering tidak sedarkan diri, tidur atau jika keadaan bertambah teruk, boleh menyebabkan koma.
    Ibu bapa perlu memeriksa jika anak tiada demam atau sawan tarik, lihat gejala seperti:

  • Metabolik (keturunan). Lakukan pemeriksaan EEG iaitu memasang wayar di kepala pesakit untuk melihat aktiviti isyarat di otaknya. Jika berlaku sawan tarik, di bahagian otak ada isyarat tidak normal. Kita juga perlu melihat keadaan anak dengan membuat pemeriksaan darah bagi mengesan sama ada wujud penyakit metabolik.
  • Bagi mengenal pasti mereka yang demam atau diserang sawan mengalami jangkitan kuman di selaput otak atau ada penyakit metabolik, pemeriksaan menerusi pengambilan air tulang belakang akan dijalankan.

    Hanya kira-kira 10 titik atau kurang daripada dua mililiter diperlukan bagi tujuan itu. Sampel air tulang belakang akan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan lanjut. Pesakit diberi bius untuk tidur ketika prosedur dijalankan.

    Keputusan daripada pemeriksaan air tulang mungkin mengambil masa dua atau tiga hari. Jika disyaki bayi berkenaan mempunyai penyakit metabolik, masalah itu akan dirujuk kepada pakar neuro atau metabolik.

  • Bayi atau kanak-kanak yang sering diserang sawan akan diberi ubat oral untuk ditelan atau diminum.

    Setiap hari pesakit perlu makan ubat ini. Bagaimanapun, ia mempunyai kesan sampingan. Bagi mereka yang alah, ubat ini boleh menyebabkan ruam atau bibir bengkak.

    Ubat ini juga boleh menyebabkan mengantuk. Sehubungan itu, dos dan kekerapan pengambilan ubat perlu diimbangkan. Jika pesakit tidak lagi diserang sawan dalam tempoh satu tahun enam bulan, kurangkan dos secara berperingkat-peringkat, kemudian baru pengambilan ubat dihentikan.

    Ibu bapa mempunyai anak yang pernah diserang sawan harus melarangnya mengayuh basikal seorang diri. Pesakit perlu berteman ketika menunggang basikal atau mandi di kolam renang atau bilik mandi kerana dikhuatiri diserang sawan secara tiba-tiba yang boleh mengakibatkan pesakit lemas.

    Artikel berkaitan KH Kopi

  • Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.