Sembelit punca wujud kantung divertikulum di usus besar

Apakah kolon divertikulitis?

Ia jangkitan kuman di usus besar atau kolon pada bahagian divertikulum.

Apakah divertikulum di kolon?

Bahagian ini adalah tonjolan keluar berbentuk kantung di usus besar.

Mengapa divertikulum terjadi?

Ia disebabkan tekanan tinggi dalam usus besar ketika sembelit. Bahagian dinding usus yang lemah tertekan keluar menjadi tonjolan.

Adakah bahagian usus yang menjadi divertikulum boleh disembuhkan?

Tidak boleh disembuhkan kerana selain mengelak sembelit, ia penting untuk mengelak penyakit divertikulum sedia ada menjadi lebih serius.

Apakah masalah divertikulum kolon?

Ia boleh menjadi sakit kerana dijangkiti kuman dikenali sebagai divertikulitis. Kadangkala ia boleh bernanah atau berdarah.

Adakah ia boleh menjadi kanser?

Biasanya divertikulum kolon tidak menjadi kanser.

Usus besar bahagian manakah senang dijangkiti divertikulum?

Sigmoid iaitu bahagian usus besar di bahagian kiri abdomen.

Apa tanda pesakit menghadapi masalah ini?

Biasanya pesakit berasa sakit di bahagian kiri abdomen yang ada sigmoid divertikulitis. Namun, ia juga boleh berlaku di bahagian kolon kanan. Pesakit juga boleh demam jika ia bernanah. Jika pendarahan berlaku, pesakit akan mengeluarkan najis berdarah.

Bagaimana pemeriksaan untuk divertikulum kolon?

Pemeriksaan sinar X dengan cecair barium dimasukkan ke usus besar melalui dubur. Skop usus besar (kolonoskop) pun boleh mengesan penyakit ini. Bagi divertikulum bernanah, CT scan lebih penting kerana boleh mengukur saiz nanah.

Apa rawatan untuk kolon divertikulum?

Makan makanan mengandungi serat dan buah-buahan. Minum air secukupnya, iaitu dua liter atau lebih setiap hari.

Apakah rawatan untuk kolon divertikulitis (jangkitan kuman)?

Antibiotik secara suntikan atau ubat makan perlu diberikan.

Apakah rawatan bagi kolon divertikulum yang berdarah?

Biasanya, 80 peratus pendarahan boleh dikawal dengan puasa dan titisan intravena. Jarang pembedahan dijalankan kerana pendarahan tidak dikawal. Usus besar bahagian divertikulum yang berdarah dipotong dan bahagian usus yang sihat disambung balik.

Apakah rawatan divertikulum yang bernanah?

Nanah perlu dikeluarkan melalui salur atau tiub yang dimasukkan dengan bantuan CT scan. Kalau nanah tidak boleh dikeluarkan dengan cara ini, pembedahan akan dilakukan.

Bolehkah divertikulum menjadi bocor atau pecah?

Jika najis bocor melalui divertikulum dan kuman merebak ke keseluruhan bahagian abdomen, ia membahayakan pesakit. Pembedahan kecemasan diperlukan.

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.