Soaljawab: Stres dan kanser

ASSALAMUALAIKUM Tuan Haji. Saya selalu mendengar sesi temubual Tuan Haji melalui program Melayu di Radio SBS (Special Broadcasting Services). Dalam program minggu lalu, Tuan Haji ada menceritakan berkenaan perubatan al-Quran dalam merawati penyakit kanser dan saya tertarik dengan kenyataan Tuan Haji bagaimana stress salah satu penyebab kanser. Saya mengidap kanser paru-paru, tahap empat, sejak tiga tahun lepas. Saya telah menjalani kimoterapi sebanyak 18 kali. Bolehkah Tuan Haji terangkan bagaimana seseorang itu boleh mendapat kanser? Saya ingin tahu apa kaitan antara stres dengan kanser. Apa ayat yang boleh saya amal untuk mengurangkan stress dan juga mengubati penyakit kanser saya. Terima kasih.

*   Puan Lily, Sydney, Australia

Jawapan:

Alhamdulilah syukur kepada Allah SWT dengan keizinan-Nya, saya dapat menyebarkan mukjizat al-Quran kepada penduduk Islam di Australia, melalui program Melayu di Radio SBS setiap Rabu petang. Program ini khas untuk masyarakat Melayu di Australia. Program wawancara ini dikendalikan oleh pengacara dan juga penerbitnya, Zaini Ahmad dari ibu pejabat stesen Radio SBS di Melbourne, Australia.

Seminggu sekali Zaini akan menemubual saya secara lintas lansung melalui telefon dari Melbourne dalam isu berkaitan perubatan Islam. Ada masanya pendengar sendiri menelefon melalui program ini dan mengemukakan soalan kepada saya. Mereka yang menelefon bukan sahaja masyarakat Melayu menetap di Melbourne atau Sydney, malah dari seluruh Australia. Soalan yang dikemukakan selalunya mengenai gangguan seperti saka dan sihir. Kesimpulannya gangguan bukan sahaja berleluasa di Malaysia tetapi ia popular di Australia.

Merujuk kembali kepada SMS yang saya terima dari Puan Lily, dengan rezeki Allah beri, saya dijemput oleh Puan Lily untuk datang ke Sydney pada hari Ahad lalu untuk membuat rawatan. Tiba di Sydney, cuaca sangat sejuk sebab musim sejuk di benua selatan. Walaupun sudah banyak kali saya ke Sydney atas urusan kerja semasa saya bertugas dengan Syarikat Shell dan dengan badan berkanun Suruhanjaya Sekuriti dahulu, ini kali pertama saya ke sana atas undangan pesakit. Ramai masyarakat Melayu di Sydney yang terdiri daripada pelajar dan penduduk yang berhijrah.

Saya tidak berhenti bersyukur kepada Illahi atas undangan yang Allah beri. Kali ini saya datang bukan atas urusan duniawi tetapi untuk berdakwah berkenaan mukjizat al-Quran dalam aspek perubatan dan menolong merawat pesakit Islam di benua Down Under. Sesungguhnya menyampaikan mukjizat al-Quran adalah satu bentuk dakwah, hukumnya fardu kifayah. Dari Abdullah bin Amr r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sampaikan dari ku walau hanya satu ayat“. (Hadith Riwayat Bukhari)

Berbalik kepada penyakit yang dihadapi Puan Lily, beliau menghadapi sejenis penyakit kanser paru-paru – Non Small Cell Lung Cancer. Terdapat ketumbuhan sebesar 19 mm di sebelah kanan paru-parunya. Sakit kanser paru-paru jenis ini tidak menunjukkan simtom kanser paru-paru biasa seperti batuk perpanjangan, batuk berdarah, sesak nafas, sakit dada, cepat letih, hilang selera makan dan penurunan berat badan mendadak. Beliau mendapat tahu mengenai kanser ini apabila beliau merasa kelenjar pada leher bengkak. Selepas membuat pemeriksaan doktor dan imbas CT, didapati kanser itu telah merebak ke bahagian kelenjar pada dada sebelah kiri dan kanan.

Puan Lily telah menjalani proses kimoterapi sebanyak 20 kali di hospital Sydney bermula awal tahun 2011. Tetapi sel kanser dalam tubuh beliau tidak memberi tindak balas positif kepada kimoterapi walaupun doktor telah menukar ubat kimoterapi sebanyak empat kali. Malah sejak dua bulan lalu, sel kanser itu telah merebak ke bahagian tulang rusuk dan tulang belakang. Beliau sekarang sedang menjalani rawatan radioterapi untuk mengawal sel-sel kanser di bahagian tulang belakang daripada merebak ke tempat lain.

Ramai pesakit beranggapan proses kimoterapi dan radioterapi boleh menyembuhkan kanser. Anggapan ini tidak benar terutama jika tahap kanser sudah sampai tahap tiga dan empat. Dalam pengalaman saya mengubati kanser, ada pesakit kanser tahap satu, setelah menjalani proses pembedahan seperti mastectomy atau lumpectomy, dan selepas menjalani rawatan kimoterapi dan selang beberapa tahun, mereka mendapat relapse atau kanser berulang. Ini membuktikan proses kimoterapi dan radioterapi hanya boleh melambatkan sel kanser daripada merebak, dan bukan mematikannya.

Saya sering ditanya oleh pesakit kenapa mereka dapat kanser dan kenapa ahli keluarga mereka yang lain tidak dapat. Ada yang bertanya kenapa pesakit lain boleh sembuh tetapi diri mereka masih bertarung dengan kanser. Memang benar kita kena patuh dengan takdir Illahi. Segala musibah yang Allah turunkan ada hikmahnya. Kita kena bersabar atas segala ujian yang Allah beri. Sebab Allah sayang kepada kita sebab itulah dia menguji kita. Sekiranya kita sabar dan lulus ujian Allah, mungkin Dia akan naikkan darjat kita di akhirat nanti.

Untuk pengetahuan semua, setiap tubuh badan manusia mempunyai sel kanser. Sel kanser ini adalakanya hanya diam dan tidak merbahaya kepada tubuh seseorang. Tetapi kadang-kala sel kanser itu akan menjadi abnormal dan membiak menjadi satu ketumbuhan yang dipanggil tumour. Sel-sel tadi perlu membiak berjuta-juta sel untuk menjadi satu tumor yang besar.

Proses pembesaran tumor ini memakan masa lama, kadang-kala bertahun-tahun. Ramai di antara pesakit tidak tahu ada ketumbuhan dalam badan mereka sehinggalah ketumbuhan itu sudah menjadi kanser. Kadang-kadang tumour itu hanya tumour benign iaitu tidak berbahaya dan tidak merebak ke anggota badan lain. Tumour yang merebak ke lokasi anggota lain dipanggil tumour malignan. Ia sangat berbahaya dan dipanggil kanser.

Stres dan anxiety

Sekiranya tubuh seseorang itu sihat dan mempunyai sistem daya pertahanan diri (immune system) yang kuat dengan sendirinya sel kanser yang abnormal dan membiak itu, akan dimatikan oleh antibodi sistem pertahanan dalam tubuh seseorang. Ini akan berlaku tanpa kita sedari. Kanser akan terjadi apabila sistem pertahanan seseorang lemah dan gagal mengawal pembiakan sel kanser dalam tubuh.

Sistem pertahanan diri akan menjadi lemah jika kita tidak menjaga kesihatan dengan baik. Untuk menjadikan tubuh badan sihat, kita mesti melakukan gaya hidup sihat seperti:

  • Makan makanan seimbang
  • Cukup rehat dan cukup tidur
  • Selalu melakukan aktiviti senaman
  • Hidup dalam persekitaran udara bersih dan segar
  • Tidak terdedah kepada bahan kimia yang mengakibatkan kanser
  • Tidak merokok
  • Tidak minum alkohol
  • Kurangkan stres

Yang paling penting kita sebagai umat Islam melakukan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang Allah pinta. Perbanyakkan solat dan selalu berzikir mengingati Allah. Semua ini ada ditulis di dalam al-Quran dan hadis. Jika kita lakukan apa yang Allah suruh, Insya-Allah tubuh badan kita akan sihat dan stres boleh dikawal dan sistem imun kita jadi kuat. Insya-Allah kita boleh mencegah diri kita daripada kanser.

Stres dan anxiety adalah salah satu penyebab kanser. Stres adalah tekanan emosi apabila kita di dalam keadaan tertekan dari segi emosi, mental atau fizikal. Dalam hidup, kita tidak boleh lari daripada stres. Kita dikelilingi pelbagai jenis stres seperti kerja, keluarga, persekitaran, kesesakan jalan-raya, anak-anak akan mengambil peperiksaan, suami curang dan sebagainya.

Anxiety pula ialah perasaan bimbang, runsing, risau, takut dan memikirkan perkara-perkara negatif. Jadi stres dan anxiety yang berterusan boleh mendorong kepada seseorang itu untuk senang untuk mendapat penyakit kanser.

Bila kita stres atau mempunyai anxiety yang tinggi, metabolism kita akan dengan sendirinya meningkat dan degupan jantung akan menjadi lebih laju daripada biasa. Bila ini berlaku, dengan sendirinya tubuh akan mengeluarkan lebih banyak karbon dioksida dalam darah. Karbon dioksida adalah berasid dan ini akan membuat tubuh kita lebih berasid. Sel kanser akan cepat membiak dalam persekitaran tubuh berasid.

Apa yang mustahak ialah kita mesti tahu bagaimana untuk mengawal dan mengurus stres. Banyak kaedah moden yang kita tahu untuk mengawal stres tapi kaedah dalam Islam sungguh mudah. Lakukan solat, berzikir, baca al-Quran dan berdoa pada Allah. Insya-Allah ini adalah terapi mengawal stres paling berkesan.

Surah untuk mengawal stres dan mententeramkan jiwa:

  • Surah Muhammad dari ayat 21 hingga 32
  • Surah Toha dari ayat 120 hingga 135

Surah permulaan untuk menangani masalah kanser:

  • Surah Al Mukminun dari ayat 91 hingga 100
  • Surah Al Hajj dari ayat 31 hingga 55
  • Surah Hud dari ayat 60 hingga 80
  • Surah An Nahli dari ayat 90 hingga 110

Ada sebanyak 60 lebih rangkaian ayat yang saya telah kenalpasti untuk mengubati pelbagai jenis kanser. Semua ini terdapat di dalam buku saya yang bertajuk “Perubatan Al Quran Rawatan Kanser” terbitan Must Read Publication yang ada di dalam pasaran sejak bulan Mac 2013. Buku ini boleh dibeli di klinik saya di Setiawangsa atau di kedai-kedai buku utama.

Ingin juga saya berkongsi cerita semasa saya mengubat di Sydney minggu lepas. Semasa saya di rumah Puan Lily, saya terpandang beberapa keratan artikel saya di akhbar Mingguan Malaysia yang dikirim oleh keluarga Puan Lily dari Malaysia. Alhamdulillah syukur kepada Allah, rupa-rupanya artikel saya jauh menjelajahi bumi Allah ini. Terima kasih kepada pihak Utusan Malaysia kerana memberi peluang untuk saya berdakwah melalui media ini.

 

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.