Strok serang orang muda

Foto

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Saban tahun, kira-kira 15 juta individu di seluruh dunia menderita kerana strok. Dianggarkan 50,000 rakyat Malaysia diserang strok setiap tahun. Angka itu bermaksud secara purata, seorang diserang strok bagi setiap 10 minit.

Menjelang 2020, kadar kematian disebabkan strok di dunia akan meningkat hampir dua kali ganda. Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia 2003 (WHO), punca utamanya ialah peningkatan jumlah warga emas dan kekurangan kawalan terhadap faktor risiko utama strok, terutama di negara kurang membangun.

Strok atau juga dikenali sebagai angin ahmar adalah punca kematian ketiga di Malaysia. Secara umumnya, penyakit ini bukan hanya memberi impak kepada kualiti kehidupan pesakit, malah ahli keluarga terdekat.

Antara strok biasa dikenal pasti adalah iskemia (beku), berdarah, serangan iskemia sementara (TIA) dan fibrilasi atrium (AF) yang dikaitkan dengan penyakit yang semakin membimbangkan itu. Setiap jenis serangan mampu memberikan kesan yang mendalam terhadap pesakit dan penjaga.

Perunding Kardiologi dan Electrophysiologist, Institusi Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Razali Omar, berkata AF boleh menyebabkan jantung seseorang itu berdegup melebihi 200 hingga 300 kali dalam seminit.

Menurutnya, dulu, AF tidak dilihat sebagai masalah yang mengancam nyawa dan ia kerap dikesan oleh orang tua. Tetapi hari ini, AF turut dikesan oleh golongan seawal usia 14 tahun.

Ia kerap terjadi dalam kalangan orang muda yang masih aktif bekerja, bersukan dan tiada masalah kesihatan (seperti diabetes atau tekanan darah tinggi). Semakin meningkat usia, semakin tinggi risiko diserang AF.

Mereka yang berusia 40 tahun ke atas terdedah kepada penyakit ini, tetapi ia lebih banyak dihidapi individu berusia 60 tahun ke atas. Dengan AF, risiko mendapat strok meningkat kerana kebuk atas jantung seseorang (atrium) tidak mengecut dengan efektif yang menjejas kelancaran pengaliran darah dalam jantung.

Ini menyebabkan darah bertakung dalam atrium dan apabila alirannya terganggu, pembekuan darah boleh berlaku. Darah beku yang terbentuk pada atrium boleh terpisah dan bergerak melalui arteri terus ke otak dan menyebabkan strok, katanya ketika ditemui sempena Sambutan Hari Strok Sedunia anjuran Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (NASAM) di ibu negara baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Neurosains Malaysia, Prof Dr Hamidon Basri, berkata penyakit itu mampu mengubah kehidupan, emosi dan pergerakan fizikal dalam sekelip mata.

Sesiapa saja boleh mendapat serangan strok termasuk individu paling penting dalam hidup anda. Kebanyakan rakyat Malaysia pernah mendengar dan tahu mengenainya tapi yang menyedihkan tidak pernah mengambil tahu kesan penyakit itu terhadap mereka.

Kebanyakan individu tidak sedar akan peningkatan risiko dan potensi perubahan gaya hidup akibat strok. Terdapat beberapa langkah untuk mencegah strok. Antaranya peka terhadap faktor risiko seperti tekanan darah, kencing manis dan kolesterol.

Banyakkan bersenam, mengekalkan diet seimbang misalnya kurangkan pengambilan alkohol, elakkan merokok selain meminimumkan risiko terkena strok, katanya.

Pesakit kencing manis berisiko empat kali ganda. Paling penting ialah memastikan paras gula dalam darah dalam keadaan baik dengan pengawalan dan pemantauan yang kerap.

Dengan AF, risiko mendapat strok meningkat kerana kebuk atas jantung seseorang (atrium) tidak mengecut dengan efektif yang menjejas kelancaran pengaliran darah dalam jantung.

Ini menyebabkan darah bertakung dalam atrium dan apabila alirannya terganggu, pembekuan darah boleh berlaku. Darah beku yang terbentuk di atrium boleh terpisah dan bergerak melalui arteri terus ke otak dan menyebabkan strok.

AF juga boleh menyebabkan jantung seseorang itu berdegup melebihi 200 hingga 300 kali dalam seminit. Semakin meningkat usia, semakin tinggi risiko diserang AF. Mereka berusia 40 tahun ke atas terdedah kepada penyakit ini, tetapi ia lebih banyak dihidapi individu berusia 60 tahun ke atas.

Strok adalah punca kematian ketiga terbesar di Malaysia

Angin ahmar

Strok atau angin ahmar dibahagikan kepada dua jenis:

1. Strok Infarcts:

  • Dikenali juga sebagai strok ischaemic iaitu pengaliran darah ke otak berkurangan disebabkan arteri (saluran darah) sempit.
  • Ia disebabkan darah beku yang menyekat arteri yang membekalkan darah ke otak.
  • Ada dua jenis darah beku yang menyebabkan sekatan arteri:

    a. Thrombus, iaitu darah beku berbentuk plak, bahan melekit mengandungi lemak dan kolesterol pada dinding arteri.

    b. Embolus, darah beku yang bergerak dalam saluran darah. Berpunca dari bahagian lain seperti jantung atau arteri bahagian bawah yang kemudian menyekat laluan arteri yang membawa darah ke otak.

2. Cerebal hamorrhage (pendarahan):

  • Ia berlaku apabila salur darah dalam mana-mana bahagian otak lemah dan pecah.
  • Apabila pecah, darah masuk ke otak pada tekanan tinggi dan boleh mengakibatkan pemampatan tisu dalam otak. Tekanan ini boleh menyebabkan kehilangan bekalan darah ke tisu di sekeliling otak.
  • Strok biasanya berlaku secara tiba-tiba dan tidak ada amaran. Ini bergantung kepada kawasan otak yang terjejas.

    Lebih luas otak terjejas, semakin besar kerosakan dan lebih banyak fungsi otak juga akan rosak.

Apakah AF

  • Apabila ritma denyutan jantung tidak normal.
  • Degupan jantung tidak teratur.
  • Kadar degupan jantung sangat pantas iaitu 350-700 seminit.
  • Atrium tidak mengecut dengan efektif.

Individu atau pesakit yang terdedah kepada AF

  • Darah tinggi
  • Diabetes
  • Paru-paru
  • Tiroid
  • Buah pinggang
  • Sesak nafas
  • Obesiti Sebab terjadi AF
  • Mereka yang mempunyai sejarah sakit jantung.
  • Individu yang minum arak atau alkohol dan pneumonia.

Gejala AF

  • Jantung berdebar
  • Lesu
  • Sakit dada
  • Pening kepala
  • Pengsan
  • Sesak nafas

Faktor risiko AF

  • Usia: Lazimnya semakin usia bertambah, risiko AF meningkat.
  • Gender: AF lebih banyak dihidapi lelaki berbanding wanita.
  • Keadaan jantung: Masalah injap jantung, serangan jantung dan kegagalan jantung berfungsi.
  • Faktor lain: Diabetes dan darah tinggi

Fibrilasi atrium (AF)

  • AF adalah masalah daripada ruang atas dalam jantung, biasanya pada atrium sebelah kanan.
  • Ia membabitkan vena di bahagian pulmonari yang membawa darah diperkaya oksigen daripada paru-paru.
  • Untuk sampai ke bahagian pulmonari, dilakukan dengan memasukkan kateter melalui kaki pesakit sebelum kateter dipandu ke kawasan itu dan dengan sejumlah tenaga radiofrekuensi yang terkawal ia berupaya memusnahkan tisu kardiak.

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.