Tag Archives: bersalin khkopi

Sembelit ketika hamil reda selepas bersalin

SEJAK kebelakangan ini saya kerap mengalami masalah sembelit. Untuk pengetahuan doktor, saya sedang hamil anak pertama. Mengapakah saya sering mengalami masalah tersebut? Apakah yang boleh saya lakukan untuk mengatasi masalah tersebut ? Adakah sembelit semasa hamil boleh menjadi masalah yang serius? Mohon bantuan. Terima kasih.

* Amalin, Selangor

Jawapan
Sembelit ialah masalah biasa semasa hamil. Kira-kira 30 hingga 40 peratus wanita hamil mengalami sembelit. Ini diakibatkan perubahan hormon semasa hamil yang memperlahankan pergerakan makanan melalui salur penghadaman anda. Tekanan oleh rahim yang semakin membesar ke atas rektum juga boleh mengakibatkan sembelit. Sesetengah pil zat besi juga boleh membuatkan sembelit menjadi lebih teruk.

Pertama, perhatikan bila dan bagaimana anda pergi ke tandas. Biasakan diri pergi ke tandas pada kali pertama anda rasa mahu membuang air besar. Waktu awal pagi atau kira-kira satu jam selepas waktu makan adalah masa-masa yang sesuai untuk anda cuba ke tandas. Cuba ambil masa lebih sedikit untuk bersendirian, walaupun ini agak sukar jika anda mempunyai anak-anak lain untuk dijaga.

Kaedah-kaedah lain juga boleh membantu. Anda perlu mengawasi diet anda. Pastikan anda minum air secukupnya dan melakukan senaman secara tetap. Perlu makan makanan berserat tinggi seperti bijirin bijian penuh, roti bijian penuh dan buah-buahan serta sayur-sayuran segar setiap hari.

Anda juga dinasihatkan minum banyak air atau jus buah-buahan dan sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Jus prun juga boleh membantu.

Lakukan aktiviti seperti biasa. Bersenam seperti berjalan, berenang dan menunggang basikal senaman, kerana kesemuanya boleh membantu mengurangkan sembelit, dan membuatkan anda berasa lebih cergas dan sihat. Suplemen pranatal yang mengandungi zat besi juga boleh menyebabkan sembelit. Tanyalah doktor jika ada pilihan lain.

Jangan ambil ubat-ubatan berbentuk julap yang boleh didapati di pasaran tanpa mendapat nasihat daripada doktor anda terlebih dahulu. Jika perubahan pada diet dan gaya hidup tidak membantu, mungkin doktor anda boleh memberi ubat yang selamat diambil semasa hamil.

Sembelit bukanlah satu masalah besar bagi kebanyakan wanita hamil, tetapi jika berlarutan, maklumkan kepada doktor anda. Kadang-kala, sembelit yang berpanjangan boleh menyebabkan buasir. Ini boleh jadi menyakitkan, gatal dan tidak selesa. Ada juga yang mengalami pendarahan semasa membuang air besar. Buasir biasanya reda sendiri tidak lama selepas bersalin.