Tag Archives: bersukan bulan ramadhan

Bersukan selepas berbuka puasa

Foto

Oleh NORAINON OTHMAN

Bagi yang menjadikan sukan dan riadah sebagai sebahagian gaya hidup, bulan puasa tentu berlainan daripada biasa. Pada bulan lain, individu terbabit boleh membasahkan tekak selepas penat bersukan, tetapi tidak pada bulan puasa.

Jadi, apakah keputusan yang patut diambil? Wajarkah berehat daripada bersukan pada bulan puasa atau masih meneruskan kegiatan, sekalipun kehilangan air dalam badan? Bolehkah aktiviti sukan dan riadah diteruskan pada bulan puasa? Walaupun isu itu nampak kecil, ia sering menjadi tanda tanya tetapi akhirnya dibiarkan tanpa jawapan. Bagi mereka yang aktif bersukan, tentu keputusan berehat sebulan daripada aktiviti itu satu kejanggalan.

Perunding Ortopedik dan Kecederaan Sendi Hospital Columbia Asia Cheras, Dr Azfar Rizal Ahmad berkata, menjalani ibadah puasa pada Ramadan sebenarnya meninggalkan kesan kecil kepada keseluruhan nutrisi dan tindak balas fisiologi (perjalanan tubuh).

Bagi yang kurang bersenam, indeks jisim tubuh (BMI) biasanya tidak berubah dan jumlah pengambilan kalori masih berterusan dengan ada sedikit perubahan dalam penggunaan protein, lemak dan karbohidrat.

Ini kerana, mereka berpuasa pada waktu siang tetapi selepas berbuka, mengambil makanan dalam saiz hidangan yang besar.

Kajian menunjukkan berpuasa pada Ramadan mempunyai impak kecil pada prestasi atlet ketika melakukan aktiviti sukan.

BERMAIN bola sepak antara sukan yang tidak sesuai dilakukan pada bulan puasa.

SOLAT Tarawih satu bentuk senaman sederhana dan banyak manfaat.

Prestasi orang biasa (bukan atlet) yang menjalani aktiviti sukan biasa, misalnya bermain bola sepak atau berjoging, pula tidak terjejas disebabkan berpuasa. Bersukan pada Ramadan digalakkan dilakukan selepas berbuka puasa. Ini kerana, sekurang-kurangnya mereka boleh minum apabila berlaku dehidrasi (kehilangan air dalam tubuh) akibat bersukan.

Menurutnya, bersukan selepas berbuka puasa atau bukan dalam keadaan lapar boleh menggalakkan penyesuaian kepada rangsangan latihan, pemulihan dan mungkin membantu dalam mengurangkan kerosakan otot.

Kurang tidur mempunyai beberapa kesan buruk kepada prestasi. Oleh itu, atlet perlu memastikan mendapat tidur mencukupi sepanjang Ramadan.

Walaupun bersukan digalakkan selepas berbuka puasa, persoalannya ialah jarak antara waktu berbuka puasa dengan menunaikan solat Tarawih yang singkat mungkin menyebabkan aktiviti sukan sukar dilakukan.

Jadi, jika bersukan sebaik-baiknya dilakukan selepas berbuka puasa, bila sepatutnya ia dilakukan? Adakah selepas solat Tarawih? Jika memilih waktu itu, bila pula seseorang itu hendak tidur dan cukupkah waktu tidurnya kerana dia juga sebaik-baiknya bangun untuk bersahur?

Setiap individu mesti mengekalkan pengambilan kalori dan cecair tubuh serta mendapat tidur yang cukup. Jika mahu beriadah sewaktu siang, aktiviti ringan seperti berjoging tidak memberi kesan besar pada puasa.

Bagaimanapun, aktiviti yang memerlukan stamina memecut berulang kali atau maraton boleh memberi kesan kepada atlet dan tidak sesuai dilakukan ketika berpuasa, katanya.

Beliau berkata, masa optimum untuk atlet menjalankan sesi latihan ketika Ramadan adalah pada waktu malam, selepas berbuka puasa.

Latihan dilakukan berulang dan memerlukan tenaga yang banyak cenderung menyebabkan atlet keletihan dan mengantuk, katanya.

Dr Azfar berkata, bukti yang ada menunjukkan atlet peringkat tinggi boleh mengekalkan prestasi ketika Ramadan jika latihan fizikal, pengambilan makanan dan cecair dikawal dengan baik serta mendapat tidur yang cukup.

Masa dan kekuatan latihan mungkin memerlukan pelarasan dalam mengoptimumkan tindak balas latihan dan melakukannya selepas matahari terbenam mungkin mempunyai kelebihan, katanya.

Menurutnya, tidak sesuai melakukan aktiviti sukan yang memerlukan keluar banyak tenaga seperti bermain bola sepak di waktu petang sebelum berbuka kerana selepas 12 jam berpuasa, paras gula dalam darah berada pada paras paling rendah, menyebabkan cepat letih. Bagaimanapun, untuk senaman ringan seperti aerobik, berbasikal atau berjoging tiada masalah.

Solat juga satu bentuk senaman. Dalam sehari, umat Islam melaksanakan solat lima waktu serta menambah amalan dengan beberapa solat sunat.

Pada Ramadan, solat Tarawih satu bentuk senaman baik kerana ia sebenarnya senaman fizikal sederhana, terutama kepada setiap otot di dalam badan.

Apabila kita solat, ia satu bentuk senaman isometrik iaitu sistem senaman berdasarkan prinsip pengecutan isometrik otot. Ini dapat dilakukan pada otot yang digunakan apabila anggota menarik atau menolak, menentang sesuatu yang tidak boleh bergerak. Senaman ini menambah kesegaran dan membina otot.

Secara tidak langsung, dengan menunaikan solat Tarawih 23 rakaat, kadar metabolisme dalam otot meningkat, sekali gus menyebabkan salur darah mengembang dan lebih banyak darah akan disalurkan ke jantung.

Jantung yang menerima banyak darah akan bekerja lebih keras untuk mengalirkan darah ke seluruh tubuh. Ini dapat menguatkan otot jantung serta meningkatkan peredaran dalam otot jantung, katanya.

Selepas berbuka puasa, paras gula dalam darah terus meningkat daripada makanan yang dimakan. Sebaliknya, sebelum menikmati hidangan berbuka puasa, kadar gula dalam darah dan paras insulin berada di tahap paling rendah. Selepas satu jam atau lebih selepas makan ketika berbuka puasa itu, gula dalam darah mula meningkat secara perlahan-lahan.

Sebab itu ada kelebihannya menunaikan solat Tarawih kerana ia dilakukan ketika kadar gula dalam darah kita berada pada paras paling tinggi disebabkan selepas makan.

Amalan itu dapat membantu membakar kalori berlebihan dalam badan. Secara tidak langsung, latihan lembut yang dilakukan dalam solat Tarawih dapat menurunkan kadar gula dalam darah di tubuh kita, sekali gus memberi kesan dalam meningkatkan kecergasan fizikal dan emosi.

Pergerakan berulang-ulang dan tetap ketika solat dapat menguatkan otot, urat dan sendi lebih fleksibel. Dengan bersolat, bekalan darah ke otot ditingkatkan.

Ketika solat Tarawih, bekalan darah dapat ditingkatkan dan apabila kita bernafas, lebih banyak udara masuk ke paru-paru dan pertukaran gas secara tidak langsung dapat meningkatkan pernafasan, katanya.

Katanya, solat Tarawih membolehkan warga tua memperkayakan kualiti hidup dan membantu menguatkan ingatan kerana perlu mengingati jumlah rakaat.

Untuk wanita, solat Tarawih membantu menguatkan tulang serta mengurangkan risiko mendapat osteoporosis. Solat Tarawih membantu mengimbangkan berat badan kita di bulan puasa kerana kerana kalori dibakar.

Dalam kalangan kanak-kanak, solat Tarawih juga dapat mengelakkan masalah obesiti. Senaman ini sebenarnya dapat meningkatkan keyakinan diri dan tenaga serta mengurangkan keresahan dan kemurungan.