Tag Archives: budak kuman dalam darah

Pneumokokal ragut sejuta nyawa budak

Foto

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Di peringkat global, penyakit pneumokokal menjadi punca utama kesakitan dan kematian di seluruh dunia yang meragut 1.6 juta nyawa setiap tahun.

Pneumokokal ialah sekumpulan penyakit disebabkan bakteria streptococcus pneumonia yang menyebabkan jangkitan kuman dalam darah, meningitis atau jangkitan pada membran selaput otak dan saraf tunjang, radang paru-paru (pneumonia) dan otitis media atau jangkitan telinga tengah.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan penyakit pneumokokal meragut nyawa antara 700,000 hingga sejuta kanak-kanak berusia bawah lima tahun setiap tahun.

Di peringkat global, kelaziman penyakit pneumokokal tahunan dianggarkan 14.5 juta kejadian dalam kalangan kanak-kanak bawah usia lima tahun.

Asia mencatat angka penyakit pneumokokal paling tinggi, termasuk beban penyakit invasif dan bukan invasif di dunia, dengan separuh daripada kes penyakit pneumokokal berlaku di rantau ini.

Menyedari kesan serius pneumokokal yang lazimnya boleh membawa maut dan hilang upaya, pelbagai inisiatif dan usaha dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu bagi meningkatkan kesedaran terhadap penyakit ini dan memberi penekanan mengenai pentingnya mencegah dalam kalangan ibu bapa di Malaysia.

BAKTERIA Streptococcus pneumonia menyebabkan jangkitan kuman dalam darah, meningitis atau jangkitan membran selaput otak.

Antara kempen terbaru dilaksanakan ialah kempen Yes to PnD Protection (Ya kepada perlindungan daripada PnD) iaitu satu langkah untuk membolehkan semua kanak-kanak mendapat vaksin pneumokokus supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan sihat.

Kempen inisiatif parenting2u, Pakatan Strategik Pencegahan Penyakit Pneumokokal Asia (ASAP) dan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) ini bertujuan menyatukan pakar pakar penjagaan kesihatan profesional, ibu bapa, dan individu prihatin dalam usaha menggesa kerajaan Malaysia menjadikan kesihatan kanak-kanak satu keutamaan, terutama berkaitan pemvaksinan penyakit pneumokokal.

Ahli Pengasas Asian Strategic Alliance for Pneumoccocal Disease Prevention (ASAP) dan Pakar Runding Pediatrik KPJ Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata, kajian pihaknya mendapati sebahagian besar ibu bapa masih tidak sedar mengenai penyakit ini, khususnya di luar bandar.

Pendidikan mengenai kaedah pencegahan ini perlu disampaikan kepada semua. Kesan penyakit ini sangat teruk tapi boleh dielak dengan kaedah pencegahan berkesan kepada kanak yang menderita penyakit ini.

Vaksin dan pelalian cara paling berkesan dan menjimatkan kos untuk mengurangkan kadar penyakit dan kematian, namun masih ramai kurang mengambil berat mengenainya, katanya ketika ditemui pada kempen Yes to PnD Protection di Damansara, baru-baru ini.

Seramai 100 pakar pediatrik dan pengamal perubatan am (GP) seluruh Malaysia dijemput menyertai kempen ini.

Setiap doktor yang turut serta akan memberi kad ikrar Yes to PnD Protection kepada ibu bapa yang mengunjungi klinik mereka dan membincangkan mengenai pentingnya vaksin pneumokokus.

Ibu bapa kemudian diminta mengisi sebahagian kad ikrar dan memasukkannya ke dalam kotak yang disediakan di klinik. Bahagian kad ikrar selebihnya hendaklah disimpan ibu bapa sebagai satu bentuk rujukan kalendar pemvaksinan anak mereka.

Kempen ini berlangsung selama enam bulan bermula April hingga September tahun ini. Selepas tamat tempoh, kad ikrar akan dikutip untuk pengiraan sebelum dihantar kepada Kementerian Kesihatan dengan permintaan untuk merangkumkan pemvaksinan pneumokokus dalam Program Pelalian Negara.

Perunding Pediatrik Klinik Pakar Kanak-kanak Junina, Dr Yong Junina Fadzil berkata, pemvaksinan cara paling selamat untuk mengelak kanak-kanak dijangkiti bakteria streptococcus pneumonia.

Penyakit ini memberi kesan kepada emosi, psikologi, selain kos tinggi dan tidak berupaya ditanggung mereka yang berpendapatan sederhana. Kos rawatan penyakit pneumokokal mahal, terutama apabila pesakit perlu mendapatkan pengawasan lama di hospital.

Ibu bapa memainkan peranan penting, terutama kepada anak mereka di bawah usia lima tahun. Sebahagian ibu bapa kurang peka dengan tahap kesihatan anak, terutama apabila demam, kerana menganggap ia perkara biasa. Sebenarnya demam juga antara simptom awal penyakit ini, katanya.

Pada 2011, seramai 1.25 juta kanak-kanak mati akibat pneumonia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bergabung tenaga dengan kerajaan dan badan lain untuk menggunakan kaedah kos rendah sedia ada seperti peningkatan tahap kebersihan, air minuman yang selamat dan akses kepada vaksin bagi menentang penyakit ini.

Meskipun WHO dan badan penasihat lain sentiasa menyarankan langkah menjadikan pemvaksinan pneu- mokokus sebahagian daripada program pelalian negara dan banyak negara seperti Hong Kong, Singapura dan Maghribi melakukannya, pemvaksinan pneumokokus masih tidak diwajibkan di Malaysia.

Ini mungkin disebabkan kurang kesedaran dan permintaan ibu bapa serta kekurangan data menunjukkan kadar penularan penyakit yang mewajarkan kerajaan membolehkan semua ibu bapa di Malaysia mendapat vaksin untuk anak mereka.

Sementara itu, Pengasas Myhealth Outreach dan pengasas bersama parenting2u.com, Chan Li Jin berkata, pneumokokal kurang diberi perhatian di Malaysia.

Ibu bapa perlu menyedari kesan penyakit dan keperluan mendapatkan vaksin dalam usaha melindungi anak daripada bahaya.

Kami harap kempen ini dapat menarik minat ibu bapa berbincang dengan doktor dan mengambil langkah perlu supaya kanak-kanak dapat menjalani hidup dengan sihat, katanya.