Tag Archives: cache:9djgyy7kmhyj:khkopi.rs.com.my/kenali-arthritis-radang-sendi.html sakit pergelangan kaki

Perbaiki tabiat kawal jangkitan

Foto

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2002, H1N1 pada 2009, Ecoli di Jerman pada 2011 dan Selsema H7N9 yang menyerang China baru-baru ini, membuktikan dua perkara.

Pertama, virus dan bakteria influenza sentiasa mengubah diri mengalami mutasi. Kedua, ancaman penyakit berjangkit terhadap orang ramai semakin meningkat setiap hari kerana virus dan bakteria ini semakin tahan untuk menghadapi pilihan rawatan yang ada sekarang.

Kajian terbaru dijalankan Global Hygiene Council, sebuah kumpulan pakar dalam bidang kebersihan terkemuka dunia termasuk mikrobiologi, virologi, penyakit berjangkit, imunologi dan kesihatan awam dengan kerjasama Dettol menunjukkan, manusia mudah dijangkiti apabila kumpulan besar manusia berkumpul dalam acara keagamaan, festival, muzik serta dalam pengangkutan awam yang sesak.

Pengerusi Global Hygiene Council, Prof John Oxford berkata, tempat yang sesak dengan orang ramai memberi forum yang ideal bagi mikrob untuk tersebar dengan meluas dalam kalangan manusia.

Kita tentu tahu mengenai akibat merebaknya penyakit global. Wabak influenza seperti H1N1, SARS, norovirus dan selsema biasa tersebar melalui sentuhan kepada manusia.

H1N1 tersebar ketika Hari Belia Sedunia pada 2008, SARS menjadi ancaman ketika musim haji pada 2003, manakala pandemik kolera Asia bermuka ketika upacara ziarah Hindu KumbhMela, katanya ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.

LEE (kiri) bersama Oxford pada Majlis Pengumuman Kajian Global Hygiene Council 2013 Dettol, baru-baru ini.

Kajian Global Infection Challenge Survey yang mengkaji lebih 18,000 orang dewasa di 18 negara, termasuk Malaysia, menunjukkan kebimbangan terbesar (30 peratus) penyakit berjangkit di seluruh dunia ialah selesema bermusim.

Di Malaysia saja, kebimbangan terbesar (36 peratus) penyakit berjangkit ialah cirit birit, muntah dan jangkitan kulit. Kajian juga mendapati 75 peratus daripada rakyat negara ini yang diselidik bimbang mengenai diri mereka serta ahli keluarga dijangkiti penyakit berjangkit.

Kira-kira 70 peratus menyatakan pengangkutan awam adalah tempat paling berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit, manakala 60 peratus yang diselidik turut menamakan sekolah, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak sebagai tempat berisiko tinggi yang mendedahkan anak mereka kepada ancaman bakteria dan virus.

Bagaimanapun, hanya 53 peratus berpendapat tempat ramai orang sebagai antara tempat paling bahaya untuk mendapat jangkitan penyakit dan menunjukkan jurang semasa yang wujud dalam mengawal wabak serta pengurusan kebersihan kesihatan.

Dalam pada itu, Ketua Unit Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Datuk Christopher Lee berkata, kerajaan dan pertubuhan kesihatan awam sentiasa menyampaikan mesej pendidikan mengenai kebersihan dan kesihatan, namun sebahagian besar tanggungjawab terhadap kesihatan seseorang terletak di tangan sendiri.

Meminimumkan risiko penyakit berjangkit melalui amalan kebersihan atau satu langkah mudah yang boleh kita ambil, seterusnya menyumbang kepada impak positif yang lebih besar kepada kesihatan awam, katanya.

Di Malaysia, statistik Kementerian Kesihatan turut menunjukkan kes keracunan makanan adalah tinggi di seluruh negara.

Selain itu, penyakit tangan, kuku dan mulut masih tersebar, malah penyakit berjangkit berada pada kedudukan keenam sebagai satu penyebab utama rawatan hospital pada 2011.

Boleh dikatakan ribuan rakyat Malaysia sentiasa terdedah kepada ancaman jangkitan di tempat awam seperti bazar makanan, festival muzik dunia dan perlumbaan maraton besar.

Semua acara ini memainkan peranan dan menyumbang kepada trend penyakit yang membimbangkan sekarang. Dettol menjalankan ujian bahan uji di kawasan rehat awam di Malaysia.

Keputusan menunjukkan, ribuan kuman ditemui di lokasi seperti pada pisau (1,000 koloni kuman), dan alas meja yang digunakan di bazar makanan (lebih 6,000 koloni kuman).

Jika perkara itu berlaku, penting untuk rakyat Malaysia mengawasi kesihatan mereka dan mengambil langkah kebersihan pencegahan sebelum, semasa dan selepas acara untuk mengelak tersebarnya penyakit berjangkit.

Kajian global juga menunjukkan, walaupun orang ramai melihat kebersihan tangan satu langkah penting untuk mengurangkan jangkitan, realitinya mereka tidak melakukan amalan ini.

Sebenarnya, orang ramai mungkin masih tidak melakukannya dengan betul dan tidak melakukannya pada masa sesuai. Ini menunjukkan jurang ketara antara pengetahuan dan amalan seterusnya membuktikan masih banyak perkara perlu dilakukan.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Malaysia dan Singapura, Reckitt Benkiser berkata, amalan mudah seperti menggosok kedua-dua tangan dengan pembersih tangan atau membasuh kedua-dua tangan memberi kelebihan kepada kebersihan.

Misi Dettol adalah membantu orang ramai meningkatkan tahap kebersihan di rumah dan masyarakat. Kami bersama Majlis Kebersihan Global yang diterajui pakar kebersihan terkemuka dunia mempunyai matlamat untuk merumuskan cadangan realistik serta praktikal berkaitan langkah kebersihan mudah bagi membantu mencegah penyebaran penyakit berjangkit.

Kajian global tahun ini menunjukkan faktor besar wujud di lokasi pertemuan orang ramai dan keperluan mengambil langkah pencegahan segera bagi menghalang penyakit berjangkit, katanya.