Tag Archives: h1n1

Perbaiki tabiat kawal jangkitan

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2002, H1N1 pada 2009, Ecoli di Jerman pada 2011 dan Selsema H7N9 yang menyerang China baru-baru ini, membuktikan dua perkara.

Pertama, virus dan bakteria influenza sentiasa mengubah diri mengalami mutasi. Kedua, ancaman penyakit berjangkit terhadap orang ramai semakin meningkat setiap hari kerana virus dan bakteria ini semakin tahan untuk menghadapi pilihan rawatan yang ada sekarang.
Kajian terbaru dijalankan Global Hygiene Council, sebuah kumpulan pakar dalam bidang kebersihan terkemuka dunia termasuk mikrobiologi, virologi, penyakit berjangkit, imunologi dan kesihatan awam dengan kerjasama Dettol menunjukkan, manusia mudah dijangkiti apabila kumpulan besar manusia berkumpul dalam acara keagamaan, festival, muzik serta dalam pengangkutan awam yang sesak.

Pengerusi Global Hygiene Council, Prof John Oxford berkata, tempat yang sesak dengan orang ramai memberi forum yang ideal bagi mikrob untuk tersebar dengan meluas dalam kalangan manusia.
Kita tentu tahu mengenai akibat merebaknya penyakit global. Wabak influenza seperti H1N1, SARS, norovirus dan selsema biasa tersebar melalui sentuhan kepada manusia.
H1N1 tersebar ketika Hari Belia Sedunia pada 2008, SARS menjadi ancaman ketika musim haji pada 2003, manakala pandemik kolera Asia bermuka ketika upacara ziarah Hindu KumbhMela, katanya ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.

LEE (kiri) bersama Oxford pada Majlis Pengumuman Kajian Global Hygiene Council 2013 Dettol, baru-baru ini.

Kajian Global Infection Challenge Survey yang mengkaji lebih 18,000 orang dewasa di 18 negara, termasuk Malaysia, menunjukkan kebimbangan terbesar (30 peratus) penyakit berjangkit di seluruh dunia ialah selesema bermusim.
Di Malaysia saja, kebimbangan terbesar (36 peratus) penyakit berjangkit ialah cirit birit, muntah dan jangkitan kulit. Kajian juga mendapati 75 peratus daripada rakyat negara ini yang diselidik bimbang mengenai diri mereka serta ahli keluarga dijangkiti penyakit berjangkit.

Kira-kira 70 peratus menyatakan pengangkutan awam adalah tempat paling berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit, manakala 60 peratus yang diselidik turut menamakan sekolah, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak sebagai tempat berisiko tinggi yang mendedahkan anak mereka kepada ancaman bakteria dan virus.
Bagaimanapun, hanya 53 peratus berpendapat tempat ramai orang sebagai antara tempat paling bahaya untuk mendapat jangkitan penyakit dan menunjukkan jurang semasa yang wujud dalam mengawal wabak serta pengurusan kebersihan kesihatan.
Dalam pada itu, Ketua Unit Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Datuk Christopher Lee berkata, kerajaan dan pertubuhan kesihatan awam sentiasa menyampaikan mesej pendidikan mengenai kebersihan dan kesihatan, namun sebahagian besar tanggungjawab terhadap kesihatan seseorang terletak di tangan sendiri.
Meminimumkan risiko penyakit berjangkit melalui amalan kebersihan atau satu langkah mudah yang boleh kita ambil, seterusnya menyumbang kepada impak positif yang lebih besar kepada kesihatan awam, katanya.
Di Malaysia, statistik Kementerian Kesihatan turut menunjukkan kes keracunan makanan adalah tinggi di seluruh negara.
Selain itu, penyakit tangan, kuku dan mulut masih tersebar, malah penyakit berjangkit berada pada kedudukan keenam sebagai satu penyebab utama rawatan hospital pada 2011.
Boleh dikatakan ribuan rakyat Malaysia sentiasa terdedah kepada ancaman jangkitan di tempat awam seperti bazar makanan, festival muzik dunia dan perlumbaan maraton besar.
Semua acara ini memainkan peranan dan menyumbang kepada trend penyakit yang membimbangkan sekarang. Dettol menjalankan ujian bahan uji di kawasan rehat awam di Malaysia.
Keputusan menunjukkan, ribuan kuman ditemui di lokasi seperti pada pisau (1,000 koloni kuman), dan alas meja yang digunakan di bazar makanan (lebih 6,000 koloni kuman).
Jika perkara itu berlaku, penting untuk rakyat Malaysia mengawasi kesihatan mereka dan mengambil langkah kebersihan pencegahan sebelum, semasa dan selepas acara untuk mengelak tersebarnya penyakit berjangkit.
Kajian global juga menunjukkan, walaupun orang ramai melihat kebersihan tangan satu langkah penting untuk mengurangkan jangkitan, realitinya mereka tidak melakukan amalan ini.
Sebenarnya, orang ramai mungkin masih tidak melakukannya dengan betul dan tidak melakukannya pada masa sesuai. Ini menunjukkan jurang ketara antara pengetahuan dan amalan seterusnya membuktikan masih banyak perkara perlu dilakukan.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran Malaysia dan Singapura, Reckitt Benkiser berkata, amalan mudah seperti menggosok kedua-dua tangan dengan pembersih tangan atau membasuh kedua-dua tangan memberi kelebihan kepada kebersihan.
Misi Dettol adalah membantu orang ramai meningkatkan tahap kebersihan di rumah dan masyarakat. Kami bersama Majlis Kebersihan Global yang diterajui pakar kebersihan terkemuka dunia mempunyai matlamat untuk merumuskan cadangan realistik serta praktikal berkaitan langkah kebersihan mudah bagi membantu mencegah penyebaran penyakit berjangkit.
Kajian global tahun ini menunjukkan faktor besar wujud di lokasi pertemuan orang ramai dan keperluan mengambil langkah pencegahan segera bagi menghalang penyakit berjangkit, katanya.

Virus H7N9 tiada vaksin

Virus H7N9 tiada vaksin

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Selepas wabak influenza A (H1N1) menyerang dunia, kita digemparkan dengan wabak baru yang juga dikategorikan sebagai selesema burung, H7N9.

Virus H7N9 ialah salah satu daripada jenis virus influenza atau selesema burung. Ia adalah daripada sub kumpulan selesema burung jenis H7.

Dalam sub kumpulan H7 ini, terdapat beberapa lagi jenis selesema burung seperti H7N2, H7N3 dan H7N7. Jenis selesema burung ini jarang sekali membabitkan manusia kerana biasa merebak dalam kalangan unggas saja.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) walaupun sesetengah virus H7 (H7N2, H7N3 dan H7N7) kadangkala ditemui menjangkiti manusia tetapi tiada laporan mengatakan berlakunya jangkitan virus H7N9 daripada burung ke manusia sehinggalah timbulnya kes di China.

PAKAI topeng bila berada di persekitaran yang tercemar dengan virus H7N9.

Pakar Kesihatan Awam Hospital Columbia Asia, Dr Hanafiah Bashirun berkata, virus H7N9 tidak pernah menjangkiti manusia sehingga berlaku kes pertama dilaporkan pada penghujung Februari di Shanghai, China.

Ini kerana virus ini hanya berjangkit sesama burung atau unggas saja. Selepas beberapa hari uji kaji makmal dilakukan terhadap pesakit yang meninggal akibat virus berkenaan, barulah virus H7N9 ini dapat disahkan.

Virus influenza H7N9 tidak sama dengan H1N1. Jika disebut H7, bermakna biasanya virus itu datang daripada unggas atau burung. Namun apa yang penting untuk diketahui ialah virus influenza cukup suka dan mudah mengalami mutasi dan menghasilkan ahli (jenis virus) baru dalam keluarga influenza, katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, terdapat perbezaan antara virus influenza H1NI dengan H7N9 iaitu. Perbezaan di antara wabak ini ialah kebanyakan kes berpunca daripada khinzir.

Sebab itu ia dikenali sebagai selesema khinzir atau selesema babi. Virus H1N1 adalah daripada kumpulan influenza A dan dari sub kumpulan H1. Virus ini menjangkiti manusia melalui khinzir yang menghidap selesema dan bukannya daripada daging khinzir yang dimasak.

Virus ini sangat bahaya. Ini kerana simptomnya bermula dengan demam selesema biasa tetapi ia boleh menyebabkan keadaan pesakit menjadi kronik secara tiba-tiba. Kebanyakan kes yang kronik disebabkan jangkitan paru-paru dipanggil pneumonia, katanya.

Virus H7N9 mulai jangkiti pesakit luar China

Setakat 23 April 2013, terdapat 103 kes disahkan menghidap virus H7N9 dan kes terbaru membabitkan pesakit luar tanah besar China. Pesakit berkenaan baru saja pulang daripada lawatan ke tanah besar.

Sebelum ini, kes yang dikenalpasti hanya membabitkan pesakit di kawasan berkenaan terutamanya di China timur. Daripada semua kes, 22 kematian dilaporkan berpunca daripada virus itu. Ini bermakna peratusan kematian ialah 20 peratus dan ia memberi amaran peratusan berkenaan tinggi selain bahaya.

Seperti kes selesema khinzir sebelum ini, golongan yang berisiko ialah kanak-kanak, warga emas dan ibu mengandung. Ini adalah berkemungkinan faktor pertahanan badan. Namun ada juga beberapa kes membabitkan orang dewasa dan juga kes kematian golongan itu.

Buat masa ini, tiada vaksin khusus untuk menghindar daripada terkena jangkitan virus H7N9, tidak seperti selesema khinzir. Berita baiknya ialah, kebanyakan pesakit memberi tindak balas yang baik dengan rawatan antivirus yang sama diberikan ketika selesema khinzir dulu.

Beberapa langkah kawalan telah dilakukan oleh pegawai kesihatan di tanah besar China untuk mengelakkan virus ini tersebar meluas ke seluruh dunia. Burung yang berpotensi menyebarkan penyakit telah dibunuh dan kawasan perniagaan unggas ditutup.

Keluarga terdekat pesakit dipantau supaya penyakit dapat ditangani secepat mungkin. Langkah asas yang kita dapat lakukan ialah selalu membasuh tangan dan menutup mulut ketika bersin serta demam, selsema yang perlu dijadikan amalan.

Antara langkah pencegahan yang boleh diambil

  • Sentiasa jaga kebersihan tangan – menjaga kebersihan tangan sepatutnya menjadi amalan seharian kita, tidak kira ada penularan penyakit atau tidak. Bawa cecair pembunuh kuman beralkohol untuk digunakan terutama jika berada di tempat yang sukar mendapat air bersih.
  • Sentiasa bawa penutup hidung dan mulut, tisu atau sapu tangan ke mana saja anda pergi.
  • Cuba untuk tidak berada di tempat yang sesak walaupun penularan virus daripada manusia ke manusia.
  • Jika perlu berada di tempat yang ramai orang, pakai penutup hidung dan mulut.
  • Jika anda batuk dan perlu keluar, pakai penutup hidung dan mulut untuk mengelakkan daripada menyebarkan virus yang ada pada anda kepada orang lain.