Tag Archives: hamil

Kebaikan pil cegah kehamilan

Foto

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Bercakap mengenai kaedah pencegah kehamilan, masyarakat di Malaysia, khususnya golongan wanita, masih tabu dan berasa takut untuk mengambilnya disebabkan pelbagai kesan sampingan.

Kenaikan berat badan, haid tidak teratur dan selera makan bertambah antara alasan yang sering diberi kaum Hawa apabila ditanya mengenai pencegah kehamilan.

Namun, ramai tidak tahu kebaikan di sebalik keburukan yang ada pada pil pencegah kehamilan.

Sempena Hari Kontraseptif Sedunia, Exeltis Pharma iaitu bahagian farmaseutikal berjenama syarikat multinasional penjagaan kesihatan sepadu yang beribu pejabat di Sepanyol, Chemo Group mengumumkan hasil kajian serantaunya yang pertama di Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand.

BUAT pilihan yang betul untuk cegah kehamilan.

MASIH ramai wanita ragu-ragu mengamalkan kaedah pencegah kehamilan.

Ia membabitkan pengamal perubatan umum (GP), ahli farmasi, serta pakar perbidanan serta sakit puan (O&G) untuk mendapatkan gambaran mengenai lanskap rawatan dan keperluan yang tidak dipenuhi dalam kalangan wanita di Malaysia dan rantau ini.

Kajian menunjukkan peningkatan sebanyak 12 peratus jumlah wanita yang memerlukan rawatan hormon di negara ini berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan ini mungkin disebabkan kehidupan seks yang aktif dan kesedaran mengenai pencegahan kehamilan yang semakin meningkat serta kewujudan terapi hormon wanita yang semakin banyak di pasaran.

Berdasarkan peningkatan ini, satu daripada tiga wanita diberikan terapi hormon wanita untuk merawat pelbagai keadaan kesihatan yang merangkumi pencegahan kehamilan (76 peratus), masalah kesan sampingan haid (61 peratus), jerawat (43 peratus) dan endometriosis (74 peratus).

Kajian juga menunjukkan, pil perancang oral gabungan (combined oral contraceptive – COC) adalah pilihan terapi hormon yang diutamakan untuk merawat keadaan kesihatan berkenaan.

Pil COC yang ideal adalah pil paling menyerupai tubuh manusia secara semula jadi, mempunyai kesan sampingan yang minimum dan menawarkan faedah kesihatan tambahan.

Lebih penting, pil ini perlu murah dan mampu milik supaya lebih ramai orang dapat menggunakannya.

Perunding Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr KK Iswaran berkata, pil COC mengandungi dua hormon wanita yang sintetik iaitu hormon progesteron (dirujuk sebagai progestin) dan estrogen serta fungsi utamanya ialah mencegah kehamilan.

Pil ini mempunyai beberapa faedah kesihatan tambahan dan segera seperti meredakan senggugut, merawat jerawat, mengurangkan gangguan emosi, mengurangkan risiko barah ovari dan endometrium, selain memperbaiki keadaan kesihatan reproduktif lain.

Di negara maju, sesetengah pesakit menggunakan pil ini secara eksklusif untuk memperbaiki atau mencegah gangguan berkaitan haid serta keadaan kesihatan reproduktif tertentu seperti haid tidak teratur endometriosis serta sindrom pra haid (PMS), katanya ketika ditemui di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Kajian yang dijalankan dalam kalangan penjagaan kesihatan mendapati pil COC drospirenone mewakili standard tertinggi terapi hormon wanita kerana ia berkesan, selamat, mudah diterima badan, mempunyai kesan sampingan minimum serta memberikan faedah kesihatan tambahan.

Namun, kos semasa pil COC drospirenone masih lagi menjadi faktor utama yang mungkin mengehadkan pilihan pesakit untuk mendapatkannya.

Kemasukan serta kewujudan ubat generik susulan tamat tempoh paten untuk produk inovator dikaitkan dengan peningkatan akses ubatan dan penjimatan kos perubatan di beberapa negara, termasuk Malaysia.

Pada 2009, Polisi Penjagaan Kesihatan Kebangsaan Malaysia menggalakkan penggunaan ubatan generik untuk menjamin penjagaan kesihatan yang lebih mampu dan lestari.

Apabila ditanya mengenai tahap kepuasan wanita terhadap ubat hormon generik, secara purata responden memberi maklum balas positif dan menyatakan, ia pilihan lebih menjimatkan serta mempunyai keberkesanan setara dengan jenama popular.

Setiausaha Majlis Kontraseptif Asia Pasifik (APCOC), Prof Dr Jamiyah Hassan berkata, di Malaysia, kadar penggunaan pil perancang moden sangat rendah.

Hanya kurang daripada empat peratus wanita lingkungan usia 15 hingga 49 tahun yang menggunakannya. Kos dan kesan sampingan biasanya menjadi faktor pertimbangan utama untuk wanita apabila memilih kaedah pencegah kehamilan.

Dengan adanya pil perancang moden generik yang mempunyai kesan sampingan minimum seperti tidak menyebabkan penambahan berat badan, kini wanita ada lebih banyak pilihan serta menikmati faedah kesihatan tambahan yang ditawarkan oleh pil baru ini, katanya.

Exeltis Pharma turut memperkenalkan risalah pendidikan pesakit baru yang disokong Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM), Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) dan Persatuan Keibubapaan Terancang Antarabangsa, Wilayah Asia Timur dan Tenggara dan Ocenia (IPPF ESEAOR) yang bertujuan meningkatkan kesedaran umum mengenai faedah kesihatan tambahan pil COC serta menggalakkan wanita bertindak bagi meningkatkan kesejahteraan diri mereka.

Risalah ini akan diedarkan di klinik, farmasi, hospital dan institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia dan Singapura Exeltis Pharma, Andy Siow berkata, menerusi hasil kajian dan risalah pendidikan pesakit yang baru ini, pihaknya mahu memperkasakan golongan wanita dengan memberi peluang untuk mengawal dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Di Malaysia, Exeltis Pharma menawarkan tiga pil COC mengandungi drospirenone untuk memenuhi keperluan wanita yang berbeza dan pada masa sama turut menawarkan faedah drospirenone pada harga mampu milik.

Pil itu dihasilkan di Sepanyol dan dipasarkan di beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Sepanyol, Jerman, Sweden, Itali, Perancis, Thailand serta Filipina sejak 2009.

Di Exeltis, kami menyokong inovasi dan pembangunan lestari. Komitmen kami adalah meningkatkan kualiti kesihatan dan kehidupan manusia, menyediakan akses kepada ubatan berkualiti pada harga mampu milik, selain memperluas usaha dan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan terapi baru yang lebih baik, katanya.

Perbezaan suntikan hormon dan pil perancang

Suntikan hormon

  • Diberi secara suntikan.
  • Suntikan diberi setiap 12 minggu (tiga bulan) mengikut jadual ditetapkan.
  • Berkesan untuk mencegah kehamilan selepas tujuh hari mendapat suntikan.
  • Kesuburan kembali tiga hingga enam bulan daripada suntikan terakhir
    • Pil Perancang

      • Diambil secara oral (makan).
      • Makan secara berterusan selama 21 hari setiap satu pusingan. Jika terlupa mengambil pil, risiko untuk mengandung adalah tinggi.
      • Berkesan untuk mencegah kehamilan selepas tujuh hari mengambil pil jenis kombinasi. Bagaimanapun, penggunaan pil Noriday adalah lebih cepat iaitu dua hari.
      • Kesuburan kembali dengan segera setelah berhenti makan pil.

      SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

      Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/03

Risiko puasa ketika hamil

hamil ketika berpuasa

Selain wanita mengandung yang mengalami alahan kronik, terdapat beberapa faktor membuatkan ibu mengandung tidak perlu berpuasa. Antaranya ialah mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes mellitus, hipertensi, penyakit buah pinggang dan anemia semasa mengandung.

Sesetengah penyakit seperti diabetes mellitus memerlukan pesakit mengambil ubat pada waktunya. Pesakit jantung, tumbesaran bayi yang terencat dan mengalami perdarahan semasa hamil juga tidak digalakkan berpuasa.

Begitu juga mereka yang berat badan tidak mencukupi atau tidak bertambah.

“Mereka yang tidak dapat mematuhi arahan meminum air yang mencukupi iaitu sehingga 2 liter sehari turut dinasihatkan untuk tidak berpuasa.

“Juga mereka yang tidak dapat mengambil makanan yang menyihatkan,” terangnya.

Mereka yang kekurangan air di dalam badan juga digalakkan berbuka puasa segera kerana khuatir menjejaskan kandungan.

Ia boleh dilihat daripada air kencing ibu mengandung. Jika ia sikit dan pekat seperti warna teh o, ia menunjukkan badan kekurangan air yang diperlukan.

Ujarnya, mereka diberi pilihan dan perlu mengawasi badan sendiri selain mendapat konsultasi daripada doktor.

Berjumpa dengan doktor

Tegas Dr. Nurhazinat, ibu mengandung perlu mematuhi jadual janji temu dengan doktor supaya dapat mengawasi keadaan ibu dan anak.

Terang kepada doktor sejarah penyakit selain tahap alahan agar doktor dapat menentukan mereka sesuai atau tidak untuk berpuasa.

Selain itu, doktor juga akan mengawasi saiz kandungan selain kesihatan ibu mengandung. Berat badan ibu mengandung hendaklah sentiasa menaik, jika ia tidak berubah dan menurun semasa puas, ia bukan tanda yang baik.

Jika anda tidak mempunyai tanda-tanda risiko kehamilan, dapatkan nasihat doktor cara pemakanan yang sihat untuk ibu dan kandungan.

“Ada juga kajian menunjukkan risiko bersalin awal akibat tekanan ketika puasa yang menyebabkan hormon seseorang berubah.

“Sebab itu amat penting untuk sentiasa melakukan pemeriksaan dan memberitahu doktor sebarang perubahan,” ujarnya.

Banyakkan air Terangnya, paling penting bagi ibu mengandung ialah mematuhi jumlah air yang diperlukan dalam sehari iaitu sekurang-kurangnya 1.5 hingga 2 liter.

Ini kerana air ketuban berkurangan yang disebut oligohidramnios. Walaupun berpuasa, ada cara untuk melengkapkan lapan hingga 10 gelas air dalam sehari itu.

Pastikan anda mengambil air ynag diperlukan sepanjang waktu berbuka hinggalah sahur.

“Cadangan saya, cuba minum tiga gelas air ketika berbuka, 3 gelas sebelum tidur dan tiga gelas lagi termasuk air susu sewaktu sahur,” terangnya.

Juga kurangkan aktiviti yang memenatkan ketika berpuasa seperti beriadah dan membeli-belah serta rancang jadual kerja dengan baik. Elakkan tempat yang panas supaya kurang mengalami dinyahhidratkan.

MakananKebiasaannya, makanan manis seperti kuih-muih Melayu menjadi pembuka juadah berbuka puasa membuatkan kita berasa kenyang. Namun sebenarnya makanan manis sebegitu tidak memberikan sumber tenaga dan nutrien yang mencukupi serta diperlukan.

“Makanan yang paling baik ketika berbuka puasa ialah makanan yang berprotein tinggi seperti ikan dan telur.

“Cuba kurangkan makanan manis sangat terutama ketika berbuka kerana ia akan menyebabkan paras gula naik dan kemudian turun mendadak lalu menyebabkan rasa pening.

“Selain itu, karbohidrat kompleks seperti kurma dan bijirin amat bagus untuk sahur,” terang Dr. Nurhazinat.

Makanan terbaik untuk bersahur ialah makanan yang membekalkan tenaga seperti nasi dan roti, Tambahnya, makanan tambahan yang biasa diperlukan oleh ibu mengandung perlu diamalkan dengan disiplin iaitu multivitamin dan susu.

Sembelit ketika hamil reda selepas bersalin

SEJAK kebelakangan ini saya kerap mengalami masalah sembelit. Untuk pengetahuan doktor, saya sedang hamil anak pertama. Mengapakah saya sering mengalami masalah tersebut? Apakah yang boleh saya lakukan untuk mengatasi masalah tersebut ? Adakah sembelit semasa hamil boleh menjadi masalah yang serius? Mohon bantuan. Terima kasih.

* Amalin, Selangor

Jawapan
Sembelit ialah masalah biasa semasa hamil. Kira-kira 30 hingga 40 peratus wanita hamil mengalami sembelit. Ini diakibatkan perubahan hormon semasa hamil yang memperlahankan pergerakan makanan melalui salur penghadaman anda. Tekanan oleh rahim yang semakin membesar ke atas rektum juga boleh mengakibatkan sembelit. Sesetengah pil zat besi juga boleh membuatkan sembelit menjadi lebih teruk.

Pertama, perhatikan bila dan bagaimana anda pergi ke tandas. Biasakan diri pergi ke tandas pada kali pertama anda rasa mahu membuang air besar. Waktu awal pagi atau kira-kira satu jam selepas waktu makan adalah masa-masa yang sesuai untuk anda cuba ke tandas. Cuba ambil masa lebih sedikit untuk bersendirian, walaupun ini agak sukar jika anda mempunyai anak-anak lain untuk dijaga.

Kaedah-kaedah lain juga boleh membantu. Anda perlu mengawasi diet anda. Pastikan anda minum air secukupnya dan melakukan senaman secara tetap. Perlu makan makanan berserat tinggi seperti bijirin bijian penuh, roti bijian penuh dan buah-buahan serta sayur-sayuran segar setiap hari.

Anda juga dinasihatkan minum banyak air atau jus buah-buahan dan sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Jus prun juga boleh membantu.

Lakukan aktiviti seperti biasa. Bersenam seperti berjalan, berenang dan menunggang basikal senaman, kerana kesemuanya boleh membantu mengurangkan sembelit, dan membuatkan anda berasa lebih cergas dan sihat. Suplemen pranatal yang mengandungi zat besi juga boleh menyebabkan sembelit. Tanyalah doktor jika ada pilihan lain.

Jangan ambil ubat-ubatan berbentuk julap yang boleh didapati di pasaran tanpa mendapat nasihat daripada doktor anda terlebih dahulu. Jika perubahan pada diet dan gaya hidup tidak membantu, mungkin doktor anda boleh memberi ubat yang selamat diambil semasa hamil.

Sembelit bukanlah satu masalah besar bagi kebanyakan wanita hamil, tetapi jika berlarutan, maklumkan kepada doktor anda. Kadang-kala, sembelit yang berpanjangan boleh menyebabkan buasir. Ini boleh jadi menyakitkan, gatal dan tidak selesa. Ada juga yang mengalami pendarahan semasa membuang air besar. Buasir biasanya reda sendiri tidak lama selepas bersalin.

Merawat kecacatan bayi

Menanti kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga, sering kita bayangkan kelahiran bayi yang comel dan sempurna. Namun bukan semua bayi dilahirkan sihat dan sempurna kejadiannya.

Ada juga bayi yang lahir dengan bawaan atau kecacatan sejak lahir (kongenital). Jika ini terjadi, pembedahan terpaksa dilakukan pada tubuh si kecil.

Perunding Pembedahan Neonatal dan Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court Dr Nada Sudhakaran berkata, ada beberapa penyakit yang memerlukan bayi dibedah, sama ada perlu dilakukan segera atau pada usia tertentu.

Antara jenis kecacatan dialami bayi dan cara merawat:

GASTROCHISIS masalah usus terkeluar dari abdomen.

PEMBEDAHAN lubang kunci.

PEMBEDAHAN artesia dilakukan di bawah lengan.

Atresia

Keadaan tidak ada atau tertutupnya lubang badan normal secara kongenital. Bayi tidak mempunyai lubang di tempat yang seharusnya ada saluran atau rongga tubuh.

Ia berlaku apabila pembentukan esofagus tidak sempurna iaitu gut depan tidak terpisah dengan sempurna. Keadaan ini menyebabkan air susu yang diminum bayi mudah termasuk ke saluran paru-paru, mengakibatkannya terbatuk-batuk.

Atresia boleh berlaku di mana-mana bahagian usus. Satu daripada 3,000 kelahiran berisiko mengalami kecacatan ini dan ia lebih banyak berlaku dalam kalangan bayi lelaki tetapi tidak menunjukkan peratusan ketara berbanding bayi perempuan. Pembedahan akan dijalankan bagi membetulkan saluran berkenaan dengan pembedahan menerusi pusat.

Pembedahan bagi atresia esofagus dijalankan di bawah lengan. Potongan selebar tiga sentimeter itu lebih baik berbanding pembedahan tradisional selebar enam sentimeter yang boleh mengakibatkan otot rosak, tubuh hilang imbangan dan masalah tulang belakang bengkok.

Hernia

Penyakit ini juga dikenali angin pasang biasanya dialami bayi atau kanak-kanak lelaki. Ia berlaku apabila otot lemah menyebabkannya terbonjol keluar hingga boleh kelihatan daripada kulit badan.

Ketika bayi dalam kandungan ibu, testis (buah zakar) berada di dalam abdomen dan akan turun dari rongga perut menuju skrotum (kantung kemaluan) pada bulan ketujuh hingga kelapan usia kehamilan.

Abdomen mempunyai banyak lapisan iaitu kulit, lemak dan otot, manakala lapisan dalam sekali adalah membran dipanggil peritonium. Apabila testis turun, ia menarik lapisan membran. Membran ini akan menutup testis.

Bagaimanapun, bagi bayi yang mempunyai masalah, lapisan membran ini tidak menutupi testis dengan sepenuhnya. Pembedahan lubang kunci atau laparoskopi dilakukan dengan membuat tebukan melalui pusat.

Hydrocoele

Iaitu cecair dari abdomen memasuki testis. Kira-kira tiga peratus kanak-kanak lelaki mengalami masalah ini. Kebiasaannya, kanak-kanak yang mengalami hydrocoele boleh sembuh daripada penyakit itu dalam masa dua tahun tetapi jika tidak sembuh, pembedahan akan dilakukan.

Bayi yang mengalami hydrocoele tidak merasa kesakitan tetapi buah zakarnya membengkak kerana mengandungi takungan air.

Pembedahan bagi merawat masalah ini cuma mengambil masa setengah jam dengan jahitan satu sentimeter bagi menutup lubang saluran kemasukan air.

Kanak-kanak yang menjalani pembedahan boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa sebaik saja selepas pembedahan dan luka akan sembuh sepenuhnya dalam masa tiga atau empat hari.

Undescended testis

Testis yang tidak turun pada kantung kemaluan boleh berhenti di mana-mana bahagian laluan menuju ke kantung kemaluan. Masalah ini dialami kira-kira dua peratus daripada kelahiran bayi lelaki.

Testis mempunyai dua fungsi iaitu membuat hormon testosteron iaitu membuatkan lelaki kuat, berotot, mempunyai misai dan rambut. Biasanya, dalam kebanyakan kes, cuma satu testis yang tidak turun ke kantung kemaluan.

Jika kedua-dua testis tidak turun, masalah lebih besar dihidapi bayi terbabit. Selain itu, testis turut berfungsi membuat sperma. Jika ia tersangkut di mana-mana bahagian laluan ke kantung kemaluan, bayi terbabit akan menghadapi masalah menghasilkan sperma.

Suhu tubuh manusia ialah 37 darjah Celsius manakala suhu di kantung kemaluan adalah kurang daripada 37 darjah Celsius. Suhu yang lebih sejuk itu lebih baik bagi pengeluaran sperma. Pembedahan kecil dilakukan bagi memasukkan kembali testis ke dalam kantung kemaluan.

Lazimnya, testis tersangkut di kawasan inguinal iaitu kawasan di bahagian atas sedikit daripada kantung kemaluan. Sebaik-baiknya pembedahan dilakukan ketika bayi berusia enam bulan. Pembedahan lubang kunci dijalankan bagi mengatasi masalah ini.

Exomphalos

Masalah usus terkeluar daripada kulit abdomen tetapi ada membran menutupinya iaitu lapisan daripada tali pusat. Masalah ini boleh dikesan lebih awal sejak bayi dalam kandungan menerusi ujian imbasan. Pembedahan dilakukan untuk memasukkan semula usus ke dalam abdomen melalui tebukan di pusat.

Gastroschisis

Masalah usus terkeluar dari kulit abdomen. Ketika dalam kandungan ibu, usus berada di luar tubuh bayi dan menjelang kelahirannya, ia akan memasuki abdomen. Kes ini memerlukan pembedahan segera.

Biasanya doktor akan memasukkan usus yang terkeluar itu ke dalam beg plastik. Kemudian, pembedahan dilakukan untuk memasukkan semula usus berkenaan ke dalam abdomen bayi melalui tebukan di pusat.

Hypospadias

Masalah lubang kencing tidak di tempat sepatutnya dan zakar juga bengkok. Hanya sebelah bahagian zakar disaluti kulit, manakala kebiasaannya di bahagian bawah zakar tiada.

Zakar berfungsi untuk mengeluarkan air kencing dan sebagai alat seks. Jika zakar bengkok, pembedahan akan dilakukan bagi membentuk semula.

Seorang daripada 120 bayi lelaki mengalami masalah ini. Semakin lama, kes berkenaan kian bertambah kerana di dalam makanan harian kita, misalnya ayam dan daging mempunyai kandungan estrogen.

Estrogen iaitu hormon wanita lazimnya disuntik pada haiwan ternakan bagi menggemukkan ia. Jika ibu hamil banyak mengambil makanan mengandungi hormon, kesan estrogen memberi kesan kepada anak lelaki.

Sepuluh tahun lalu, kes ini berlaku dalam kalangan seorang daripada 500 bayi lelaki tetapi kini nisbahnya seorang daripada 120 bayi lelaki. Doktor akan menggunakan lebihan kulit yang ada bagi membentuk semula.

Kanak-kanak yang mempunyai masalah ini tidak boleh berkhatan kerana kulit yang ada sudah digunakan membentuk semula zakar. Apabila pembedahan dilakukan, bayi berkenaan mempunyai zakar yang sudah dikhatan.

Pyloric Stenosis

Keadaan di mana otot di saluran yang terletak di antara hujung perut dengan usus begitu tebal menyebabkan makanan atau susu dari perut tidak boleh memasuki usus kecil. Pembedahan akan dilakukan dengan memotong otot berkenaan bagi membuka laluan. Pembedahan lubang kunci sebesar tiga mililiter yang dijalankan menyebabkan tiada kesan parut.

Congenital lung anomaly

Keadaan di mana bayi lahir dengan paru-paru tidak sempurna iaitu udara boleh masuk ke dalam paru-paru tetapi tidak boleh keluar. Doktor akan membuat pembedahan membuang bahagian paru-paru yang tidak bagus itu.

Bahagian paru-paru yang elok boleh tumbuh semula jika pembedahan dijalankan sebelum bayi berusia dua tahun.

Pembedahan lubang kunci dilakukan bagi merawat masalah ini dengan satu lubang bagi memasukkan kamera manakala dua lubang untuk memasukkan instrumen.

Oleh NORAINON OTHMAN

Ancaman H. pylori

Mengalami alahan seperti muntah dan pening adalah perkara biasa bagi wanita yang hamil pada trimester pertama.

Menurut kajian, alahan terjadi kepada lebih 50 hingga 90 peratus wanita yang sedang hamil walaupun hampir sebahagian kes berlaku secara spontan pada tahap pertama.

Namun dalam tempoh tersebut juga, mereka yang mengalami alahan juga dikenali sebagai hyperemis granium (HG) yang dipercayai berpunca daripada bakteria di dalam perut iaitu Helicobacter pylori (H. pylori).

Pakar Gastroenterologi terkemuka yang juga pengamal terapi semula jadi dari Australia , Dr. Vagif Soultanov, berkata, H. pylori merupakan musuh utama bagi kanser perut.

“Jangkitan H. pylori akan berlaku apabila bakteria menjangkiti perut atau bahagian pertama usus kecil. Mereka yang menghidap H. pylori adakalanya tidak mengalami tanda-tanda atau gejala dan tidak membawa kepada apa-apa komplikasi.

“Tetapi bagi sesetengah orang lain pul, H. pylori boleh membawa kepada komplikasi yang serius, seperti ulser dan kanser perut.

“Antara simptom-simptom H.pylori adalah rasa mual, muntah-muntah, hilang selera makan, sendawa atau kembung perut, rasa ketat di bahagian atas abdomen selepas makan serta, hilang berat badan,” katanya.

Tambah Dr. Soultanov, walaupun H. pylori menyerang secara senyap kepada semua peringkat umur, wanita yang didapati mengandung pada peringkat pertama berpotensi dijangkiti H. pylori.

“Loya dan muntah ketika mengandung adalah bermanfaat untuk mengeluarkan daging dan rasa kuat sayur yang mengandungi toksin berbahaya dan mikro organisma.

“Jika terdapat toksin dan mikro organisma, wanita tersebut berpotensi mengalami kesakitan dan merosakkan pertumbuhan bayi dalam kandungan ketika organ sedang membentuk.

“Keadaan ini juga disokong dengan kajian yang menunjukkan wanita yang mengalami loya dan muntah berpotensi menghadapi masalah keguguran.

“Bagaimanapun, disebabkan jangkitan ini, lebih lima peratus wanita hamil pada tahap pertama akan kehilangan berat badan akibat H. pylori,” kata Dr. Soultanov

Ujarnya lagi, H. pylori adalah penyebab kepada masalah gastrik dan ulser perut dengan daripada tiga billion orang di seluruh dunia sudahpun dijangkiti. Ini sekali gus menjadikannya satu daripada jangkitan yang merebak dengan meluas di dunia.

“Negara yang mempunyai populasi yang tinggi dengan jumlah pengambilan kadar nutrisi yang rendah berada dalam kadar yang tinggi untuk dijangkiti H. pylori.

” Jangkitan H. pylori mungkin disalurkan melalui makanan, air yang tercemar, sentuhan pada material linen atau barang permainan.

“Wanita yang seringkali ditugaskan untuk menyediakan makanan harian, menjaga kesejahteraan keluarga dan bertanggungjawab memelihara kebersihan dan ketenteraman kediaman adalah mereka yang menyumbang kepada jangkitan H. pylori,” ujarnya.

Dr. Soultanov berkata, berdasarkan kajian, kanak-kanak yang berumur antara 10 tahun ke atas juga berpotensi untuk mendapat penyakit ini jika tiada langkah pencegahan dilakukan.

Jelas beliau lagi, kanser perut bukanlah sesuatu yang berkembang semalaman.

Mengenal pasti isyarat-isyarat yang membimbangkan dari perut sangat penting bagi mengelakkan masalah kesihatan serius pada kemudian hari.

“Gastritis merupakan keradangan atau kerengsaan pada dinding perut. Ia boleh terjadi secara tiba-tiba atau berperingkat.

“Kadangkala, kebanyakan pesakit tidak mengalami sebarang simptom dan dalam hal ini, ujian H. pylori melalui darah atau nafas perlu dilakukan bagi mengenal pasti status jangkitan,” katanya.

Sementara itu, seiring dengan perkembangan teknologi, satu ubat yang dihasilkan dari jejarum daun pain yang dikenali sebagai Bioeffective A berfungsi untuk membunuh kuman yang menyebabkan jangkitan H. pylori dan menguatkan sistem imun dalam badan.

Gaya hidup punca tidak subur

Foto

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Memiliki anak adalah pelengkap dalam sesebuah perkahwinan. Namun tidak semua pasangan yang berkahwin bernasib baik berpeluang memilikinya disebabkan pelbagai faktor.

Antaranya masalah ketidaksuburan yang semakin menjadi isu hangat ketika ini. Perubahan gaya hidup dan tekanan antara faktor menyebabkan masalah ini semakin berleluasa.

Bagi meningkatkan kesedaran orang awam terhadap masalah ini, Persatuan Teknologi Reproduktif Malaysia (MSART) dengan sokongan Merck Serono, melancarkan kempen Hope For A Child iaitu inisiatif kesedaran penyakit untuk memberi kesedaran mengenai ketidaksuburan dan panduan serta maklumat pilihan rawatan bagi mereka yang inginkan sebuah keluarga.

Ketidaksuburan menghalang seseorang merealisasikan matlamat hidup yang penting iaitu menjadi ibu atau bapa kepada anak, hasil daripada sesuatu hubungan. Dianggarkan 9.6 peratus pasangan menghadapi masalah ini.

DAPATKAN berat badan ideal dengan diet seimbang bagi memperkukuhkan keksihatan reproduktif.

Di rantau Asia Pasifik, jumlah kadar kesuburan menurun kepada kadar penggantian populasi sebanyak 2.1 peratus. Di Asia, angka ini lebih rendah disebabkan batasan sosial dan peribadi yang berterusan serta pengetahuan terhad mengenai kesuburan dan akses kepada rawatan.

Presiden MSART, Dr Su- rinder Singh berkata, kempen Hope For A Child diadakan bagi meningkatkan kesedaran terhadap subjek yang jarang dibincangkan.

Kami berharap kempen ini memberi pendedahan mengenai ketidaksuburan serta mendidik pasangan yang tidak subur berkenaan perkara berkaitan kesihatan mereka.

Dengan meningkatkan pendidikan orang ramai terhadap ketidaksuburan, kami berharap pasangan yang mengalami situasi seumpama ini akan mendapatkan nasihat doktor dan menjalani rawatan perubatan yang sesuai, katanya ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.

Terapi reproduktif bantuan seperti persenyawaan In Vitro Fertilisation (IVF) membantu wanita untuk hamil dengan mengatasi masalah ketidaksuburan.

IVF memerlukan pesakit disuntik dengan hormon perangsang folikel (FSH) bagi mengawal evolusi sebagai rawatan peringkat pertama.

Dalam pada itu, Pengurus Unit Perniagaan (Onkologi dan Biotech) Merck Serono, Lem Kong Soon berkata, wujud banyak tanggapan salah mengenai ketidaksuburan.

Lazimnya, tanggapan itu kekal kerana kesedaran mengenai pilihan rawatan adalah rendah.

Meskipun ada rawatan berkesan, hanya 56 peratus pasangan yang tidak subur mendapatkan rawatan, manakala 22 peratus menerima penjagaan kesihatan bagi mengatasi masalah ketidaksuburan.

Kempen Hope For A Child menggalakkan pasangan yang masih mempertimbangkan rawatan IVF untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan nasihat perubatan sesuai serta panduan menjalani rawatan dengan harapan mendapatkan cahaya mata, katanya.

Lem berkata, MSART dan Merck Serono optimis perihal usaha meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai ketidaksuburan melalui kempen ini, malah menawarkan cara untuk pesakit mendapatkan maklumat mengenai keadaan mereka.

Kami ingin mengoptimumkan sumber yang ada untuk melakukan sebanyak mungkin supaya pesakit menikmati hasil. Harapan kami juga supaya pesakit mendapat pengetahuan melalui kempen ini.

Fokus kami ialah mengubah kehidupan seseorang menjadi lebih baik dan yakin bahawa kempen ini memberi harapan kepada pasangan tidak subur untuk memulakan keluarga impian mereka, katanya.

Kempen ini mengambil pendekatan holistik demi manfaat pesakit tidak subur.

Laman web Hope For A Child (www.fertilityasia. com.my) yang diperkenalkan ketika pelancaran ini, berfungsi sebagai sumber maklumat sehenti untuk pesakit yang ingin mempelajari lebih lanjut mengenai ketidaksuburan, pilihan rawatan, sokongan ketika proses rawatan dan mengandungi pengesan lokasi pusat kesuburan.

Ia juga menyaksikan penulisan dan penyebaran bahan pendidikan seperti risalah maklumat pesakit berkenaan ketidaksuburan yang akan diberi kepada sesiapa yang mahu mendapatkan rawatan terbabit.

Pesakit turut digalakkan mencari pusat kesuburan terdekat dan mendapatkan nasihat ahli profesional jagaan kesihatan untuk mengetahui pilihan rawatan mereka dan cara mendapatkan akses kepada rawatan.

Diet harian wanita hamil

Foto

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Setiap ibu pasti mempunyai memori ketika hamil dan melahirkan bayi lebih-lebih lagi jika anak pertama. Ada yang berpendapat, saat hamil adalah saat paling indah dalam hidup seorang wanita.

Begitu juga ketika saat melahirkan. Meskipun perit dan sakit, namun perasaan itu akan hilang sekelip mata selepas mendakap dan melihat buah hati mereka.

Bagi yang pertama kali bakal bergelar ibu, pasti tertanya-tanya apakah nutrisi atau sumber tenaga tambahan yang perlu diambil sebagai bekalan tenaga sepanjang tempoh kehamilan.

Menurut Perunding Nutrisi, Indra Balaratnam berkata, cara terbaik untuk mendapatkan bekalan nutrisi diperlukan adalah dengan mengikuti panduan pengambilan diet harian berdasarkan piramid pemakanan Malaysia.

Bukan jumlah makanan yang perlu diberi perhatian sebaliknya kualiti nutrisi perlu diberi keutamaan. Menikmati makanan lima kali sehari dalam kuantiti berpatutan lebih baik sekiranya ia dilakukan dengan betul, katanya.

Pilihan untuk menggabungkan sayur-sayuran, bijirin penuh dan kekacang, protein tanpa lemak dalam pemakanan sebelum dan ketika hamil akan memberikan bayi permulaan yang kukuh dalam kehidupan mereka.

Ibu hamil memerlukan lebih tenaga, protin, kalsium, asid folik dan zat besi. Manakala makanan yang perlu dielak adalah seperti terlalu banyak mengambil kafein, barangan mentah dan lain-lain.

Untuk bekalan tenaga, ibu hamil disarankan mengambil makanan yang mengandungi protein misalnya daging, ayam, ikan, tofu, telur dan produk tenusu.

Bagi sumber zat besi pula, ibu hamil perlu mengambil kekacang, gandum dan sayuran hijau. Kekurangan zat besi ketika hamil boleh menyebabkan kelahiran bayi pramatang atau berat bayi terlalu rendah.

Untuk kalsium pula seperti yogurt, ikan kecil, keju dan kekacang. Ia turut membantu badan mengawal cecair serta membantu untuk membina tulang dan gigi bayi tanpa menjejaskan keperluan kalsium itu sendiri sendiri.

Keperluan harian kalsium ketika hamil adalah 1,000 miligram sehari. Manakala untuk asid folik pula seperti buah-buahan, kubis, sayuran warna hijau gelap, salad dan telur. Asid folik penting untuk pembentukan saraf tunjang bayi dan jumlah disarankan adalah 600 mikrogram ketika hamil, katanya.

Jelasnya lagi, jumlah keperluan tenaga (kalori) bagi ibu hamil berbeza untuk setiap trimester kerana ia makin bertambah bersesuaian dengan perkembangan tumbesaran bayi dalam kandungan.

Bagi trimester (tempoh tiga bulan) pertama ibu memerlukan kira-kira 2,000 kalori dalam setiap hidangan. Trimester kedua pula ibu perlukan 2,400 kalori dalam setiap hidangan.

Manakala trimester ketiga pula ibu memerlukan 2,650 kalori dalam setiap hidangan.

Pada masa sama, elakkan pengambilan alkohol, makanan dan minuman berkafien seperti kopi, teh serta coklat dan makanan mentah. Elakkan penyediaan makanan tidak bersih juga elakkan makanan tambahan berasaskan herba.

Menurut Indra, mengidam ataupun keinginan wanita hamil terhadap bentuk makanan tertentu juga perkara normal. Ia dialami dalam tempoh kehamilan berbeza dalam kalangan wanita.

Mengidam ialah perkara biasa dan tidak membahayakan jika si ibu dapat mengawalnya.

Penting untuk menikmati hidangan yang mampu membekalkan nutrisi diperlukan bayi dalam kandungan dan tidak mengambil makanan terbabit secara berlebihan sekiranya mengetahui ia tidak memberikan sebarang kebaikan, katanya.

Cara tangani alahan

Alahan

  • 50 peratus ibu hamil biasanya mengalami loya dan muntah. Ibu perlu makan secara berkala dengan hidangan yang kecil
  • Perlu mendapatkan masa rehat mencukupi untuk mengelakkan badan terlalu letih.
  • Halia mampu membantu mengurangkan rasa loya. Caranya dengan meminum jus perahan halia bersama air suam dan madu

Pedih ulu hati

  • Ini disebabkan pengembangan saiz rahim yang mengakibatkan pengaliran cecair dalam perut ke dalam esofagus berlaku dengan pantas
  • Elakkan pengambilan makanan pedas serta berminyak. Jangan terus berbaring selepas makan

Sembelit

  • Sering berlaku pada usia kandungan berada di trimester ketiga kehamilan
  • Tingkatkan pengambilan makanan yang mengandungi serat dan minum banyak air
  • Lakukan senaman ringan seperti berjalan untuk mengurangkan kesan masalah terbabit

Kejang kaki

  • Kekurangan nutrien, ketidakseimbangan elektrolit dalam badan, kekejangan serta penambahan berat badan

Kurangkan kesakitan kontraksi

Foto

Oleh Norainon Othman

Ramai masih ragu mengenai kaedah bersalin dalam air sejak ia diperkenalkan di Malaysia, lima tahun lalu. Persoalan yang sering ditimbulkan ialah, bayi dikhuatiri lemas kerana tidak pandai bernafas atau wujud kesan sampingan ketika proses melahirkan.

Kaedah pilihan ini belum meluas biarpun ia popular di negara Barat. Kaedah berkenaan sebenarnya proses bersalin normal, cuma ia dilakukan di dalam air. Mungkin ada bakal ibu yang ingin merasai pengalaman bersalin dalam air, tetapi masih ragu-ragu kerana tidak mendapat maklumat jelas. Antara hospital yang menawarkan perkhidmatan ini ialah Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL). PHKL juga perintis bagi kaedah bersalin dalam air di Kuala Lumpur pada 2009 di bawah penjagaan Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Dr Choong Kuo Hsiang. Dr Choong berjaya menyambut kelahiran lebih 100 bayi menerusi teknik ini.

Kaedah epidural terlalu sakit hingga ibu yang ingin bersalin tidak mampu menggerakkan kaki, ditambah pula ada banyak wayar.

Tekanan darah jatuh, mengambil masa lama ketika titisan epidural dimasukkan ke tubuh pesakit, selain mempunyai banyak kesan sampingan. Kaedah bersalin dalam air lebih murah dan tidak banyak kesan sampingan. Risiko terhadap bayi juga bawah satu peratus, katanya pada majlis perasmian kelengkapan peralatan bersalin dalam air di PHKL, baru-baru ini. Kemudahan itu dipertingkatkan dengan pancuran mandian, muzik menenangkan jiwa dan kelengkapan perubatan lebih moden untuk ibu hamil bagi melengkapkan tahap keselesaan.

Tiga kolam seperti tab mandi jakuzi disediakan diisi air bersih mematuhi etika kolam renang. Ibu yang ingin bersalin akan memasuki kolam itu apabila bukaan rahim lima sentimeter. Ibu diberi pilihan sama ada mahu melahirkan bayi di tab atau kolam getah.

Air disediakan dalam kolam ialah air biasa dengan suhu 27 Celsius. Ibu berkenaan diberi kebebasan duduk dengan posisi mengikut keselesaan untuknya bersalin. Jika bayi masih belum lahir, ibu boleh keluar dari kolam dan masuk semula jika ada gesaan untuk bersalin. Sebaik bayi dilahirkan, dua minit berikutnya penting.

KEMUDAHAN bersalin dalam air di Hospital Pantai KL.

Bayi akan dibawa keluar dari air untuk mengelak kemalangan. Bersalin dalam air adalah cara mengurangkan kesakitan, katanya. Menurutnya, di Amerika Syarikat, kesatuan perbidanan dan sakit puan tidak berani mengulas sama ada kaedah ini selamat atau tidak, manakala di Australia dan New Zealand, kaedah ini perlu dikendalikan oleh kakitangan terlatih.

Jika tidak selesa dengan kaedah bersalin dalam air, ibu diberi pilihan untuk keluar dari kolam dan bersalin di katil. Ibu turut diberi gas ketawa untuk mengurangkan sakit, katanya.

Sementara itu, Raja Zarith Sofia Raja Zulkifli, 28, berkata, bersalin dalam air adalah pengalaman berbeza yang menyeronokkan. Dia melahirkan Kyla Natasha Khairul Nizam seberat 2.88 kilogram dengan ditemani suami Khairul Nizam Bachtiar, 34.

Katanya, dia memasang impian untuk bersalin dalam air sejak dulu lagi selepas mengetahui kaedah berkenaan sewaktu menuntut di luar negara.

Proses melahirkan memang sakit, tetapi berada dalam air melegakan kesakitan akibat kontraksi, katanya.

AR Maricar Saragih, 40-an, yang melahirkan anak keempat menerusi kaedah itu berkata, proses itu adalah pengalaman menakjubkan.

Dia yang mendapat sokongan suami, Anders Krogh, 45, sebelum ini melahirkan tiga anak secara normal.

Bersalin dalam air dapat mengurangkan kesakitan ketika berlaku kontraksi, selain mempercepatkan proses kelahiran. Tiga hari sebelum melahirkan anak, air ketuban pecah dan pergerakan bayi di dalam rahim semakin kurang.

Bagaimanapun, saya tidak mahu diinduksi kerana ia terlalu sakit, katanya yang melahirkan anak keempatnya, Ariena Ayla pada Julai tahun lalu.

Punca masalah kesuburan lelaki

Oleh Norainon Othman

Apabila sudah berumahtangga sekian lama tetapi masih belum lagi memiliki zuriat, masalah kesuburan sering dituding kepada kaum hawa.

Apapun usaha perlu dilakukan dengan kerjasama kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri sama-sama menjalani pemeriksaan dan rawatan bagi menentukan tahap kesuburan.

Masalah ketidaksuburan bukan hanya berpunca daripada wanita sebaliknya turut dialami lelaki dalam peratusan yang sama banyak atau gabungan daripada kedua-duanya. Kira-kira 30 peratus faktor ketidaksuburan berpunca daripada wanita dan 30 peratus daripada lelaki.

Sebanyak 10 peratus masalah ketidaksuburan berpunca daripada kombinasi kedua-duanya manakala 25 peratus disebabkan punca yang tidak diketahui dan lima peratus disebabkan faktor lain.

Pakar Perunding Urologi Pusat Perubatan Tropicana Dr Muhilan Parameswaran berkata, masalah kesuburan lelaki boleh dibahagikan kepada tiga punca iaitu hormon, sperma dan alat sulit.

Menurutnya, sperma yang sihat akan meningkatkan kesuburan tetapi setiap lelaki harus mengetahui bagaimana faktor gaya hidup boleh mempengaruhi kualiti sperma. Mereka juga patut tahu apa yang harus dilakukan untuk meningkatkan kesuburan serta faktor yang boleh memberi kesan pada hormon testosteron di sperma.

Faktor penyebab

  • Pra testikular – gangguan hormon menyebabkan testis (buah zakar) yang walaupun normal tetapi tidak terangsang atau mengalami masalah untuk menghasilkan sperma
  • Testikular – kerosakan sel menyebabkan testis tidak dapat menghasilkan sperma yang sihat
  • Post testikular – penghasilan sperma normal tetapi gagal ejakulasi

Rawatan pembedahan dan perubatan

  • Kedua-dua masalah pra testikular dan post testikul ar perlu dikenal pasti sebab, ubatan atau pembedahan bagi membetulkan bahagian yang tidak normal.

    Masalah yang berpunca daripada testis dan mengapa ia menentukan kesihatan sperma?

  • Kuantiti – mengandungi lebih 15 juta sperma per mililiter
  • Kualiti – sperma yang normal mempunyai bentuk kepala oval dan ekor panjang. Memiliki lebih banyak sperma dengan bentuk normal dan berstruktur, lebih besar kemungkinan seseorang itu subur
  • Pergerakan – untuk mencapai dan menembusi telur, sperma mesti bergerak, berenang menerusi servik (leher rahim) wanita, uterus (rahim) dan tiub fallopio. Ini dikenali sebagai mortaliti. Anda mungkin paling subur jika lebih 40 peratus daripada sperma anda sedang bergerak.

Cara yang bagus untuk menghasilkan sperma sihat

  • Amalkan seks yang sihat – ini bagi mengelakkan jangkitan penyakit kelamin seperti klamidia (disebabkan serangan sejenis bakteria) dan gonorea (kencing nanah)
  • AMakan diet sihat. Pilih buah dan sayuran kerana ia kaya antioksidan
  • AKekalkan berat badan yang seimbang. Kebanyakan kajian mencadangkan obesiti memberi kesan negatif kepada kualiti sperma, mengurangkan bilangan sperma dan pergerakan sperma
  • AUruskan tekanan dan dapatkan tidur mencukupi. Perkara itu boleh mengurangkan fungsi seksual dan terganggu dengan hormon diperlukan untuk menghasilkan sperma
  • ABanyakkan pergerakan termasuk aktiviti fizikal dalam rutin setiap hari
  • APakai seluar dalam longgar

Makanan berkhasiat diperlukan dalam diet anda

  • AZink – tahap zink meningkatkan kesuburan lelaki dengan ditunjukkan melalui peningkatan tahap sperma, memperbaiki bentuk, fungsi dan kualiti sperma lelaki dan mengurangkan ketidaksuburan

    Sumber makanan – hati lembu, tiram, daging, biri-biri, daging rusa, bijan, biji labu, dadih, ayam Belanda, kacang hijau dan udang. Zink boleh rosak jika dimasak dan beberapa jenis makanan yang tinggi kandungan zink lebih baik dimakan mentah, misalnya daripada tumbuhan.

  • Selenium – diperlukan untuk menghasilkan sperma. Kajian menunjukkan lelaki yang kurang kandungan sperma juga didapati mempunyai kandungan selenium yang rendah

    Sumber makanan : hati, ikan jenahak, ikan kod, ikan halibut, tuna, salmon, sardin, udang, cendawan butang dan ayam Belanda

  • CoQ10 – meningkatkan mortaliti sperma dalam air mani. Ia juga antioksidan penting yang membantu melindungi sel daripada kerosakan akibat radikal bebas. Ia mungkin memberi kesan lebih baik kepada kesihatan telur

    Sumber makanan : ditemui dalam makanan laut dan organ lembu. Jumlahnya menurun dalam haiwan yang sudah tua.

Makanan semula jadi lebih baik daripada pil:

  • Vitamin E meningkatkan kesihatan dan mortaliti sperma lelaki. Kajian menunjukkan kekurangan Vitamin E menyebabkan ketidaksuburan pada tikus.

    Sumber makanan mengandungi Vitamin E ialah biji bunga matahari, almond, buah zaitun, bayam, betik dan sayuran berwarna hijau gelap.

  • Lelaki yang tahap asid folik rendah meningkatkan risiko bagi sperma mengandungi terlalu sedikit atau banyak kromosom.

    Sumber makanan: hati, kekacang, kacang pinto, asparagus, bayam dan kacang merah besar.

Makanan semula daripada sumber laut adalah rakan.’

  • B12 – dapat meningkatkan jumlah sperma
    Sumber makanan: jenis kerang, tiram, kupang, hati, telur ikan, ikan, ketam, udang kara, daging, biri-biri dan keju.
  • Vitamin C – Dapat mempertingkatkan kualiti sperma dan melindungi Deoxyribonucleic acid (DNA) daripada rosak. Ia juga mengelakkan sperma daripada berkelompok, menjadikan ia lebih bergerak.

    Sumber makanan: Banyak terdapat dalam tumbuhan dan buah termasuk cili merah, brokoli, kranberi, kubis, kentang, tomato dan buahan sitrus.

  • L-Carnite – Makanan yang diperlukan untuk sel sperma berfungsi normal.

Sperma boleh menjadi lebih terdedah kepada faktor alam sekitar seperti pendedahan panas berlebihan atau bahan kimia bertoksik. Untuk memelihara kesuburan, elakkan memakai seluar dalam ketat atau seluar pendek olahraga. Sekiranya anda penunggang basikal atau duduk dalam jangka masa yang lama, ubah kedudukan seperti berdiri seketika. Jangan letakkan komputer riba di paha anda. Elakkan mandi dalam tab panas, sauna dan mandian wap. Selain itu, hindari merokok.

Ubatan tertentu seperti anti kemurungan atau anti androgen boleh menyumbang masalah kesuburan. Steroid anabolik juga boleh memberi kesan yang sama. Ubat kemoterapi dan rawatan radiasi untuk kanser boleh menyebabkan ketidaksuburan kekal.

Pendedahan pada toksik seperti racun serangga dan pengambilan minuman keras boleh menjejaskan kualiti dan kuantiti sperma. Dadah, misalnya marijuana dan tembakau boleh mengurangkan pergerakan sperma dan menyebabkan sperma hilang bentuk. Kokain dan heroin juga menjejaskan kesihatan sperma.

Cegah stres berlebihan dan lakukan senaman. Stres kadangkala punca pada sesetengah masalah ketidaksuburan seperti masalah hormon. Kekalkan berat badan seimbang, tidak terlalu kurang dan terlalu berlebihan kerana ia mempengaruhi tahap estrogen dan testosteron.

Pergerakan sperma dan jumlah sperma yang sihat mungkin menurun selepas umur 50 tahun, sekali gus mempengaruhi kesuburan lelaki. Sesetengah kajian mencadangkan wanita boleh dihamilkan oleh lelaki berusia dengan risiko yang lebih tinggi sedikit untuk keguguran. benih daripada seorang bapa yang meningkat usianya juga boleh meningkatkan risiko lebih tinggi untuk mendapat anak autisme dan schizophrenia.

Soaljawab: Gangguan kulat di faraj semasa hamil

Saya hamil anak kedua dan kandungan saya sudah menjangkau lapan bulan. Saya mengalami keputihan yang keluar daripada faraj. Saya tidak pernah mengalami masalah sebegini semasa kehamilan pertama. Untuk pengetahuan doktor, saya juga tidak mengalami masalah perubatan yang lain. Masalah keputihan ini menggusarkan saya. Saya juga selalu mengalami kegatalan pada celah paha. Mohon doktor bantu saya. Terima kasih.

* Neena, Kuala Lumpur

Jawapan

Keputihan atau lelehan faraj yang lebih banyak daripada biasa adalah normal bagi wanita hamil. Lelehan yang sihat bersifat cair dan berwarna jernih dan keputihan. Tetapi jika anda mengalami pengeluaran lelehan yang pekat, berwarna putih seperti susu yang sudah basi dan berkeladak, maka penyebab biasa adalah disebabkan oleh jangkitan sejenis kulat. Simptom lain yang mungkin dialami adalah kegatalan pada faraj dan celah paha, sakit atau warna kemerah-merahan di dalam atau sekeliling faraj. Ada juga wanita yang merasa sakit apabila membuang air kecil.

Punca

Jangkitan pada bahagian faraj agak biasa berlaku semasa hamil. Keputihan diakibatkan oleh kulat mikroskopik atau yis yang dipanggil candida albicans. Kulat ini ada dalam badan setiap orang. Biasanya kulat ini hidup dalam faraj tanpa memudaratkan dan anda mungkin tidak sedar bahawa ia berada dalam badan anda.

Namun keadaan ini imbangan antara jumlah kulat dan mikroorganisme lain dalam badan. Anda lebih berkemungkinan mengalami keputihan jika, anda hamil. Semasa hamil, faraj anda mengandungi glukosa yang tinggi yang dipanggil glikogen, dan ini menggalakkan pertumbuhan kulat.

Seseorang wanita juga mudah mengalami masalah ini jika mereka suka memakai pakaian yang ketat atau yang diperbuat daripada bahan sintetik, seperti seluar jeans atau seluar dalam daripada nilon. Pakaian seperti ini panas dan menghalang peredaran angin dan menggalakkan pertumbuhan kulat tersebut.

Penyebab lain adalah jika anda menggunakan mandian buih wangi atau pelapik seluar dalam beraroma yang mungkin menyebabkan ketidakselesaan atau mungkin disebabkan anda mengambil antibiotik. Antibiotik boleh mengganggu keseimbangan di antara mikroorganisma baik dan jahat yang berada di dalam perut anda. Bagi wanita mengalami diabetes yang tidak dikawal dengan baik juga biasa mengalami masalah sebegini.

Walaupun keputihan tidak dikategorikan sebagai penyakit yang berjangkit melalui hubungan seksual, anda boleh mengalaminya jika pasangan anda mengalaminya.

Berjumpa doktor

Jika anda rasa anda mengalami keputihan, beritahulah doktor anda. Jangan menderita bersendirian. Usah gusar. Doktor anda mungkin akan memeriksa kawasan di sekitar faraj untuk mengenalpasti masalah sebenarnya. Jika beliau tidak pasti sama ada itu adalah keputihan, beliau akan melakukan ujian, di mana sedikit cairan akan diambil daripada faraj dan dihantar ke makmal.

Doktor anda mungkin akan mempreskripsikan ubat jenis pessari atau krim anti kulat yang sesuai digunakan semasa hamil. Anda mungkin memerlukan rawatan penuh selama lima hingga tujuh hari untuk menghapuskan keputihan dengan sempurna. Jika anda diberikan ubat jenis pessari, anda juga mungkin diberi alat untuk memasukkan ubat itu ke dalam faraj. Jika ini berlaku, berhati-hati supaya tidak memberi tekanan kepada rahim, iaitu bahagian leher rahim (uterus) anda. Anda juga boleh memasukkannya dengan perlahan-lahan menggunakan jari sendiri.

Keputihan boleh jadi sukar untuk dihapuskan apabila anda hamil. Rawatan yang berkesan bagi wanita yang tidak hamil mungkin tidak berkesan pada anda. Bincanglah dengan doktor anda sebelum menggunakan apa-apa ubat yang boleh dibeli di pasaran. Ubat bukan sahaja mahal, malah tidak semestinya berkesan dan mungkin tidak sesuai digunakan semasa hamil.

Kesan ke atas bayi

Bayi anda selamat dan terlindung di dalam rahim dan tidak terjejas sama sekali. Jika anda mengalami jangkitan semasa anda sakit bersalin, ada sedikit kemungkinan yang bayi anda akan dijangkiti apabila melalui faraj anda ketika keluar daripada rahim.

Jika bayi anda yang baru lahir mengalami keputihan, anda akan melihat tompokan putih di mulutnya. Jika anda menyusu badan, kedua-dua ibu dan bayi memerlukan rawatan kerana keputihan ini boleh merebak ke payu dara.

Anda mungkin mendapati keputihan datang dan pergi sepanjang kehamilan. Walaupun ia mengambil masa untuk dihapuskan dan agak tidak selesa, ia bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan sangat. Oleh itu jangan runsing. Perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan perawatan yang sewajarnya.