Tag Archives: herba hutan malaysia

Ancaman endometriosis

Ancaman endometriosis

 

PAKAR Obstetrik dan Ginekologi serta Pakar Onkologi Ginekologi, Dr. Suresh Kumarasamy berkata, endometriosis adalah penyakit kronik lagi menyakitkan.

“Bagi sesetengah wanita, penyakit ini tiada penawar yang kekal. Kesakitan yang dialami mereka boleh menyebabkan kelesuan fizikal dan mental, melemahkan mereka di puncak kehidupan dan menjejaskan kerjaya dan hubungan peribadi.

“Tinjauan selidik di Malaysia mendedahkan wanita menunggu selama dua tahun selepas mengalami gejala endometriosis sebelum mereka mendapatkan rawatan.

“Lebih 60 peratus daripada wanita menangguhkan tindakan mendapatkan rawatan kerana mereka menjangka gejala ini akan hilang dengan sendirinya,” katanya.

Tambah Dr. Suresh, setiap wanita mengalami tahap kesihatan yang berbeza. Tahap kesakitan yang dialami tidak semestinya dikaitkan dengan saiz atau bilangan lesi endometrium.

Sebab itu disarankan supaya wanita yang mengalami gejala endometriosis agar mendapatkan perhatian perubatan seawal mungkin supaya tidak menderita dalam diam.

“Meskipun sesetengah wanita mengalami kesakitan pada masa tertentu, namun, seorang dalam empat wanita penghidap endometriosis mengalami kesakitan sepanjang kitaran haid mereka.

“Matlamat rawatan untuk wanita yang menghidap endometriosis adalah untuk melegakan kesakitan, melambatkan pertumbuhan tisu endometrium, menambah baik atau melindungi kesuburan dan mencegah penyakit daripada berulang,” katanya.

Ujar Dr. Suresh, laparoskopi biasanya dijalankan untuk mengesahkan diagnosis. Laparoskopi boleh dijalankan untuk membuang lesi endometrium, tetapi bagi sesetengah pesakit. Lesi mungkin akan kembali selepas pembedahan.

“Gejala endometriosis biasanya dirawat dengan ubat penahan sakit, seperti ubat antiradang bukan steroid (NSAID), dan rawatan hormon seperti pil perancang oral, progestin dan analog hormon pengeluar gonadotropin (analog GnRH),” katanya.

Beliau berkata, faktor-faktor risiko seseorang wanita didiagnosis termasuk sejarah endometriosis dalam keluarga, kedatangan haid awal, turun darah haid terlalu banyak, menopaus lewat dan lambat mengandung.

“Gejala biasa termasuk kesakitan pelvis kronik, kesakitan semasa haid (senggugut), kesakitan semasa dan selepas melakukan hubungan seks dan tidak subur.

“Sebanyak 30 hingga 50 peratus wanita yang mempunyai gejala endometriosis mempunyai masalah ketidaksuburan.

“Tidak semua wanita dengan gejala endometriosis mempunyai simpton dan hanya sedikit daripada mereka didiagnosis menghidap penyakit tersebut apabila membuat rawatan kesuburan,” katanya.

Sementara itu, bagi membantu wanita Malaysia yang selama ini menanggung kesakitan yang melemahkan badan mereka akibat endometriosis kini boleh mendapat manfaat yang ditawarkan oleh Visanne, iaitu ubat oral baru yang terbukti berkesan yang dilancarkan oleh Bayer HealthCare.

Dalam ujian klinikal yang dijalankan, Visanne (Dienogest) terbukti membantu mengurangkan sebahagian besar kesakitan yang di kaitkan degan endometriosis dan juga mengurangkan pertumbuhan tisu seperti endometrium yang terdapat di luar rahim.

Profesor Obstetrik dan Ginkologi, Universiti Cologne, Jerman, Thomas Romer, menjelaskan, bukti klinikal menunjukkan Visanne berkesan melegakan kesakitan yang dikaitkan dengan endometriosis termasuk kesakitan senggugut, kesakitan sebelum kedatangan haid, kesakitan pelvis dan kesakitan semasa melakukan hubungan seks.

“Visanne adalah ubat oral pertama di dunia yang memberi keberkesanan seperti suntikan analog GnRH.

“Lebih penting lagi, kajian klinikal menunjukkan bahawa Visanne mencatatkan tahap kejadian selaras panas yang lebih rendah dan perubahan ketumpatan mineral tulang yang minimum berbanding dengan suntikan analog GnRH,” Katanya. – SITI AISHAH YUSOFF

Mati Pucuk dan Pencegahan

Pengenalan

Definisi: Ketidakupayaan dalam memperolehi dan mengekalkan ketegangan yang cukup lama untuk mencapai kepuasan hubungan seks. Kajian epidemologi di Malaysia (1997/98) menunjukkan 1.7 juta lelaki berumur 40 tahun ke atas mengalami masalah mati pucuk.

Sebab-sebab mati pucuk:

  • Masalah perubatan seperti diabetes dan tekanan darah tinggi yang boleh menyempitkan saluran darah (arteriosclerosis)
  • Penyakit mental seperti kemurungan dan kebimbangan
  • Kecederaan pada otak dan saraf tunjang
  • Masalah hormon seperti kekurangan paras testosterone yang rendah
  • Kegagalan hati dan buah pinggang
  • Penyakit Parkinson
  • Angin ahmar
  • Komplikasi pembedahan kelenjar prostat atau pundi kencing (jarang berlaku)
  • Kesan sampingan ubat-ubatan

Mati pucuk juga berkaitan dengan tabiat merokok, minum alkohol, stres, kegemukan (obesiti) dan kurang aktiviti fizikal.

Simptom

  • Ketidakupayaan untuk memperolehi dan mengekalkan ketegangan
  • Ketegangan tidak mencukupi untuk penetrasi dalam hubungan seks
  • Ketidakupayaan dalam mengekalkan ketegangan selepas penetrasi untuk mencapai kepuasan hubungan seks

Komplikasi

  • Kemurungan
  • Kebimbangan semasa hubungan
  • Masalah perkahwinan
  • Rasa rendah diri
  • Kualiti hidup rendah / kurang

Rawatan

Rawatan Bukan Ubat

  • Mengamalkan cara hidup sihat boleh membantu sesetengah lelaki dalam masalah ini seperti:
    1. Berhenti Merokok
    2. Mengurangkan berat badan yang berlebihan
    3. Meningkatkan aktiviti fizikal
    4. Masalah mati pucuk akan bertambah baik jika penyakit diabetes atau tekanan darah tinggi terkawal.
    5. Pengurusan stres

Rawatan Ubat-ubatan

Ubat-ubatan boleh didapati untuk mengubati mati pucuk dalam bentuk pil dan suntikan. Dalam keadaan di mana ubat tidak berkesan atau tidak boleh digunakan, alat vakum khas dan pembedahan implan mungkin berguna. (Anda perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan kaedah-kaedah rawatan tersebut)

Pencegahan

  • Berhenti merokok dan pengambilan alkohol
  • Pengawalan penyakit darah tinggi dan diabetes secara optima
  • Cara hidup yang sihat