Tag Archives: hernia

Merawat kecacatan bayi

Menanti kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga, sering kita bayangkan kelahiran bayi yang comel dan sempurna. Namun bukan semua bayi dilahirkan sihat dan sempurna kejadiannya.

Ada juga bayi yang lahir dengan bawaan atau kecacatan sejak lahir (kongenital). Jika ini terjadi, pembedahan terpaksa dilakukan pada tubuh si kecil.

Perunding Pembedahan Neonatal dan Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court Dr Nada Sudhakaran berkata, ada beberapa penyakit yang memerlukan bayi dibedah, sama ada perlu dilakukan segera atau pada usia tertentu.

Antara jenis kecacatan dialami bayi dan cara merawat:

GASTROCHISIS masalah usus terkeluar dari abdomen.

PEMBEDAHAN lubang kunci.

PEMBEDAHAN artesia dilakukan di bawah lengan.

Atresia

Keadaan tidak ada atau tertutupnya lubang badan normal secara kongenital. Bayi tidak mempunyai lubang di tempat yang seharusnya ada saluran atau rongga tubuh.

Ia berlaku apabila pembentukan esofagus tidak sempurna iaitu gut depan tidak terpisah dengan sempurna. Keadaan ini menyebabkan air susu yang diminum bayi mudah termasuk ke saluran paru-paru, mengakibatkannya terbatuk-batuk.

Atresia boleh berlaku di mana-mana bahagian usus. Satu daripada 3,000 kelahiran berisiko mengalami kecacatan ini dan ia lebih banyak berlaku dalam kalangan bayi lelaki tetapi tidak menunjukkan peratusan ketara berbanding bayi perempuan. Pembedahan akan dijalankan bagi membetulkan saluran berkenaan dengan pembedahan menerusi pusat.

Pembedahan bagi atresia esofagus dijalankan di bawah lengan. Potongan selebar tiga sentimeter itu lebih baik berbanding pembedahan tradisional selebar enam sentimeter yang boleh mengakibatkan otot rosak, tubuh hilang imbangan dan masalah tulang belakang bengkok.

Hernia

Penyakit ini juga dikenali angin pasang biasanya dialami bayi atau kanak-kanak lelaki. Ia berlaku apabila otot lemah menyebabkannya terbonjol keluar hingga boleh kelihatan daripada kulit badan.

Ketika bayi dalam kandungan ibu, testis (buah zakar) berada di dalam abdomen dan akan turun dari rongga perut menuju skrotum (kantung kemaluan) pada bulan ketujuh hingga kelapan usia kehamilan.

Abdomen mempunyai banyak lapisan iaitu kulit, lemak dan otot, manakala lapisan dalam sekali adalah membran dipanggil peritonium. Apabila testis turun, ia menarik lapisan membran. Membran ini akan menutup testis.

Bagaimanapun, bagi bayi yang mempunyai masalah, lapisan membran ini tidak menutupi testis dengan sepenuhnya. Pembedahan lubang kunci atau laparoskopi dilakukan dengan membuat tebukan melalui pusat.

Hydrocoele

Iaitu cecair dari abdomen memasuki testis. Kira-kira tiga peratus kanak-kanak lelaki mengalami masalah ini. Kebiasaannya, kanak-kanak yang mengalami hydrocoele boleh sembuh daripada penyakit itu dalam masa dua tahun tetapi jika tidak sembuh, pembedahan akan dilakukan.

Bayi yang mengalami hydrocoele tidak merasa kesakitan tetapi buah zakarnya membengkak kerana mengandungi takungan air.

Pembedahan bagi merawat masalah ini cuma mengambil masa setengah jam dengan jahitan satu sentimeter bagi menutup lubang saluran kemasukan air.

Kanak-kanak yang menjalani pembedahan boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa sebaik saja selepas pembedahan dan luka akan sembuh sepenuhnya dalam masa tiga atau empat hari.

Undescended testis

Testis yang tidak turun pada kantung kemaluan boleh berhenti di mana-mana bahagian laluan menuju ke kantung kemaluan. Masalah ini dialami kira-kira dua peratus daripada kelahiran bayi lelaki.

Testis mempunyai dua fungsi iaitu membuat hormon testosteron iaitu membuatkan lelaki kuat, berotot, mempunyai misai dan rambut. Biasanya, dalam kebanyakan kes, cuma satu testis yang tidak turun ke kantung kemaluan.

Jika kedua-dua testis tidak turun, masalah lebih besar dihidapi bayi terbabit. Selain itu, testis turut berfungsi membuat sperma. Jika ia tersangkut di mana-mana bahagian laluan ke kantung kemaluan, bayi terbabit akan menghadapi masalah menghasilkan sperma.

Suhu tubuh manusia ialah 37 darjah Celsius manakala suhu di kantung kemaluan adalah kurang daripada 37 darjah Celsius. Suhu yang lebih sejuk itu lebih baik bagi pengeluaran sperma. Pembedahan kecil dilakukan bagi memasukkan kembali testis ke dalam kantung kemaluan.

Lazimnya, testis tersangkut di kawasan inguinal iaitu kawasan di bahagian atas sedikit daripada kantung kemaluan. Sebaik-baiknya pembedahan dilakukan ketika bayi berusia enam bulan. Pembedahan lubang kunci dijalankan bagi mengatasi masalah ini.

Exomphalos

Masalah usus terkeluar daripada kulit abdomen tetapi ada membran menutupinya iaitu lapisan daripada tali pusat. Masalah ini boleh dikesan lebih awal sejak bayi dalam kandungan menerusi ujian imbasan. Pembedahan dilakukan untuk memasukkan semula usus ke dalam abdomen melalui tebukan di pusat.

Gastroschisis

Masalah usus terkeluar dari kulit abdomen. Ketika dalam kandungan ibu, usus berada di luar tubuh bayi dan menjelang kelahirannya, ia akan memasuki abdomen. Kes ini memerlukan pembedahan segera.

Biasanya doktor akan memasukkan usus yang terkeluar itu ke dalam beg plastik. Kemudian, pembedahan dilakukan untuk memasukkan semula usus berkenaan ke dalam abdomen bayi melalui tebukan di pusat.

Hypospadias

Masalah lubang kencing tidak di tempat sepatutnya dan zakar juga bengkok. Hanya sebelah bahagian zakar disaluti kulit, manakala kebiasaannya di bahagian bawah zakar tiada.

Zakar berfungsi untuk mengeluarkan air kencing dan sebagai alat seks. Jika zakar bengkok, pembedahan akan dilakukan bagi membentuk semula.

Seorang daripada 120 bayi lelaki mengalami masalah ini. Semakin lama, kes berkenaan kian bertambah kerana di dalam makanan harian kita, misalnya ayam dan daging mempunyai kandungan estrogen.

Estrogen iaitu hormon wanita lazimnya disuntik pada haiwan ternakan bagi menggemukkan ia. Jika ibu hamil banyak mengambil makanan mengandungi hormon, kesan estrogen memberi kesan kepada anak lelaki.

Sepuluh tahun lalu, kes ini berlaku dalam kalangan seorang daripada 500 bayi lelaki tetapi kini nisbahnya seorang daripada 120 bayi lelaki. Doktor akan menggunakan lebihan kulit yang ada bagi membentuk semula.

Kanak-kanak yang mempunyai masalah ini tidak boleh berkhatan kerana kulit yang ada sudah digunakan membentuk semula zakar. Apabila pembedahan dilakukan, bayi berkenaan mempunyai zakar yang sudah dikhatan.

Pyloric Stenosis

Keadaan di mana otot di saluran yang terletak di antara hujung perut dengan usus begitu tebal menyebabkan makanan atau susu dari perut tidak boleh memasuki usus kecil. Pembedahan akan dilakukan dengan memotong otot berkenaan bagi membuka laluan. Pembedahan lubang kunci sebesar tiga mililiter yang dijalankan menyebabkan tiada kesan parut.

Congenital lung anomaly

Keadaan di mana bayi lahir dengan paru-paru tidak sempurna iaitu udara boleh masuk ke dalam paru-paru tetapi tidak boleh keluar. Doktor akan membuat pembedahan membuang bahagian paru-paru yang tidak bagus itu.

Bahagian paru-paru yang elok boleh tumbuh semula jika pembedahan dijalankan sebelum bayi berusia dua tahun.

Pembedahan lubang kunci dilakukan bagi merawat masalah ini dengan satu lubang bagi memasukkan kamera manakala dua lubang untuk memasukkan instrumen.

Oleh NORAINON OTHMAN

Hernia (Angin Pasang) Boleh Dibendung

Pengenalan

Hernia berlaku apabila kandungan dalam satu-satu ruang badan (biasanya abdomen) membonjol keluar daripada kawasan yang biasa mereka berada. Kandungan ini biasanya adalah sebahagian usus atau tisu lemak abdomen yang dilapisi oleh lapisan nipis (membran) yang juga akan membentuk kantung hernia/hernia sac. Ia dikenali dengan angin pasang surut kerana sifat bonjolan itu dapat dilihat dan ada masa tidak. Sifat ini dalam bahasa perubatan dikenali sebagai ‘reducible‘.

Jenis-jenis Hernia (Angin Pasang)

  1. Inguinal hernia: Berlaku di bahagian kelangkang. Tujuh puluh lima peratus hernia adalah dari jenis ini. Ia 25 kali lebih kerap berlaku kepada lelaki berbanding wanita. Hernia jenis ini boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu langsung dan tidak langsung. Keduanya dibezakan melalui sedikit perbezaan berdasarkan kepada punca kejadian mereka. Kedua-duanya boleh kelihatan serupa semasa membonjol di kawasan kelangkang. Membezakan antara keduanya adalah amat penting semasa membuat diagnosa klinikal.
    • Angin Pasang tidak langsung: Hernia akibat bonjolan bila mana kandungan bonjolan terkeluar melalui jalan yang pernah dilalui oleh testes (buah pelir) semasa perkembangan di peringkat janin dahulu. (Ketika peringkat awal janin, buah pelir berada di dalam abdomen dan semasa perkembangan, ia turun ke bawah sehingga masuk ke dalam buah zakar). Jalan ini biasanya tertutup sebelum bayi lahir tetapi boleh menjadi tempat berlakunya hernia kemudian hari. Hernia ini boleh berlaku di semua peringkat umur. Kadangkala kantung hernia boleh membonjol sehingga ke dalam buah zakar.
    • Angin Pasang langsung: Hernia ini berlaku pada kawasan di mana dinding abdomen agak kurang tebal. Ia biasanya tidak menonjol ke dalam skrotum. Tidak seperti hernia tidak langsung yang boleh berlaku di semua peringkat umur, Hernia langsung ini cenderung berlaku  kepada mereka yang berada di peringkat pertengahan umur dan orang tua disebabkan dinding abdomen menjadi semakin lemah bila umur meningkat.
  2. Hernia femoral: Saluran femoral adalah jalan di mana salur darah arteri, vena dan saraf femoral keluar daripada abdomen untuk memasuki kawasan peha. Biasanya saluran ini ketat dan padat, tetapi kadangkala ia menjadi besar untuk membolehkan kandungan abdomen menonjol ke dalam saluran tersebut. Hernia femoral menyebabkan bonjolan di bahagian bawah lipatan kelangkang, di kawasan tengah peha. Biasanya berlaku kepada wanita dan lebih berisiko untuk tidak bersifat pasang surut/irreducible dimana ia tidak boleh ditolak masuk.
  3. Hernia hirisan: Pembedahan abdomen boleh mengakibatkan dinding abdomen berubah dari segi struktur terutama di bahagian yang dihiris. Ia  menyebabkan kawasan bekas hirisan ini menjadi lemah. Hernia boleh terjadi pada bahagian yang lemah ini. Ia berlaku dalam 2%-10% pembedahan abdomen.

Penyebab Hernia (Angin Pasang)

Hernia yang berlaku di kalangan warga tua samada disebabkan oleh adanya jalan yang terbentuk semasa perkembangan fetus, bukaan sedia ada di dalam ruang abdomen atau kawasan dinding abdomen lemah oleh sebab sesuatu keadaan.

Apa jua keadaan yang menyebabkan peningkatan tekanan dalam ruang abdomen boleh menyumbang kepada pembentukan hernia atau menerukkan lagi hernia. Contoh termasuk:

  • Obesiti,
  • Mengangkat objek berat,
  • Batuk,
  • Meneran semasa buang air besar atau kecil
  • Penyakit paru-paru kronik dan,
  • Ada cecair di dalam ruang abdomen.

Gejala, tanda-tanda dan komplikasi hernia (angin pasang)

Gejala dan tanda-tanda hernia adalah berbagai-bagai. Ia boleh jadi ringan iaitu seseorang mengadu menghidapi bonjolan yang tidak sakit yang timbul apabila berdiri atau batuk atau meneran dan masuk balik bila berbaring atau ditolak masuk dengan tangan.

Ada yang datang dengan gejala dan tanda-tanda yang teruk seperti bonjolan yang sakit, tidak boleh disentuh apa lagi ditekan masuk balik ke dalam ruang abdomen, kulit luar mungkin kelihatan merah kehitaman dan pesakit mungkin demam. Ini adalah akibat kandungan bonjolan seperti usus telah mengalami kekurangan bekalan darah akibat himpitan (jerutan) salur darah biasanya di lubang bukaan hernia. Ia dikenali sebagai angin pasang terbelit (strangulated hernia).

  • Angin pasang surut
    • Ia boleh muncul sebagai bonjolan baru di bahagian kelangkang atau kawasan abdomen lain.
    • Seorang boleh rasa sakit/senak sedikit tetapi biasanya sentuhan pada bonjolan tidak menyebabkan rasa sakit.
    • Bonjolan akan timbul atau bertambah saiz bila berdiri atau bila tekanan dalam abdomen bertambah (seperti batuk).
    • Ia boleh ditolak masuk semula ke dalam abdomen (reducible).
  • Angin pasang tidak surut
    • Ia boleh merupakan bonjolan besar yang mungkin sakit yang sebelum ini ada pasang surut, kemudiannya menjadi tidak boleh masuk semula ke dalam abdomen dengan sendiri atau bila ditolak masuk dengan tangan.
    • Sebahagiannya mungkin kronik iaitu telah berlaku untuk satu jangkamasa yang lama tetapi oleh kerana tidak sakit pesakit tidak mendapatkan rawatan.
    • Ia boleh menjadi strangulated hernia.
  • Angin pasang terbelit
    • Hernia ini biasanya bermula sebagai hernia tidak surut yang kemudiannya mengalami belitan pada bukaan hernia menyebabkan himpitan pada salur darah seterusnya mengakibatkan usus yang terperangkap dalam bonjolan tidak mendapat bekalan darah.
    • Biasanya pesakit mengadu sakit terutama apabila bonjolan ditekan. Boleh ada tanda-tanda usus tersumbat seperti loya, muntah dan perut menjadi kembung.
    • Pesakit boleh ada demam dan biasanya kelihatan tenat.
    • Rawatan kecemasan dan pembedahan segera perlu dilakukan.

Rawatan

Penjagaan di Rumah
Secara umum semua jenis angina pasang perlu dibedah kecuali seseorang pesakit tidak boleh menjalani pembedahan atas sebab-sebab kesihatan yang lain.

Elakkan aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan tekanan dalam abdomen seperti batuk, angkat objek berat atau meneran yang boleh menyebabkan angina pasang menjadi lebih besar. Seseorang yang batuk perlu mendapatkan rawatan.

Seseorang yang meneran semasa buang air besar atau kecil perlu menjalani pemeriksaan doktor untuk mengetahui puncanya. Ia mungkin disebabkan masalah sembelit atau masalah kelenjar prostat besar (benign prostatic hyperplasia) yang perlu dirawat.

Rawatan Perubatan
Bergantung kepada samada ia boleh surut atau tidak boleh surut dan kemungkinan terbelit.

  • Angin pasang boleh surut
    • Secara umum, semua angin pasang perlu dibedah untuk mengelakkan kemungkinan komplikasi terbelit.
    • Jika pembedahan tidak boleh dilakukan atas sebab kesihatan yang lain, doktor akan selalu membuat pemeriksaan secara berkala.
    • Keadaan di mana doktor tidak melakukan pembedahan
      • Ada hernia yang mempunyai bukaan hernia yang besar di mana risiko untuk terjerut adalah sangat rendah dan pembedahan untuk menutup bukaan besar ini adalah rumit.
    • Rawatan setiap hernia adalah berbeza dan doktor akan berbincang dengan pesakit kaedah rawatan termasuk risiko dan faedah jika dibedah atau tidak.
  • Angin pasang tidak surut
    • Semua angin pasang tidak surut memerlukan rawatan kecemasan kerana risiko komplikasi terbelit.
    • Cubaan untuk surutkan atau masukkan semula angin pasang boleh dilakukan biasanya dengan bantuan ubat tahan sakit dan ubat peregang otot (muscle relaxant).
    • Jika cubaan gagal, pembedahan kecemasan perlu dilakukan.
    • Jika cubaan berjaya, rawatan seterusnya bergantung kepada jangkamasa angin pasang ini berada dalam keadaan tidak surut (irreducible).
      • Jika kandungan angin pasang adalah usus dan kemungkinan berlaku belitan dan bekalan darah ke usus yang terperangkap itu terhenti, tisu usus tersebut akan mati atau rosak ( gangrenous) dalam masa 6 jam.
      • Dalam kes angin pasang terbelit melebihi masa di atas, pembedahan dilakukan untuk melihat kerosakan tisu usus dan membaiki angin pasang .
      • Jika masa tidak surut adalah pendek dan diyakini tidak berlaku belitan dan tisu usus tidak rosak, pesakit boleh keluar wad selepas disurutkan.
    • Disebabkan angin pasang ini berisiko untuk berulang menjadi tidak surut, adalah lebih  baik pembedahan dilakukan lebih awal daripada biasa.

Kadangkala, angin pasang tidak surut ini telah berlangsung begitu lama dan menjadi kronik di mana pesakit tidak merasa sakit dan tiada tanda-tanda sumbatan usus, bagi kes seperti ini pembedahan boleh dilakukan secara elektif (mengikut jadual seperti biasa).