Tag Archives: kebaikan kh kopi

Urutan hilangkan tekanan bayi

Foto

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Urutan bukan hanya melegakan sendi otot dan menghilangkan tekanan bagi orang dewasa, tetapi bayi juga memerlukan urutan untuk menjadikan mereka lebih peka terhadap persekitaran, selesa, sihat dan cergas.

Namun di Malaysia, kepentingan urutan kepada bayi masih belum meluas serta tidak ramai ibu bapa tahu mengenai kebaikannya kepada bayi, terutama berusia 18 bulan ke bawah.

Meskipun kebaikan urutan bayi diketahui sejak dulu lagi oleh komuniti, tetapi dokumentasi berkaitan urutan bayi, terutama kesan psikologinya, cuma dikemukakan oleh pakar psikologi, Ruth Rice pada 1975.

Sebelum ini, beberapa jururawat Hospital Bellevue di Amerika Syarikat berjaya mengurangkan kadar kematian bayi daripada 30 hingga 10 peratus hanya dengan melakukan belaian dan sentuhan.

IBU bapa diberi tunjuk ajar teknik betul mengurut bayi.

SITI Musinie bersama Mohd Nasyrah melayan kerenah anak mereka Nafuritil Jannah, 5 bulan, sewaktu Program Urutan Bayi Merdeka 2013 di Tropicana Medical Centre.

Bagi menyebarkan kepentingan urutan kepada bayi, Pusat Perubatan Tropicana mengadakan bengkel Merdeka Baby Massage khusus bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat.

Perunding Urutan Bayi, Ooi Phak Hong berkata, sebahagian ibu bapa di negara ini masih kurang didedahkan dengan kepentingan urutan kepada bayi dan ramai ambil ringan mengenainya.

Ramai ibu bapa hari ini yang bekerja dan sibuk hinggakan tiada masa bersama anak. Namun sibuk bukan alasan dan batasan untuk mereka meluangkan masa bersama bayi, meskipun hanya seketika.

Urutan bayi sebenarnya sangat penting kerana ia boleh merapatkan hubungan di antara ibu dan anak. Sentuhan ibu sangat penting untuk memberikan ketenangan kepada bayi, katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu di Petaling Jaya, Selangor.

Menurutnya, bayi yang mendapat sentuhan dan urutan daripada ibu akan lebih peka dan fokus terhadap sekeliling mereka, sekali gus dapat menghidu bau ibu yang mampu memberi impak positif terhadap perkembangan mereka.

Sentuhan adalah satu daripada cara ibu berkomunikasi dengan bayi mereka. Urutan juga mampu merangsang pengeluaran hormon serotonin yang juga dikenali sebagai terapi gembira yang membantu melega dan memberi ketenangan kepada bayi.

Kajian menunjukkan, urutan bayi dengan cara betul memberi banyak kesan positif, termasuk menggalakkan interaksi antara ibu bapa dan bayi, katanya.

Tambahnya, urutan terbaik dimulakan selepas bayi berusia dua bulan. Ibu bapa yang terlalu sibuk juga boleh melakukannya kerana tidak mengambil masa lama dan dilakukan sekurang-kurangnya sekali sehari.

Urutan seluruh badan bayi boleh dilakukan hanya beberapa minit. Dengan sentuhan hanya beberapa minit itu, anda mampu merapatkan lagi hubungan antara ibu dan anak.

Jika ada ibu bapa yang masih ragu-ragu atau takut untuk mengurut bayi, pastikan anda mendapatkan khidmat nasihat daripada mereka yang terlatih dan mempelajari teknik betul, katanya.

Sementara itu, bagi pasangan Muhammad Nasyrah Ayub, 35, dan Siti Musinie Ulasim, 31, bengkel urutan bayi yang dianjurkan sangat baik dan memberi pendidikan kepada orang ramai.

Saya bersyukur kerana bengkel ini memberi pendedahan dan cara betul mengurut bayi, terutama kepada mereka yang baru bergelar ibu.

Seperti saya yang baru melahirkan anak kedua yang kini berusia lima bulan, saya memerlukan informasi dan pengetahuan mengenai teknik urutan yang betul.

Sebelum ini, saya langsung tidak mempunyai asas dan pengetahuan mengenainya. Sebab itu apabila pihak Tropicana menjemput, saya dengan berbesar hati setuju, katanya.

Jelasnya, apabila menghadiri bengkel urutan, banyak yang dipelajari. Antaranya, teknik dan cara urutan yang betul serta kebaikan yang diperoleh antara ibu dan anak.

Saya harap bengkel ini akan diadakan secara berterusan dan dijadikan acara tahunan kerana sambutan diterima sangat menggalakkan. Ramai ibu bapa yang hadir dan mahu tahu lebih lanjut mengenai bengkel urutan ini.

Di Malaysia, pendedahan mengenai urutan bayi masih kurang berbanding luar negara. Saya juga akan menyarankan pengasuh yang menjaga anak saya mempelajari teknik urutan bayi kerana ia sangat baik untuk kesihatan serta tumbesaran bayi, katanya.

INFO

Kelebihan mengurut bayi

  • Membantu merangsang pembesaran fizikal bayi
  • Menguatkan ketahanan tubuh badan
  • Membina keyakinan diri
  • Melancarkan perjalanan darah dan memperbaiki sistem penghadaman
  • Membantu memudahkan bayi tidur
  • Merangsang aliran oksigen dalam badan
  • Membantu perkembangan fungsi otot
  • Meredakan kesakitan apabila demam
  • Memudahkan penyingkiran bahan toksik
  • Merangsang perkembangan fizikal dan psikologi
  • Membuatkan bayi rasa tenang dan selesa
  • Mengeratkan ikatan kasih sayang antara ibu dan bayi

Kebaikan pil cegah kehamilan

Bercakap mengenai kaedah pencegah kehamilan, masyarakat di Malaysia, khususnya golongan wanita, masih tabu dan berasa takut untuk mengambilnya disebabkan pelbagai kesan sampingan.

Kenaikan berat badan, haid tidak teratur dan selera makan bertambah antara alasan yang sering diberi kaum Hawa apabila ditanya mengenai pencegah kehamilan.

Namun, ramai tidak tahu kebaikan di sebalik keburukan yang ada pada pil pencegah kehamilan.

Sempena Hari Kontraseptif Sedunia, Exeltis Pharma iaitu bahagian farmaseutikal berjenama syarikat multinasional penjagaan kesihatan sepadu yang beribu pejabat di Sepanyol, Chemo Group mengumumkan hasil kajian serantaunya yang pertama di Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand.

MASIH ramai wanita ragu-ragu mengamalkan kaedah pencegah kehamilan.

Ia membabitkan pengamal perubatan umum (GP), ahli farmasi, serta pakar perbidanan serta sakit puan (O&G) untuk mendapatkan gambaran mengenai lanskap rawatan dan keperluan yang tidak dipenuhi dalam kalangan wanita di Malaysia dan rantau ini.

Kajian menunjukkan peningkatan sebanyak 12 peratus jumlah wanita yang memerlukan rawatan hormon di negara ini berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan ini mungkin disebabkan kehidupan seks yang aktif dan kesedaran mengenai pencegahan kehamilan yang semakin meningkat serta kewujudan terapi hormon wanita yang semakin banyak di pasaran.

Berdasarkan peningkatan ini, satu daripada tiga wanita diberikan terapi hormon wanita untuk merawat pelbagai keadaan kesihatan yang merangkumi pencegahan kehamilan (76 peratus), masalah kesan sampingan haid (61 peratus), jerawat (43 peratus) dan endometriosis (74 peratus).

Kajian juga menunjukkan, pil perancang oral gabungan (combined oral contraceptive – COC) adalah pilihan terapi hormon yang diutamakan untuk merawat keadaan kesihatan berkenaan.

Pil COC yang ideal adalah pil paling menyerupai tubuh manusia secara semula jadi, mempunyai kesan sampingan yang minimum dan menawarkan faedah kesihatan tambahan.

Lebih penting, pil ini perlu murah dan mampu milik supaya lebih ramai orang dapat menggunakannya.

Perunding Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr KK Iswaran berkata, pil COC mengandungi dua hormon wanita yang sintetik iaitu hormon progesteron (dirujuk sebagai progestin) dan estrogen serta fungsi utamanya ialah mencegah kehamilan.

Pil ini mempunyai beberapa faedah kesihatan tambahan dan segera seperti meredakan senggugut, merawat jerawat, mengurangkan gangguan emosi, mengurangkan risiko barah ovari dan endometrium, selain memperbaiki keadaan kesihatan reproduktif lain.

Di negara maju, sesetengah pesakit menggunakan pil ini secara eksklusif untuk memperbaiki atau mencegah gangguan berkaitan haid serta keadaan kesihatan reproduktif tertentu seperti haid tidak teratur endometriosis serta sindrom pra haid (PMS), katanya ketika ditemui di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Kajian yang dijalankan dalam kalangan penjagaan kesihatan mendapati pil COC drospirenone mewakili standard tertinggi terapi hormon wanita kerana ia berkesan, selamat, mudah diterima badan, mempunyai kesan sampingan minimum serta memberikan faedah kesihatan tambahan.

Namun, kos semasa pil COC drospirenone masih lagi menjadi faktor utama yang mungkin mengehadkan pilihan pesakit untuk mendapatkannya.

Kemasukan serta kewujudan ubat generik susulan tamat tempoh paten untuk produk inovator dikaitkan dengan peningkatan akses ubatan dan penjimatan kos perubatan di beberapa negara, termasuk Malaysia.

Pada 2009, Polisi Penjagaan Kesihatan Kebangsaan Malaysia menggalakkan penggunaan ubatan generik untuk menjamin penjagaan kesihatan yang lebih mampu dan lestari.

Apabila ditanya mengenai tahap kepuasan wanita terhadap ubat hormon generik, secara purata responden memberi maklum balas positif dan menyatakan, ia pilihan lebih menjimatkan serta mempunyai keberkesanan setara dengan jenama popular.

Setiausaha Majlis Kontraseptif Asia Pasifik (APCOC), Prof Dr Jamiyah Hassan berkata, di Malaysia, kadar penggunaan pil perancang moden sangat rendah.

Hanya kurang daripada empat peratus wanita lingkungan usia 15 hingga 49 tahun yang menggunakannya. Kos dan kesan sampingan biasanya menjadi faktor pertimbangan utama untuk wanita apabila memilih kaedah pencegah kehamilan.

Dengan adanya pil perancang moden generik yang mempunyai kesan sampingan minimum seperti tidak menyebabkan penambahan berat badan, kini wanita ada lebih banyak pilihan serta menikmati faedah kesihatan tambahan yang ditawarkan oleh pil baru ini, katanya.

Exeltis Pharma turut memperkenalkan risalah pendidikan pesakit baru yang disokong Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM), Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) dan Persatuan Keibubapaan Terancang Antarabangsa, Wilayah Asia Timur dan Tenggara dan Ocenia (IPPF ESEAOR) yang bertujuan meningkatkan kesedaran umum mengenai faedah kesihatan tambahan pil COC serta menggalakkan wanita bertindak bagi meningkatkan kesejahteraan diri mereka.

Risalah ini akan diedarkan di klinik, farmasi, hospital dan institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia dan Singapura Exeltis Pharma, Andy Siow berkata, menerusi hasil kajian dan risalah pendidikan pesakit yang baru ini, pihaknya mahu memperkasakan golongan wanita dengan memberi peluang untuk mengawal dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Di Malaysia, Exeltis Pharma menawarkan tiga pil COC mengandungi drospirenone untuk memenuhi keperluan wanita yang berbeza dan pada masa sama turut menawarkan faedah drospirenone pada harga mampu milik.

Pil itu dihasilkan di Sepanyol dan dipasarkan di beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Sepanyol, Jerman, Sweden, Itali, Perancis, Thailand serta Filipina sejak 2009.

Di Exeltis, kami menyokong inovasi dan pembangunan lestari. Komitmen kami adalah meningkatkan kualiti kesihatan dan kehidupan manusia, menyediakan akses kepada ubatan berkualiti pada harga mampu milik, selain memperluas usaha dan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan terapi baru yang lebih baik, katanya.

Perbezaan suntikan hormon dan pil perancang

Suntikan Hormon

  • Diberi secara suntikan.
  • Suntikan diberi setiap 12 minggu (tiga bulan) mengikut jadual ditetapkan.
  • Berkesan untuk mencegah kehamilan selepas tujuh hari mendapat suntikan.
  • Kesuburan kembali tiga hingga enam bulan daripada suntikan terakhir

Pil Perancang

  • Makan secara berterusan selama 21 hari setiap satu pusingan. Jika terlupa mengambil pil, risiko untuk mengandung adalah tinggi.
  • Diambil secara oral (makan).
  • Kesuburan kembali dengan segera setelah berhenti makan pil.
  • Berkesan untuk mencegah kehamilan selepas tujuh hari mengambil pil jenis kombinasi. Bagaimanapun, penggunaan pil Noriday adalah lebih cepat iaitu dua hari.

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD.

Garam dan Khasiatnya

Garam asalnya dari laut, apabila disejatkan menghasilkan kristal garam. Unsur tanah terdapat di dalamnya kerana dasar laut juga adalah tanah. Sebab itu garam juga diperoleh dari bukit dan dikenal sebagai garam bukit. Dalam hadis nabi, ada disebutkan tentang garam. “Garam penghulu kepada lauk-pauk.”

Antara kegunaan dan khasiat garam yang dikenalpasti dalam kehidupan seharian ialah,

  1. Menyumbang tenaga semulajadi yang tersimpan dalam struktur hablur garam dan tubuh dapat menggunakannya selama 24 jam.
  2. Membantu memperseimbang kealkalian dan keasidan dalam tubuh dan meneutralkan tekanan darah.
  3. Garam membantu melarutkan dan menyah mendapan yang boleh mengakibatkan pembentukan “batu” dan pelbagai jenis rheumatisme seperti arthritis, batu hempedu dan batu karang.
  4. Membantu meredakan rasa ketagihan. Ketagihan gula dan alkohol hilang sebaik sahaja pengambilan awal larutan tepu garam bukit tulen.
  5. Membuang busuk ikan. Ikan apabila sudah lama terdedah di darat akan menjadi busuk. Untuk menghilangkan hanyir ini, ikan diredam dalam air garam.
  6. Merendam kerang supaya hilang tahinya. Dalam kaedah perubatan Islam, sesuatu perkara yang buruk diubat dengan asalnya. Kerang berasal dari laut, dan garam digunakan untuk meneutralkan keburukannya (tahi).
  7. Mengurang tahap kemasinan ikan masin. Ikan kering yang terlalu masin boleh dikurangkan kadar kemasinannya dengan merendam dalam air garam juga.
  8. Mengubat gout. Gout disebabkan pemakanan makanan laut yang berlebihan. Orang yang tinggal berhampiran pantai boleh menanam badan dalam pasir laut. Bagi mereka yang tinggal di bandar, garam kasar digoreng dan didemahkan di tempat sakit ketika garam masih panas.
  9. Merawat cirit-birit. Ia boleh diubati dengan meminum air yang dicampur sedikit garam.
  10. Merawat mabuk perjalanan. Sesetengah orang akan mengalami mabuk perjalanan setelah melepasi tempoh tertentu. Untuk merawat mabuk perjalanan, garam dicampur madu dan air dan diminum sebelum memulakan permusafiran.
  11. Garam diguna untuk merawat kegatalan. Air yang dicampur garam disapukan pada kulit yang gatal.
  12. Menambah imuniti badan akibat perubahan hawa/angin. Hal ini berlaku di sesetengah tempat di negeri Arab. Misalnya pelajar Malaysia yang berkunjung ke Arab akan mengalami alahan terhadap hawa/angin tempat baharu. Air garam diminum sebagai ubatnya.
  13. Menghilangkan penat kerana kerja berat. Amalan orang-orang Melayu tradisional yang bertani, bersawah atau bertukang ialah meminum air sejuk yang dicampur garam.
  14. Mengelak sihir/gangguan jin bagi mereka yang bermalam di hutan. Garam adalah sumpahan jin. Garam yang dijampi dengan Al-Fatihah (sekali) dan ayat al-Kursi (ayat 255 surah al-Baqarah – 7 kali) ditabur di sekeliling khemah.
  15. Mengelak gangguan syaitan/jin kepada bayi. Ada ketikanya bayi menangis waktu malam disebabkan dia nampak syaitan, bukan kerana lapar. Untuk mengatasi masalah ini, garam dicampur dengan bawang merah, bawang putih dan lada hitam. Campuran itu diletak dalam gelas/cawan/bekas yang terbuka. Bekas itu diletakkan di bahagian kepala bayi.
  16. Mengelak panahan iblis bagi lelaki yang beristeri kerana bekerja di kawasan hutan. Petua Melayu tradisional apabila ke hutan mereka akan terserempak dengan jin yang menjelma sebagai perempuan bogel di sungai. Akibatnya mereka teringat-ingat kepada jelmaan makhluk itu sehingga mengabaikan isterinya. Cara mengatasinya sama seperti yang dinyatakan dalam ( 10 ).
  17. Mengubat orang yang diganggu jin. Bagi orang dewasa yang dikhianati (disihir) cara mengubatnya ialah dengan meletakkan garam yang dijampi dengan al-Fatihah di perdu lidah. Perdu lidah ialah bahagian bawah lidah yang apabila diangkat akan nampak urat hijau lidah.

Garam adalah elemen yang penting dalam kehidupan. Dalam mengamalkan KH Kopi, pengguna boleh mencampurkan garam bersama minuman limau kasturi dalam KH Chocolate anda bagi mempelbagaikan rasa dan lebih mujarab.