Tag Archives: kh kopi sesak nafas

Maut menanti di puncak gunung

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Beberapa bulan lalu, negara digemparkan dengan berita kematian Mohammad Shahrulnizam Ahmad Nazari, 25, ketika pendakian Ekspedisi Kem Induk Everest (EBC) dan Kala Patthar di Banjaran Himalaya, Nepal bermula 27 Mei lalu.

Arwah dipercayai meninggal dunia akibat penyakit akut gunung (Acute Mountain Sickness – AMS), ditambah dengan cuaca buruk yang menyukarkan mangsa dibawa turun ke kawasan lebih rendah.

Ketua Jabatan, Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar, Hospital Columbia Asia Setapak, Dr Jegathes Rajah berkata, AMS adalah kesan patologi disebabkan oleh peningkatan ketinggian atau altitud kepada manusia. Ini disebabkan oleh pendedahan secara tiba-tiba kepada penurunan tekanan separa oksigen di kedudukan tinggi. Biasanya ia berlaku pada ketinggian melebihi 2,400 meter atau 8,000 kaki dari paras laut.

Ia sangat bahaya dan simptomnya tidak spesifik. Antara simptom yang biasa seperti demam, selesema dan keracunan karbon monoksida, katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, ketika ini sukar mengenal pasti siapa yang berisiko terkena AMS kerana tiada faktor tertentu untuk menentukannya. Yang pasti, tidak kira golongan, wanita mahupun kanak-kanak berisiko untuk mendapat AMS.

AMS boleh menyebabkan kematian jika ia membabitkan paru-paru iaitu seperti masalah paru-paru berair dipanggil high altitude pulmonary oedema. Selain itu, kematian juga boleh berlaku jika pengumpulan cecair di dalam otak manusia dipanggil high altitude cerebral oedema. Peratusan oksigen dalam udara biasanya ialah 21 peratus tetapi ia hanya hingga tahap ketinggian 21,000 meter atau 69,000 kaki. Selepas itu, oksigen dalam udara semakin berkurangan seiring dengan ketinggian semakin meningkat. Akhirnya, jumlah oksigen dalam udara sangat rendah, seterusnya mengakibatkan tahap kesedaran mental dan fizikal menurun disebabkan peningkatan ketinggian (altitude), katanya.

Dehidrasi berlaku disebabkan oleh kehilangan cecair badan melalui paru-paru melalui proses pengewapan. Ini akan mengakibatkan bermulanya gejala altitude sickness seperti loya, muntah, lemah anggota badan, lesu, pening, susah tidur, kebas jari, sesak nafas, hidung berdarah dan kaki bengkak serta hilang selera makan.

Ia boleh berterusan dan semakin teruk. Jika high altitude pulmonary oedema berlaku, pendaki akan mengalami batuk kering, demam dan sesak nafas semakin meningkat.

Jika high altitude cerebral oedema pula berlaku, pendaki akan mengalami sakit kepala, hilang keseimbangan badan, tidak sedarkan diri dan pendarahan pada retina mata.

Jelasnya, rawatan untuk AMS ialah turun ke paras lebih rendah secara perlahan-lahan. Selepas itu, bantuan oksigen perlu diberi.

Bagi kes lebih teruk, bantuan perubatan menggunakan hyperbaric chamber penting untuk menyelamatkan nyawa pendaki kerana alat itu tinggi dengan kepekatan oksigen.

Untuk tujuan keselamatan, pendaki juga boleh membawa bersama kebuk ini dalam bentuk pam, selain mengambil pil Acetazolomide untuk mencegah perkara ini berlaku, katanya.

Terlalu banyak hormon tiroid dirembes boleh sebabkan koma

Tiroid adalah kelenjar yang terletak di leher manusia. Ia antara kelenjar terbesar dalam badan manusia. Kebiasaannya, kelenjar ini tidak kelihatan dan seolah-olah permukaan kulit leher yang meliputi adalah rata. Perlu difahami bahawa, tidak semua bengkak pada leher ialah kelenjar tiroid dan tidak semua kelenjar yang bengkak mempunyai masalah.

Fungsi kelenjar ini ialah untuk merembeskan hormon yang dipanggil hormon tiroid. Iodin ialah komponen utama penghasilan hormon ini. Hormon ialah bahan merangsang tisu badan untuk bekerja.

Dalam kata lain ialah, ia menentukan kadar metabolisme dalam badan. Jika berlaku masalah pada kelenjar itu dan jumlah hormon tiroid ini meningkat, kadar metabolisme dalam badan juga meningkat. Ia dipanggil hyperthyroid, di mana hiper bermaksud lebih.

Di dalam keadaan rembesan hormon ini menjadi berlebihan, kadar metabolisme atau pekerjaan tisu badan menjadi meningkat dan laju.

Ini menyebabkan seseorang itu mempunyai simptom seperti jantung berdebar, sesak nafas, cemas, tangan menggeletar, berpeluh walaupun di dalam cuaca atau persekitaran dingin, gelisah, cepat marah, haid tidak teratur dan susut berat badan dengan mendadak walaupun selera makan bertambah. Ini antara simptom jika berlebihan hormon tiroid.

Masalah utama yang dirisaukan ialah jika hormon ini dirembeskan terlalu banyak secara tiba-tiba. Ini akan menyebabkan jantung menjadi laju, sesak nafas, loya, suhu badan meningkat, keliru dan akhirnya degupan jantung gagal berfungsi dan boleh mengakibatkan koma.

Rawatan kecemasan perlu diberi jika simptom ini berlaku. Keadaan ini dipanggil Thiroid Storm.

Justeru, penting untuk mereka yang disyaki atau mempunyai simptom hyperthyroid tadi untuk membuat pemeriksaan oleh pegawai perubatan atau pakar.

Ujian darah dapat mengesahkan sama ada anda menghidapi masalah berkenaan atau tidak seterusnya dapat mengenal pasti punca hyperthyroid.

Ujian ultrasound atau scan boleh dilakukan jika kelenjar pada leher membengkak atau ujian darah mengesahkan anda menghidapi masalah hyperthyroid.

Selain itu, ujian yang menggunakan cecair iodin juga boleh dijalankan, bergantung pada penilaian klinikal oleh pakar.

Rawatan untuk hyperthyroid berbeza bergantung kepada berapa banyak hormon tiroid yang dirembeskan dan bergantung pada jenis penyebab masalah itu.

Ubat untuk merendahkan paras hormon tiroid serta mengurangkan kadar denyutan jantung biasanya diberi jika perlu untuk mengelak berlakunya thiroid storm.

Pilihan lain ialah dengan membuat pembedahan untuk membuang kelenjar tiroid atau memulakan rawatan khas menggunakan cecair iodin. Selain itu, pesakit dinasihatkan tidak memakan rumpai laut yang kaya dengan kandungan iodin.

Plak Kolestrol Punca Penyakit Arteri Koronari

Pengenalan

Berlaku apabila saluran darah menjadi keras dan sempit disebabkan oleh plak kolesterol. Jika keadaan ini berlanjutan pengaliran darah ke otot jantung akan berkurangan. Ini akan mengakibatkan sakit dada. Jika bekalan darah berkurangan ke tahap yang kritikal, seseorang itu akan mendapat serangan jantung. Penyakit arteri koronari adalah antara penyebab kematian utama di hospital-hospital kerajaan di Malaysia. Faktor risiko utama termasuk:

  • Merokok
  • Paras kolesterol yang tinggi
  • Tekanan darah tinggi
  • Diabetes
  • Peningkatan umur

Faktor risiko yang lain termasuklah:

  • Kegemukan (Obesiti)
  • Kekurangan Aktiviti Fizikal
  • Sejarah keluarga di mana penyakit arteri koronari berlaku pada umur yang muda
  • Kaum etnik

Tanda & Simptom

Pesakit mungkin merasa sakit dada dan/atau sesak nafas semasa senaman atau melakukan aktiviti. Kadangkala kesakitan boleh dirasai pada bahagian bahu, lengan, leher, rahang atau belakang badan.

Semasa serangan jantung, pesakit akan mengalami sakit dada secara tiba-tiba dan diiringi dengan berpeluh, loya, berdebar dan pening. Dalam keadaan seperti diabetes dan usia tua, simptom mungkin ringan, luarbiasa (contohnya sakit pada bahagian ulu hati) atau tiada langsung.

Komplikasi

  1. Lemah jantung
  2. Denyutan jantung yang luarbiasa
  3. Kematian

Rawatan

Rawatan Bukan Ubat-ubatan

  • Cara hidup sihat
    • Berhenti merokok
    • Pemakanan seimbang
    • Mengekalkan berat badan yang unggul

Rawatan Ubat-ubatan

  • Ubat diberi untuk:
    1. Mengurangkan pembekuan darah / mencairkan darah
    2. Mengurangkan kadar denyutan dan tekanan darah supaya mengurangkan keperluan oksigen oleh jantung
    3. Mengembangkan saluran darah untuk meningkatkan bekalan oksigen
    4. Pengawalan secara optima:
      • tekanan darah tinggi
      • paras gula untuk pesakit diabetes
      • Paras kolesterol
    5. Semasa serangan jantung akut, pencairan darah beku adalah berkesan jika rawatan diberi dalam masa 6 jam

Prosedur pembedahan / intervensi untuk memperbaiki pengaliran darah ke jantung bagi sesetengah kes:

  • Angioplasty – prosedur untuk membuka saluran
  • Pembedahan pintas jantung

Pencegahan

Mengenalpasti dan menangani faktor risiko arteri koronari melalui:

  • Pengesanan awal faktor risiko melalui pemeriksaan perubatan secara berkala
  • Amalan cara hidup sihat:
    1. Berhenti merokok
    2. Pemakanan seimbang
    3. Pengekalan berat badan unggul
    4. Senaman berkala
  • Pengawalan secara optima:
    • tekanan darah tinggi
    • paras gula untuk pesakit diabetes
    • Paras kolesterol

Rehabilitasi

Rehabilitasi jantung adalah program latihan yang dipantau oleh anggota kesihatan yang berkelayakan/mahir. Ia boleh membantu pesakit pulih dengan cepat dan meningkatkan tahap fungsi fizikal, mental dan sosial. Ia merupakan program pelbagai bidang termasuk:

  • Kaunseling mengenai proses penyakit dan kepentingan pengambilan ubat
  • Program senaman
  • Nasihat pemakanan
  • Membantu pesakit mengurangkan faktor risiko
  • Memberi bimbingan kerjaya
  • Sokongan emosi