Tag Archives: khkopi prostat

Inkontinen Urin Hantui 30% Wanita Malaysia

Pengenalan

Kegagalan kawalan pundi kencing ialah satu keadaan di mana kehilangan kawalan membuang air kecil (inkontinen urin). Ia kerap berlaku di kalangan wanita. Sebanyak 30% wanita di Malaysia mengalami masalah ini.

Jenis-jenis dan sebab-sebab inkontinen urin :

  1. Inkontinen terdesak (Urge incontinence)
  2. Biasanya disebabkan oleh otot pundi kencing yang tidak stabil. Ini menyebabkan pundi kencing mengecut di luar kawalan dan mengakibatkan tekanan di dalam pundi kencing berlebihan dan kencing terkeluar.

  3. Inkontinen stres (semasa batuk dan meneran)
  4. Biasanya berlaku disebabkan oleh otot lantai pelvis (pinggul) yang lemah selepas kelahiran atau putus haid (pengurangan paras hormon). Ia juga boleh berlaku di kalangan lelaki selepas pembedahan kelenjar prostat.

  5. Retensi dan kencing melimpah (Retention and Overflow)
  6. Kesukaran untuk mengosongkan pundi kencing secukupnya. Ia mungkin disebabkan oleh halangan aliran keluar air kencing, diabetes atau kecederaan ke atas saraf pundi kencing.

  7. Halangan aliran keluar air kencing (Outflow obstruction)
  8. Selalunya berlaku disebabkan oleh pembesaran kelenjar prostat atau kesempitan saluran kencing (urethra).

  9. Inkontinen Fungsi (Functional Incontinens)
  10. Kesukaran untuk sampai dan menggunakan tandas akibat daripada masalah pergerakan fizikal, kekeliruan, masalah komunikasi dan kemurungan.

  11. Masalah saraf (kerosakan saraf atau otak) seperti:
    • Angin ahmar
    • Ketumbuhan
    • Iritasi pundi kencing seperti batu atau ketumbuhan
  12. Kombinasi inkontinen urge dan stres.

Tanda & Simptom

Inkontinen terdesak (Urge incontinence)

  • Pesakit terdesak untuk membuang air kecil sebaik sahaja sensasi untuk kencing timbul (urgency).
  • Kerap membuang air kencing (frekuensi).

Inkontinen stres

  • Boleh berlaku semasa aktiviti fizikal seperti batuk, ketawa, bersin dan mengangkat berat.

Retensi dan kencing melimpah

  • Pesakit mengalami kencing yang menitis berterusan.

Halangan aliran keluar air kencing

  • Kesukaran untuk mengeluarkan air kencing.

Masalah saraf (kerosakan saraf atau otak)

  • Boleh mengakibatkan kedesakan, kekerapan, retensi pundi kencing dan air kencing melimpah.

Komplikasi

Fizikal

  • Jangkitan pada kulit dan saluran kencing
  • Ruam

Psikologi

  • Kemurungan dan keresahan
  • Tekanan pada penjaga

Sosial

  • Pengasingan sosial
  • Masalah kewangan

Rawatan

Langkah-langkah am

  • Rawatan untuk jangkitan saluran kencing, sembelit, diabetes, pembesaran kelenjar prostat.
  • Elakkan pengambilan minuman kafein.
  • Pengambilan cecair yang berpatutan. Pengambilan cecair yang kurang akan mengakibatkan dehidrasi dan sembelit. Pengambilan cecair yang berlebihan pula menyebabkan inkontinen bertambah teruk.
  • Elakkan sembelit.
  • Menyediakan kemudahan tandas yang mesra warga emas dan alat bantuan kontinen seperti bekas kencing (bed pans), bekas buang air besar dan lampin pakai buang.
  • Memastikan kebersihan diri seperti mandi dan menjaga kebersihan pakaian.

Inkontinen terdesak (Urge incontinence)

Rawatan Bukan Ubat-ubatan

  • Modifikasi tingkah laku
    1. Latihan ke atas pundi kencing membantu menahan desakan membuang air kencing.
    2. Kaedah yang digunakan akan memanjangkan masa antara kencing.
    3. Ini akan menambahkan keupayaan takungan pundi kencing dan mengurangkan kejadian kencing terkeluar.

Rawatan Ubat-ubatan

  • Ubat-ubatan boleh diperolehi daripada doktor
  • Ubat-ubatan yang khusus digunakan untuk merawat inkontinen disebabkan oleh otot-otot pundi kencing yang tidak stabil.

Inkontinen Stres

Rawatan Bukan Ubat-ubatan

  • Senaman dan juga stimulasi elektrik untuk menegangkan dan menguatkan otot lantai pelvis (pinggul)

Rawatan Ubat-ubatan

  • Terapi gantian hormon mungkin berguna untuk wanita yang putus haid

Pembedahan

  • Boleh dilakukan untuk segelintir pesakit

Retensi dan kencing melimpah

  • Pesakit mungkin memerlukan pengeluaran air kencing melalui tiub.
  • Ia membantu mencegah retensi kencing yang berterusan dan/atau kudis tekanan yang sukar sembuh.
  • Tetapi ia meninggikan risiko jangkitan saluran kencing.

Pencegahan

  • Kekalkan berat badan yang unggul
  • Melakukan senaman untuk menegangkan dan menguatkan otot lantai pelvis (pinggul) semasa mengandung dan selepas bersalin
  • Elakkan pengambilan minuman kafein dan alkohol
  • Lebihkan pengambilan serat dalam makanan untuk mencegah sembelit

Hernia (Angin Pasang) Boleh Dibendung

Pengenalan

Hernia berlaku apabila kandungan dalam satu-satu ruang badan (biasanya abdomen) membonjol keluar daripada kawasan yang biasa mereka berada. Kandungan ini biasanya adalah sebahagian usus atau tisu lemak abdomen yang dilapisi oleh lapisan nipis (membran) yang juga akan membentuk kantung hernia/hernia sac. Ia dikenali dengan angin pasang surut kerana sifat bonjolan itu dapat dilihat dan ada masa tidak. Sifat ini dalam bahasa perubatan dikenali sebagai ‘reducible‘.

Jenis-jenis Hernia (Angin Pasang)

  1. Inguinal hernia: Berlaku di bahagian kelangkang. Tujuh puluh lima peratus hernia adalah dari jenis ini. Ia 25 kali lebih kerap berlaku kepada lelaki berbanding wanita. Hernia jenis ini boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu langsung dan tidak langsung. Keduanya dibezakan melalui sedikit perbezaan berdasarkan kepada punca kejadian mereka. Kedua-duanya boleh kelihatan serupa semasa membonjol di kawasan kelangkang. Membezakan antara keduanya adalah amat penting semasa membuat diagnosa klinikal.
    • Angin Pasang tidak langsung: Hernia akibat bonjolan bila mana kandungan bonjolan terkeluar melalui jalan yang pernah dilalui oleh testes (buah pelir) semasa perkembangan di peringkat janin dahulu. (Ketika peringkat awal janin, buah pelir berada di dalam abdomen dan semasa perkembangan, ia turun ke bawah sehingga masuk ke dalam buah zakar). Jalan ini biasanya tertutup sebelum bayi lahir tetapi boleh menjadi tempat berlakunya hernia kemudian hari. Hernia ini boleh berlaku di semua peringkat umur. Kadangkala kantung hernia boleh membonjol sehingga ke dalam buah zakar.
    • Angin Pasang langsung: Hernia ini berlaku pada kawasan di mana dinding abdomen agak kurang tebal. Ia biasanya tidak menonjol ke dalam skrotum. Tidak seperti hernia tidak langsung yang boleh berlaku di semua peringkat umur, Hernia langsung ini cenderung berlaku  kepada mereka yang berada di peringkat pertengahan umur dan orang tua disebabkan dinding abdomen menjadi semakin lemah bila umur meningkat.
  2. Hernia femoral: Saluran femoral adalah jalan di mana salur darah arteri, vena dan saraf femoral keluar daripada abdomen untuk memasuki kawasan peha. Biasanya saluran ini ketat dan padat, tetapi kadangkala ia menjadi besar untuk membolehkan kandungan abdomen menonjol ke dalam saluran tersebut. Hernia femoral menyebabkan bonjolan di bahagian bawah lipatan kelangkang, di kawasan tengah peha. Biasanya berlaku kepada wanita dan lebih berisiko untuk tidak bersifat pasang surut/irreducible dimana ia tidak boleh ditolak masuk.
  3. Hernia hirisan: Pembedahan abdomen boleh mengakibatkan dinding abdomen berubah dari segi struktur terutama di bahagian yang dihiris. Ia  menyebabkan kawasan bekas hirisan ini menjadi lemah. Hernia boleh terjadi pada bahagian yang lemah ini. Ia berlaku dalam 2%-10% pembedahan abdomen.

Penyebab Hernia (Angin Pasang)

Hernia yang berlaku di kalangan warga tua samada disebabkan oleh adanya jalan yang terbentuk semasa perkembangan fetus, bukaan sedia ada di dalam ruang abdomen atau kawasan dinding abdomen lemah oleh sebab sesuatu keadaan.

Apa jua keadaan yang menyebabkan peningkatan tekanan dalam ruang abdomen boleh menyumbang kepada pembentukan hernia atau menerukkan lagi hernia. Contoh termasuk:

  • Obesiti,
  • Mengangkat objek berat,
  • Batuk,
  • Meneran semasa buang air besar atau kecil
  • Penyakit paru-paru kronik dan,
  • Ada cecair di dalam ruang abdomen.

Gejala, tanda-tanda dan komplikasi hernia (angin pasang)

Gejala dan tanda-tanda hernia adalah berbagai-bagai. Ia boleh jadi ringan iaitu seseorang mengadu menghidapi bonjolan yang tidak sakit yang timbul apabila berdiri atau batuk atau meneran dan masuk balik bila berbaring atau ditolak masuk dengan tangan.

Ada yang datang dengan gejala dan tanda-tanda yang teruk seperti bonjolan yang sakit, tidak boleh disentuh apa lagi ditekan masuk balik ke dalam ruang abdomen, kulit luar mungkin kelihatan merah kehitaman dan pesakit mungkin demam. Ini adalah akibat kandungan bonjolan seperti usus telah mengalami kekurangan bekalan darah akibat himpitan (jerutan) salur darah biasanya di lubang bukaan hernia. Ia dikenali sebagai angin pasang terbelit (strangulated hernia).

  • Angin pasang surut
    • Ia boleh muncul sebagai bonjolan baru di bahagian kelangkang atau kawasan abdomen lain.
    • Seorang boleh rasa sakit/senak sedikit tetapi biasanya sentuhan pada bonjolan tidak menyebabkan rasa sakit.
    • Bonjolan akan timbul atau bertambah saiz bila berdiri atau bila tekanan dalam abdomen bertambah (seperti batuk).
    • Ia boleh ditolak masuk semula ke dalam abdomen (reducible).
  • Angin pasang tidak surut
    • Ia boleh merupakan bonjolan besar yang mungkin sakit yang sebelum ini ada pasang surut, kemudiannya menjadi tidak boleh masuk semula ke dalam abdomen dengan sendiri atau bila ditolak masuk dengan tangan.
    • Sebahagiannya mungkin kronik iaitu telah berlaku untuk satu jangkamasa yang lama tetapi oleh kerana tidak sakit pesakit tidak mendapatkan rawatan.
    • Ia boleh menjadi strangulated hernia.
  • Angin pasang terbelit
    • Hernia ini biasanya bermula sebagai hernia tidak surut yang kemudiannya mengalami belitan pada bukaan hernia menyebabkan himpitan pada salur darah seterusnya mengakibatkan usus yang terperangkap dalam bonjolan tidak mendapat bekalan darah.
    • Biasanya pesakit mengadu sakit terutama apabila bonjolan ditekan. Boleh ada tanda-tanda usus tersumbat seperti loya, muntah dan perut menjadi kembung.
    • Pesakit boleh ada demam dan biasanya kelihatan tenat.
    • Rawatan kecemasan dan pembedahan segera perlu dilakukan.

Rawatan

Penjagaan di Rumah
Secara umum semua jenis angina pasang perlu dibedah kecuali seseorang pesakit tidak boleh menjalani pembedahan atas sebab-sebab kesihatan yang lain.

Elakkan aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan tekanan dalam abdomen seperti batuk, angkat objek berat atau meneran yang boleh menyebabkan angina pasang menjadi lebih besar. Seseorang yang batuk perlu mendapatkan rawatan.

Seseorang yang meneran semasa buang air besar atau kecil perlu menjalani pemeriksaan doktor untuk mengetahui puncanya. Ia mungkin disebabkan masalah sembelit atau masalah kelenjar prostat besar (benign prostatic hyperplasia) yang perlu dirawat.

Rawatan Perubatan
Bergantung kepada samada ia boleh surut atau tidak boleh surut dan kemungkinan terbelit.

  • Angin pasang boleh surut
    • Secara umum, semua angin pasang perlu dibedah untuk mengelakkan kemungkinan komplikasi terbelit.
    • Jika pembedahan tidak boleh dilakukan atas sebab kesihatan yang lain, doktor akan selalu membuat pemeriksaan secara berkala.
    • Keadaan di mana doktor tidak melakukan pembedahan
      • Ada hernia yang mempunyai bukaan hernia yang besar di mana risiko untuk terjerut adalah sangat rendah dan pembedahan untuk menutup bukaan besar ini adalah rumit.
    • Rawatan setiap hernia adalah berbeza dan doktor akan berbincang dengan pesakit kaedah rawatan termasuk risiko dan faedah jika dibedah atau tidak.
  • Angin pasang tidak surut
    • Semua angin pasang tidak surut memerlukan rawatan kecemasan kerana risiko komplikasi terbelit.
    • Cubaan untuk surutkan atau masukkan semula angin pasang boleh dilakukan biasanya dengan bantuan ubat tahan sakit dan ubat peregang otot (muscle relaxant).
    • Jika cubaan gagal, pembedahan kecemasan perlu dilakukan.
    • Jika cubaan berjaya, rawatan seterusnya bergantung kepada jangkamasa angin pasang ini berada dalam keadaan tidak surut (irreducible).
      • Jika kandungan angin pasang adalah usus dan kemungkinan berlaku belitan dan bekalan darah ke usus yang terperangkap itu terhenti, tisu usus tersebut akan mati atau rosak ( gangrenous) dalam masa 6 jam.
      • Dalam kes angin pasang terbelit melebihi masa di atas, pembedahan dilakukan untuk melihat kerosakan tisu usus dan membaiki angin pasang .
      • Jika masa tidak surut adalah pendek dan diyakini tidak berlaku belitan dan tisu usus tidak rosak, pesakit boleh keluar wad selepas disurutkan.
    • Disebabkan angin pasang ini berisiko untuk berulang menjadi tidak surut, adalah lebih  baik pembedahan dilakukan lebih awal daripada biasa.

Kadangkala, angin pasang tidak surut ini telah berlangsung begitu lama dan menjadi kronik di mana pesakit tidak merasa sakit dan tiada tanda-tanda sumbatan usus, bagi kes seperti ini pembedahan boleh dilakukan secara elektif (mengikut jadual seperti biasa).