Tag Archives: paras hormon tiroid

Terlalu banyak hormon tiroid dirembes boleh sebabkan koma

Tiroid adalah kelenjar yang terletak di leher manusia. Ia antara kelenjar terbesar dalam badan manusia. Kebiasaannya, kelenjar ini tidak kelihatan dan seolah-olah permukaan kulit leher yang meliputi adalah rata. Perlu difahami bahawa, tidak semua bengkak pada leher ialah kelenjar tiroid dan tidak semua kelenjar yang bengkak mempunyai masalah.

Fungsi kelenjar ini ialah untuk merembeskan hormon yang dipanggil hormon tiroid. Iodin ialah komponen utama penghasilan hormon ini. Hormon ialah bahan merangsang tisu badan untuk bekerja.

Dalam kata lain ialah, ia menentukan kadar metabolisme dalam badan. Jika berlaku masalah pada kelenjar itu dan jumlah hormon tiroid ini meningkat, kadar metabolisme dalam badan juga meningkat. Ia dipanggil hyperthyroid, di mana hiper bermaksud lebih.

Di dalam keadaan rembesan hormon ini menjadi berlebihan, kadar metabolisme atau pekerjaan tisu badan menjadi meningkat dan laju.

Ini menyebabkan seseorang itu mempunyai simptom seperti jantung berdebar, sesak nafas, cemas, tangan menggeletar, berpeluh walaupun di dalam cuaca atau persekitaran dingin, gelisah, cepat marah, haid tidak teratur dan susut berat badan dengan mendadak walaupun selera makan bertambah. Ini antara simptom jika berlebihan hormon tiroid.

Masalah utama yang dirisaukan ialah jika hormon ini dirembeskan terlalu banyak secara tiba-tiba. Ini akan menyebabkan jantung menjadi laju, sesak nafas, loya, suhu badan meningkat, keliru dan akhirnya degupan jantung gagal berfungsi dan boleh mengakibatkan koma.

Rawatan kecemasan perlu diberi jika simptom ini berlaku. Keadaan ini dipanggil Thiroid Storm.

Justeru, penting untuk mereka yang disyaki atau mempunyai simptom hyperthyroid tadi untuk membuat pemeriksaan oleh pegawai perubatan atau pakar.

Ujian darah dapat mengesahkan sama ada anda menghidapi masalah berkenaan atau tidak seterusnya dapat mengenal pasti punca hyperthyroid.

Ujian ultrasound atau scan boleh dilakukan jika kelenjar pada leher membengkak atau ujian darah mengesahkan anda menghidapi masalah hyperthyroid.

Selain itu, ujian yang menggunakan cecair iodin juga boleh dijalankan, bergantung pada penilaian klinikal oleh pakar.

Rawatan untuk hyperthyroid berbeza bergantung kepada berapa banyak hormon tiroid yang dirembeskan dan bergantung pada jenis penyebab masalah itu.

Ubat untuk merendahkan paras hormon tiroid serta mengurangkan kadar denyutan jantung biasanya diberi jika perlu untuk mengelak berlakunya thiroid storm.

Pilihan lain ialah dengan membuat pembedahan untuk membuang kelenjar tiroid atau memulakan rawatan khas menggunakan cecair iodin. Selain itu, pesakit dinasihatkan tidak memakan rumpai laut yang kaya dengan kandungan iodin.

Hipotiroidisme Akibat Pengurangan Hormon Tiroid

Pengenalan

  • Hipotiroidisme adalah keadaan di mana kelenjar tiroid menjadi kurang aktif. Pengeluaran hormon tiroid akan berkurangan mengakibatkan fungsi badan menjadi perlahan.
  • 15% atau lebih daripada warga emas mempunyai penyakit hipotiroidisme. Penyakit ini adalah 2 kali ganda lebih kerap di kalangan kaum wanita berbanding dengan kaum lelaki.

Penyebab-penyebab

  • Untuk kebanyakan pesakit, tiada sebab-sebab spesifik yang dapat dikesan.
  • Hashimoto’s thyroiditis’ adalah penyebab spesifik hipotiroidisme yang paling kerap di mana kelenjar tiroid mungkin membengkak pada permulaannya tetapi apabila penyakit ini berlanjutan, ia akan memusnahkan kelenjar tiroid dan mengakibatkan hipotiroidisme.
  • Ubat-ubatan seperti ubat yang digunakan untuk merawat kelenjar tiroid yang terlampau aktif, ubat ‘lithium’ yang digunakan untuk merawat penyakit sakit jiwa, dan ubat ‘amiodarone’ yang digunakan untuk merawat penyakit jantung.
  • Pembedahan dan pembuangan kelenjar tiroid.
  • Radiasi ke atas kelenjar tiroid yang lampau.
  • Penyakit ke atas kelenjar hipothalamus atau kelenjar pituitari (jarang-jarang berlaku).

Gejala / Tanda

Pesakit warga emas biasanya kurang menunjukkan gejala hipotiroidisme berbanding dengan orang dewasa dan gejala mereka juga kurang ketara dan jelas.

Tanda-tanda hipotiroidisme

  • Tidak tahan kesejukan
  • Sembelit
  • Berat badan meningkat
  • Berasa letih
  • Kulit menjadi kering dan kasar, muka membengkak terutamanya di sekeliling mata.
  • Kemurungan
  • Otot dan sendi mungkin sakit atau lemah dan boleh menjejaskan keupayaan bergerak.
  • Tanda-tanda yang tidak spesifik seperti kekeliruan, kehilangan selera makan, kehilangan berat badan, jatuh, tidak dapat mengawal pundi kencing dan kurang pergerakan.
  • Pengsan (atau menjadi tidak sedar) jika teruk dan boleh mengakibatkan kematian.

Istilah ‘subclinical hypothyroidism’ bermaksud seseorang pesakit itu tidak mempunyai gejala hipotiroidisme dan ia hanya boleh dikesan melalui ujian darah.

Diagnosa

  • Kelenjar tiroid mungkin membengkak.
  • Suhu badan mungkin lebih rendah.
  • Tanda-tanda hipotiroidisme seperti mata bengkak, kulit kering dan lain-lain.
  • Dengan mengetuk sendi lutut, buku lali dan siku dengan alat, tindakbalas pergerakan sendi mungkin lebih perlahan.
  • Walau bagaimanapun, pemeriksaan mungkin juga normal untuk sesetengah kes.

Ujian Darah

  • Paras ‘thyroid-stimulating hormone’ (TSH) melebihi paras normal (biasanya > 4.5 mU/L) mencadangkan kemungkinan diagnosa hipotiroidisme.
  • Paras hormon ‘free T4’ perlu diukur untuk membezakan hipotiroidisme yang ketara (paras ‘free T4’ rendah) berbanding dengan ‘subclinical hypothyroidism’ (paras ‘free T4’ normal).
  • Ujian lain mungkin perlu untuk menentukan penyebab-penyebab yang lain.

Saringan

  • Untuk golongan yang mempunyai faktor risiko untuk penyakit tiroid, pesakit dengan paras kolesterol yang tinggi atau mereka yang mempunyai tanda-tanda seperti di atas, paras TSH perlu diukur.

Komplikasi

  • Tekanan darah tinggi.
  • Paras kolesterol yang tinggi dan merupakan faktor risiko untuk penyakit jantung.
  • Serangan sakit jantung dan lemah jantung adalah akibat yang serius tetapi jarang terjadi.
  • Pengsan (‘myxedema coma’) adalah kecemasan yang boleh mengancam nyawa di mana seseorang boleh mengalami kekeliruan dan seterusnya menjadi tidak sedar diri.

Rawatan

  • Warga emas dengan masalah hipotiroidisme perlu mengambil hormon tiroid untuk mengganti hormon yang tidak lagi dihasilkan oleh kelenjar tiroid.
  • Rawatan biasanya dimulakan dengan dos yang rendah dan ditambah secara perlahan-lahan setiap 4 minggu.
  • Pesakit dengan masalah jantung atau penyakit lain yang serius sepatutnya dimulakan dengan dos yang lebih rendah, di mana ia perlu ditambah dengan lebih perlahan untuk mengurangkan kesan sampingan rawatan.
  • Selepas 3 – 4 bulan, dos ubat kadang-kala perlu ditukar, bergantung kepada pengurangan atau penambahan berat badan dan penggunaan ubat-ubatan tertentu.
  • Untuk mengenalpasti jika seseorang warga emas itu diberi rawatan yang mencukupi, paras TSH perlu diukur secara berkala.
  • Rawatan adalah sangat berkesan untuk menghilangkan atau mengurangkan gejala hipotiroidisme tetapi ia perlu diteruskan untuk sepanjang hayat.