Tag Archives: web

Gaya hidup punca tidak subur

Foto

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Memiliki anak adalah pelengkap dalam sesebuah perkahwinan. Namun tidak semua pasangan yang berkahwin bernasib baik berpeluang memilikinya disebabkan pelbagai faktor.

Antaranya masalah ketidaksuburan yang semakin menjadi isu hangat ketika ini. Perubahan gaya hidup dan tekanan antara faktor menyebabkan masalah ini semakin berleluasa.

Bagi meningkatkan kesedaran orang awam terhadap masalah ini, Persatuan Teknologi Reproduktif Malaysia (MSART) dengan sokongan Merck Serono, melancarkan kempen Hope For A Child iaitu inisiatif kesedaran penyakit untuk memberi kesedaran mengenai ketidaksuburan dan panduan serta maklumat pilihan rawatan bagi mereka yang inginkan sebuah keluarga.

Ketidaksuburan menghalang seseorang merealisasikan matlamat hidup yang penting iaitu menjadi ibu atau bapa kepada anak, hasil daripada sesuatu hubungan. Dianggarkan 9.6 peratus pasangan menghadapi masalah ini.

DAPATKAN berat badan ideal dengan diet seimbang bagi memperkukuhkan keksihatan reproduktif.

Di rantau Asia Pasifik, jumlah kadar kesuburan menurun kepada kadar penggantian populasi sebanyak 2.1 peratus. Di Asia, angka ini lebih rendah disebabkan batasan sosial dan peribadi yang berterusan serta pengetahuan terhad mengenai kesuburan dan akses kepada rawatan.

Presiden MSART, Dr Su- rinder Singh berkata, kempen Hope For A Child diadakan bagi meningkatkan kesedaran terhadap subjek yang jarang dibincangkan.

Kami berharap kempen ini memberi pendedahan mengenai ketidaksuburan serta mendidik pasangan yang tidak subur berkenaan perkara berkaitan kesihatan mereka.

Dengan meningkatkan pendidikan orang ramai terhadap ketidaksuburan, kami berharap pasangan yang mengalami situasi seumpama ini akan mendapatkan nasihat doktor dan menjalani rawatan perubatan yang sesuai, katanya ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.

Terapi reproduktif bantuan seperti persenyawaan In Vitro Fertilisation (IVF) membantu wanita untuk hamil dengan mengatasi masalah ketidaksuburan.

IVF memerlukan pesakit disuntik dengan hormon perangsang folikel (FSH) bagi mengawal evolusi sebagai rawatan peringkat pertama.

Dalam pada itu, Pengurus Unit Perniagaan (Onkologi dan Biotech) Merck Serono, Lem Kong Soon berkata, wujud banyak tanggapan salah mengenai ketidaksuburan.

Lazimnya, tanggapan itu kekal kerana kesedaran mengenai pilihan rawatan adalah rendah.

Meskipun ada rawatan berkesan, hanya 56 peratus pasangan yang tidak subur mendapatkan rawatan, manakala 22 peratus menerima penjagaan kesihatan bagi mengatasi masalah ketidaksuburan.

Kempen Hope For A Child menggalakkan pasangan yang masih mempertimbangkan rawatan IVF untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan nasihat perubatan sesuai serta panduan menjalani rawatan dengan harapan mendapatkan cahaya mata, katanya.

Lem berkata, MSART dan Merck Serono optimis perihal usaha meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai ketidaksuburan melalui kempen ini, malah menawarkan cara untuk pesakit mendapatkan maklumat mengenai keadaan mereka.

Kami ingin mengoptimumkan sumber yang ada untuk melakukan sebanyak mungkin supaya pesakit menikmati hasil. Harapan kami juga supaya pesakit mendapat pengetahuan melalui kempen ini.

Fokus kami ialah mengubah kehidupan seseorang menjadi lebih baik dan yakin bahawa kempen ini memberi harapan kepada pasangan tidak subur untuk memulakan keluarga impian mereka, katanya.

Kempen ini mengambil pendekatan holistik demi manfaat pesakit tidak subur.

Laman web Hope For A Child (www.fertilityasia. com.my) yang diperkenalkan ketika pelancaran ini, berfungsi sebagai sumber maklumat sehenti untuk pesakit yang ingin mempelajari lebih lanjut mengenai ketidaksuburan, pilihan rawatan, sokongan ketika proses rawatan dan mengandungi pengesan lokasi pusat kesuburan.

Ia juga menyaksikan penulisan dan penyebaran bahan pendidikan seperti risalah maklumat pesakit berkenaan ketidaksuburan yang akan diberi kepada sesiapa yang mahu mendapatkan rawatan terbabit.

Pesakit turut digalakkan mencari pusat kesuburan terdekat dan mendapatkan nasihat ahli profesional jagaan kesihatan untuk mengetahui pilihan rawatan mereka dan cara mendapatkan akses kepada rawatan.

Bahaya clostridium botulinum

Foto

Clostridium botulinum adalah sejenis bakteria dalam kumpulan gram-positif. Ia bakteria yang biasanya terdapat pada tanah yang tercemar dan gemar kepada persekitaran yang tidak mempunyai oksigen atau kadar oksigen yang rendah.

Bakteria ini sangat berbahaya kerana ia menghasilkan toksin boleh menyerang terutama saraf manusia. Satu kilogram toksin ini boleh memusnahkan seluruh populasi manusia. Akan tetapi, toksin ini juga digunakan dalam industri penghasilan botoks.

Bakteria ini boleh hidup lama dan bertahan dalam persekitaran yang berbeza. Ia boleh hidup dalam suhu terlalu panas melepasi suhu mendidih dan juga boleh kekal hidup dalam persekitaran yang sejuk.

Oleh itu, kuman ini amat sukar untuk dimatikan. Clostridium botulinum boleh menjangkiti manusia dengan pelbagai cara sama ada melalui makanan yang tercemar atau luka pada kaki terkena tanah yang mempunyai kuman itu.

AWASI susu yang anak anda minum dan pastikan ia tidak dicemari bakteria berbahaya.

Baru-baru ini, sebuah syarikat penghasilan susu tepung di New Zealand telah menarik balik produk yang dihasilkannya kerana dipercayai telah tercemar dengan clostridium botulinum.

Kuman ini dipercayai telah mencemari protein susu tepung berkenaan melalui paip yang terbabit dalam salah satu proses penyediaan susu tepung iaitu penghasilan dadih atau whey protein concentrate (WPC80). Kandungan WPC80 ini turut digunakan oleh syarikat pengedaran susu tepung di Malaysia.

Clostridium botulinum ini boleh kekal dan hidup dalam susu tepung berkenaan bagi tempoh yang lama disebabkan sifat bakteria ini yang mempunyai daya tahan yang tinggi.

Bagaimanapun ia tidak menghasilkan toksin sehinggalah mula membiak menjadi spora. Proses pembiakan ini adalah bentuk aktif bakteria yang menghasilkan toksin berbahaya.

Ia terjadi apabila bakteria itu berada dalam persekitaran kurang oksigen dan kurang berasid seperti ketika ia dibancuh dengan air dan ketika berada dalam perut bayi.

Apabila kuman ini membiak menghasilkan spora dan merembeskan toksin yang boleh menjejaskan fungsi saraf, ini dipanggil botulisme. Gangguan saraf biasanya bermula dari otak dan seterusnya membabitkan saraf pada tangan dan akhirnya saraf pada anggota bawah badan.

Simptom pada peringkat awal ialah tidak hadam seperti loya, muntah, cirit birit dan sakit perut. Seterusnya membabitkan mulut kering, penglihatan menjadi kabur, diikuti mata menjadi kuyu, percakapan menjadi tidak terkawal, susah menelan, lemah anggota tangan, kesukaran bernafas, lemah anggota kaki dan akhirnya kematian disebabkan oleh otot pernafasan yang lumpuh.

Buat masa ini, tiada lagi kes bayi yang dijangkiti kuman clostridium botulinum dilaporkan. Akan tetapi, beberapa langkah perlu diambil untuk mengelakkan daripada jangkitan ini berlaku.

Senarai susu tepung yang menggunakan WPC80 dari New Zealand telah diuar- uarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan menerusi laman web rasminya.

Oleh itu, bagi ibu bapa yang menggunakan susu tepung berkenaan, hendaklah berhenti menggunakannya dan menukar dengan susu tepung lain yang banyak terdapat di pasaran. Jika terdapat tanda awal jangkitan, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

ED bukan sebab usia meningkat

Foto

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Disfungsi erektil (ED) atau mati pucuk kini antara masalah berkaitan seks paling umum di Malaysia dan dialami kira-kira 16 hingga 47 peratus lelaki di Malaysia.

Keadaan ini semakin ditakrifkan sebagai masalah perubatan serius yang memerlukan perhatian dan rawatan segera. Walaupun punca asas ED mula muncul seiring peningkatan usia, ED sebenarnya bukan disebabkan masalah penuaan semata-mata.

Baru-baru ini, satu tinjauan kaji selidik dinamakan The H4rd Poll membabitkan lelaki dan wanita Malaysia berusia 25 hingga 44 tahun mendapati, ED dan ereksi suboptimum atau kurang tegar menjadi kelaziman dalam kalangan lelaki muda berusia 20 tahun, dengan punca utama masalah itu dikaitkan dengan gaya hidup tekanan tinggi, keadaan fizikal kurang baik dan aktiviti lewat malam.

Ini bermakna ada keperluan segera untuk melaksanakan inisiatif menangani kejadian ED yang semakin meningkat dalam kalangan lelaki muda.

Kempen Get H4rd adalah sebahagian daripada usaha pendidikan terbaru Pfizer Malaysia mengenai kesihatan lelaki demi mewujudkan kesedaran bahawa ED dan ereksi suboptimum adalah masalah kesihatan yang semakin dialami lelaki berusia 30-an disebabkan amalan gaya hidup moden.

Kempen ini menyeru golongan lelaki supaya prihatin mengenai kesihatan seks mereka dan mendapatkan rawatan sewajarnya bukan semata-mata untuk kepuasan seks tetapi sebagai pendekatan menyeluruh bagi meningkatkan kesihatan jasmani.

Ini kerana ED lazimnya adalah petanda bagi penyakit gaya hidup lain, termasuk kencing manis, sakit jantung dan hipertensi.

Pakar Perunding Urologi Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Prof Dr George Lee berkata, The H4rd Poll ialah tinjauan kaji selidik bagi menilai persepsi generasi muda, lelaki dan juga wanita mengenai isu berkaitan kehidupan seks masing-masing, termasuk meninjau kesedaran mengenai ED dan ereksi kurang suboptimum dan sikap mereka terhadap rawatan.

Hasil tinjauan kaji selidik itu mengejutkan dan membolehkan bantuan lebih khusus diberi kepada orang ramai bagi menangani masalah kebimbangan mereka mengenai isu ini, katanya ketika ditemui di Restoran Busaba, Bangsar, baru-baru ini.

ED ditakrifkan sebagai kegagalan mencapai atau mengekalkan ereksi yang cukup tegang untuk hubungan seks. Ia juga bermaksud ketidakupayaan penuh untuk mencapai ereksi, keupayaan tidak konsisten untuk berbuat demikian, zakar kurang tegang atau kecenderungan mencapai ereksi buat seketika saja.

Meskipun masalah ini lebih lazim dalam kalangan generasi muda, 47 peratus daripada responden tinjau selidik mendapati, mereka kurang mengetahui masalah ini dan kesannya terhadap kesihatan dan hubungan intim mereka.

Kempen Get H4rd menggalakkan mereka mula berbincang demi mewujudkan kesedaran mengenai penyakit dan menekankan betapa pentingnya mendapatkan rawatan.

Pun begitu, mendapatkan rawatan bukan bermakna merujuk kepada sumber sampingan seperti Internet atau penjual ubat di tepi jalan bagi mengelak rundingan perubatan disebabkan rasa malu.

Golongan lelaki perlu berbincang dengan penyedia khidmat penjagaan kesihatan mereka untuk mendapatkan ubat sewajarnya.

Tunggak rawatan ED ialah perencat PDE-5 dan walaupun banyak laman web menawarkan rawatan ED, kebanyakannya dikendalikan pihak tidak bertanggungjawab.

Ada berita melaporkan penipuan oleh farmasi maya yang menawarkan ubat tiruan atau ubat tidak berkesan yang boleh memudaratkan.

Kebimbangan mengenai keselamatan dan kekurangan maklumat berkaitan risiko, penggunaan dan keberkesanan rawatan ED antara sebab utama diberi oleh 60 peratus responden lelaki tinjau selidik, seterusnya menyebabkan mereka enggan mendapatkan rawatan.

Turut hadir, Pakar Perunding Urologi Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, Dr Peter Ng Eng Pin yang turut menyentuh mengenai langkah diambil lelaki untuk merawat masalah mereka.

Lelaki yang mengesyaki mereka mengalami ED dan ereksi suboptimum perlu mendapatkan nasihat doktor. Langkah pertama ialah menilai tahap masalah mereka dan selepas menentukan pelan rawatan terbaik, menjalani rawatan dengan perencat PDE-5 serta aktiviti menyihatkan akan membantu mereka kembali mencapai ereksi optimum.

Malangnya, di Asia, perbincangan mengenai ED dan kesihatan berkaitan seks masih dianggap subjek yang patut dijauhi penyedia khidmat penjagaan kesihatan kerana kesan sosial penyakit itu dan pandangan lelaki mengenai isu ini. Kekurangan perbincangan mengenai ED dan ereksi suboptimum perlu diberi perhatian bagi menggalakkan lebih ramai lelaki mendapatkan rawatan untuk masalah dialami, katanya.

Sementara itu, Pengarah Perubatan Pfizer Malaysia, Dr Vicknesh Welluppillai berkata, rawatan ED ditemui 15 tahun lalu dan membuka lembaran baru dalam pengurusan penyakit ini.

Pfizer berbangga memainkan peranan dalam kemajuan perubatan ini dan beriltizam mewujudkan kesedaran serta mendidik mengenai penyakit ini.

Namun, setakat ini golongan lelaki masih was-was dan malu untuk membincangkan isu ini dengan doktor, meskipun ia menjejaskan kualiti hidup mereka.

Mereka terus menderita dalam diam dan tindakan itu menjejaskan kesihatan secara keseluruhan, katanya.

Vicknesh berkata, pihaknya menganjurkan kempen kesedaran berterusan bagi mengetepikan halangan komunikasi bagi lelaki. Isu ED kini semakin serius, terutama dengan peningkatan masalah ini dalam kalangan lelaki muda.

Berdasarkan kajian dan penyelidikan dijalankan baru-baru ini, kita perlu terus berganding bahu dengan penyedia khidmat penjagaan kesihatan untuk menangani masalah ini, katanya.

Menerusi pendidikan sewajarnya serta usaha mengubah tanggapan mengenai ED daripada sejenis penyakit orang tua kepada penyakit gaya hidup, golongan lelaki akan lebih terbuka untuk menerima dan mendapatkan rawatan, seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Rumusannya, lebih tegar ereksi, lebih sihat lelaki. Justeru, sedarilah kepentingan ereksi yang tegar dalam hidup dan kaitannya dengan kehidupan sihat.

Tekanan Darah Tinggi

1. Tekanan Darah Tinggi / Hypertensi

Jantung anda bertugas sebagai alat mengepam dimana ia menguncup dan berehat. Aktiviti ini menghasilkan tekanan yang membawa darah keseluruh badan. Tekanan darah ini berbeza bagi setiap seseorang individu dan bacaannya juga berbeza. Hypertensi atau Tekanan darah tinggi adalah penyakit dalam diam yang mengakibatkan banyak komplikasi dan juga kematian jika tidak dirawat.

  • Di Malaysia, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan II menunjukan peratus kejadian penyakit ini adalah 24%.
  • Lebih 2,800,000 rakyat Malaysia  mempunyai tekanan darah tinggi. Malangnya 80% tidak menyedarinya. Ia merupakan pembunuh No.1 di Malaysia. (Persatuan Hipertensi Malaysia, 16 Sept 2008)
  • Kira-kira 4.8 juta orang atau 43 peratus daripada rakyat Malaysia yang berusia 30 tahun ke atas menghidapi hipertensi (darah tinggi). (The National Health and Morbidity Survey, Jan 2010)

2. Bacaan Tekanan Darah

Jantung anda bekerja seperti sebuah pam yang mengecut dan rehat. Tekanan darah diukur dalam dua bacaan contohnya 140/75

  • Tekanan sistolik-nombor yang diatas (dalam contoh ini 140)
  • Tekanan diastolik- nombor yang bawah (dalam contoh ini 75)
Kategori Sistolik Diastolik
Normal < 120 And < 80
Pra Hypertensi 120- 139 or 80 – 89
Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi Peringkat 1 140 – 159 or 90 – 99
Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi Peringkat 2 > 160 or > 100

3. Penyebab-penyebab Tekanan Darah Tinggi

Penyebab hypertensi selalunya tidak diketahui walaupun selepas pemeriksaan doktor.Walau bagaimanapun hypertensi boleh disebabkan oleh:

  • Cara hidup tidak aktif
  • Umur melebihi 35 tahun
  • Kegemukan
  • Paras kolesterol tinggi
  • Faktor keturunan & Sejarah keluarga
  • Pengambilan alkohol yang berlebihan & merokok
  • Pengambilan garam yang tinggi
  • Ubatan seperti steroid, ubat antiradang bukan steroid
  • Penyakit buah pinggang

4. Tanda dan Gejala Tekanan Darah Tinggi

  • Pengidap Hypertensi/Darah Tinggi kebanyakkannya tidak mengalami sebarang gejala
  • Kadang-kadang seseorang itu hanya mengalami gejala yang tidak spesifik seperti sakit kepala atau pening kepala
  • Sakit kepala boleh berlaku dalam kes Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi. Selalunya ianya berlaku di waktu pagi, bahagian belakang kepala dan rasa berdenyut (bergantung kepada tahap keterukan Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi)
  • Untuk memastikan atau mengesahkan Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi, sila periksa tekanan darah anda di klinik berhampiran. Doktor anda akan menasihatkan berapa kerap anda perlu memeriksa tekanan darah.

Peringatan, jangan tunggu sehingga gejala timbul kerana ia mungkin telah terlambat.

5. Komplikasi Tekanan Darah Tinggi

  • Otak: Serangan Stroke/Angin Ahmar atau Stroke ringan dan sementara (Transient Ischaemic Attack)
  • Penyakit jantung seperti : Kegagalan jantung, serangan jantung dan kematian disebabkan oleh Coronary Heart Disease, Congestive Heart Failure & Left Ventricular Hypertrophy.
  • Komplikasi pada mata: Perdarahan dan kerosakan kepada kawasan yang sensitif dalam mata (Hypertensive Retinopathy)
  • Komplikasi pada buah pinggang: Kegagalan fungsi buah pinggang (paras serum kreatinin tinggi, Microalbuminuria, Proteinuria).
  • Peripheral vascular disease seperti: Aneurysm, Kehilangan satu atau lebih denyut nadi & pembuluh darah menjadi keras.
  • 6. Rawatan Hypertensive / Darah Tinggi

    Tanpa menggunakan ubatan:

    • Perlu mengubah amalan cara hidup andae
    • Amalkan permakanan sihat
    • Kurangkan pengambilan garam dan kolesterol
    • Melakukan senaman berkala
    • Kurangkan berat badan jika berlebihan
    • Atasi tekanan secara berkesan
    • Berhenti merokok

    Kategori tekanan darah normal/optima

    • Galakkan amalan Gaya Hidup Sihat .
    • Dapatkan nasihat untuk berhenti merokok, pemakanan sihat dan aktiviti fizikal yang bersesuaian.

    Pra Hypertensi

    • Amalkan gaya hidup sihat
    • Dapatkan nasihat untuk berhenti merokok, pemakanan dan aktiviti fizikal yang bersesuaian.
    • Periksa semula tekanan darah anda dalam masa setahun

    Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi Peringkat 1

    • Rawatan tanpa ubatan adalah rawatan utama
    • Anda perlu mengubahsuai gaya hidup
    • Amalkan pemakanan sihat
      • Kurangkan pengambilan garam dan kolesterol dalam makanan
    • Lakukan aktiviti fizikal yang teratur
    • Kurangkan berat badan jika berlebihan
    • Atasi tekanan secara berkesan
    • Berhenti merokok
    • Periksa semula tekanan darah anda mengesahkan tiada Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi
    • Jika anda disahkan mengidap Hypertensive/Darah Tinggi, sila ikut nasihat yang diarahkan
    • Dapatkan keterangan lanjut berkaitan Hypertesion/Tekanan darah tinggi

    Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi Peringkat 2

    Gabungan rawatan tanpa ubatan beserta pemberian ubatan diperlukan bagi merawat Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi Peringkat 2

    • Amalkan gaya hidup sihat
    • Berhenti merokok
    • Mematuhi pengambilan ubat dan rawatan susulan
    • Prevent and treat complications early
    • Pengesanan komplikasi terutamanya :
      • Jantung
      • Ginjal
      • Mata
    • Dapatkan keterangan lanjut berkaitan Hypertesion/Tekanan darah tinggi

    *Sebahagian besar maklumat diambil dari website KKM