Terlalu banyak hormon tiroid dirembes boleh sebabkan koma

Tiroid adalah kelenjar yang terletak di leher manusia. Ia antara kelenjar terbesar dalam badan manusia. Kebiasaannya, kelenjar ini tidak kelihatan dan seolah-olah permukaan kulit leher yang meliputi adalah rata. Perlu difahami bahawa, tidak semua bengkak pada leher ialah kelenjar tiroid dan tidak semua kelenjar yang bengkak mempunyai masalah.

Fungsi kelenjar ini ialah untuk merembeskan hormon yang dipanggil hormon tiroid. Iodin ialah komponen utama penghasilan hormon ini. Hormon ialah bahan merangsang tisu badan untuk bekerja.

Dalam kata lain ialah, ia menentukan kadar metabolisme dalam badan. Jika berlaku masalah pada kelenjar itu dan jumlah hormon tiroid ini meningkat, kadar metabolisme dalam badan juga meningkat. Ia dipanggil hyperthyroid, di mana hiper bermaksud lebih.

Di dalam keadaan rembesan hormon ini menjadi berlebihan, kadar metabolisme atau pekerjaan tisu badan menjadi meningkat dan laju.

Ini menyebabkan seseorang itu mempunyai simptom seperti jantung berdebar, sesak nafas, cemas, tangan menggeletar, berpeluh walaupun di dalam cuaca atau persekitaran dingin, gelisah, cepat marah, haid tidak teratur dan susut berat badan dengan mendadak walaupun selera makan bertambah. Ini antara simptom jika berlebihan hormon tiroid.

Masalah utama yang dirisaukan ialah jika hormon ini dirembeskan terlalu banyak secara tiba-tiba. Ini akan menyebabkan jantung menjadi laju, sesak nafas, loya, suhu badan meningkat, keliru dan akhirnya degupan jantung gagal berfungsi dan boleh mengakibatkan koma.

Rawatan kecemasan perlu diberi jika simptom ini berlaku. Keadaan ini dipanggil Thiroid Storm.

Justeru, penting untuk mereka yang disyaki atau mempunyai simptom hyperthyroid tadi untuk membuat pemeriksaan oleh pegawai perubatan atau pakar.

Ujian darah dapat mengesahkan sama ada anda menghidapi masalah berkenaan atau tidak seterusnya dapat mengenal pasti punca hyperthyroid.

Ujian ultrasound atau scan boleh dilakukan jika kelenjar pada leher membengkak atau ujian darah mengesahkan anda menghidapi masalah hyperthyroid.

Selain itu, ujian yang menggunakan cecair iodin juga boleh dijalankan, bergantung pada penilaian klinikal oleh pakar.

Rawatan untuk hyperthyroid berbeza bergantung kepada berapa banyak hormon tiroid yang dirembeskan dan bergantung pada jenis penyebab masalah itu.

Ubat untuk merendahkan paras hormon tiroid serta mengurangkan kadar denyutan jantung biasanya diberi jika perlu untuk mengelak berlakunya thiroid storm.

Pilihan lain ialah dengan membuat pembedahan untuk membuang kelenjar tiroid atau memulakan rawatan khas menggunakan cecair iodin. Selain itu, pesakit dinasihatkan tidak memakan rumpai laut yang kaya dengan kandungan iodin.

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.