Urutan hilangkan tekanan bayi

Foto

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Urutan bukan hanya melegakan sendi otot dan menghilangkan tekanan bagi orang dewasa, tetapi bayi juga memerlukan urutan untuk menjadikan mereka lebih peka terhadap persekitaran, selesa, sihat dan cergas.

Namun di Malaysia, kepentingan urutan kepada bayi masih belum meluas serta tidak ramai ibu bapa tahu mengenai kebaikannya kepada bayi, terutama berusia 18 bulan ke bawah.

Meskipun kebaikan urutan bayi diketahui sejak dulu lagi oleh komuniti, tetapi dokumentasi berkaitan urutan bayi, terutama kesan psikologinya, cuma dikemukakan oleh pakar psikologi, Ruth Rice pada 1975.

Sebelum ini, beberapa jururawat Hospital Bellevue di Amerika Syarikat berjaya mengurangkan kadar kematian bayi daripada 30 hingga 10 peratus hanya dengan melakukan belaian dan sentuhan.

IBU bapa diberi tunjuk ajar teknik betul mengurut bayi.

SITI Musinie bersama Mohd Nasyrah melayan kerenah anak mereka Nafuritil Jannah, 5 bulan, sewaktu Program Urutan Bayi Merdeka 2013 di Tropicana Medical Centre.

Bagi menyebarkan kepentingan urutan kepada bayi, Pusat Perubatan Tropicana mengadakan bengkel Merdeka Baby Massage khusus bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat.

Perunding Urutan Bayi, Ooi Phak Hong berkata, sebahagian ibu bapa di negara ini masih kurang didedahkan dengan kepentingan urutan kepada bayi dan ramai ambil ringan mengenainya.

Ramai ibu bapa hari ini yang bekerja dan sibuk hinggakan tiada masa bersama anak. Namun sibuk bukan alasan dan batasan untuk mereka meluangkan masa bersama bayi, meskipun hanya seketika.

Urutan bayi sebenarnya sangat penting kerana ia boleh merapatkan hubungan di antara ibu dan anak. Sentuhan ibu sangat penting untuk memberikan ketenangan kepada bayi, katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu di Petaling Jaya, Selangor.

Menurutnya, bayi yang mendapat sentuhan dan urutan daripada ibu akan lebih peka dan fokus terhadap sekeliling mereka, sekali gus dapat menghidu bau ibu yang mampu memberi impak positif terhadap perkembangan mereka.

Sentuhan adalah satu daripada cara ibu berkomunikasi dengan bayi mereka. Urutan juga mampu merangsang pengeluaran hormon serotonin yang juga dikenali sebagai terapi gembira yang membantu melega dan memberi ketenangan kepada bayi.

Kajian menunjukkan, urutan bayi dengan cara betul memberi banyak kesan positif, termasuk menggalakkan interaksi antara ibu bapa dan bayi, katanya.

Tambahnya, urutan terbaik dimulakan selepas bayi berusia dua bulan. Ibu bapa yang terlalu sibuk juga boleh melakukannya kerana tidak mengambil masa lama dan dilakukan sekurang-kurangnya sekali sehari.

Urutan seluruh badan bayi boleh dilakukan hanya beberapa minit. Dengan sentuhan hanya beberapa minit itu, anda mampu merapatkan lagi hubungan antara ibu dan anak.

Jika ada ibu bapa yang masih ragu-ragu atau takut untuk mengurut bayi, pastikan anda mendapatkan khidmat nasihat daripada mereka yang terlatih dan mempelajari teknik betul, katanya.

Sementara itu, bagi pasangan Muhammad Nasyrah Ayub, 35, dan Siti Musinie Ulasim, 31, bengkel urutan bayi yang dianjurkan sangat baik dan memberi pendidikan kepada orang ramai.

Saya bersyukur kerana bengkel ini memberi pendedahan dan cara betul mengurut bayi, terutama kepada mereka yang baru bergelar ibu.

Seperti saya yang baru melahirkan anak kedua yang kini berusia lima bulan, saya memerlukan informasi dan pengetahuan mengenai teknik urutan yang betul.

Sebelum ini, saya langsung tidak mempunyai asas dan pengetahuan mengenainya. Sebab itu apabila pihak Tropicana menjemput, saya dengan berbesar hati setuju, katanya.

Jelasnya, apabila menghadiri bengkel urutan, banyak yang dipelajari. Antaranya, teknik dan cara urutan yang betul serta kebaikan yang diperoleh antara ibu dan anak.

Saya harap bengkel ini akan diadakan secara berterusan dan dijadikan acara tahunan kerana sambutan diterima sangat menggalakkan. Ramai ibu bapa yang hadir dan mahu tahu lebih lanjut mengenai bengkel urutan ini.

Di Malaysia, pendedahan mengenai urutan bayi masih kurang berbanding luar negara. Saya juga akan menyarankan pengasuh yang menjaga anak saya mempelajari teknik urutan bayi kerana ia sangat baik untuk kesihatan serta tumbesaran bayi, katanya.

INFO

Kelebihan mengurut bayi

  • Membantu merangsang pembesaran fizikal bayi
  • Menguatkan ketahanan tubuh badan
  • Membina keyakinan diri
  • Melancarkan perjalanan darah dan memperbaiki sistem penghadaman
  • Membantu memudahkan bayi tidur
  • Merangsang aliran oksigen dalam badan
  • Membantu perkembangan fungsi otot
  • Meredakan kesakitan apabila demam
  • Memudahkan penyingkiran bahan toksik
  • Merangsang perkembangan fizikal dan psikologi
  • Membuatkan bayi rasa tenang dan selesa
  • Mengeratkan ikatan kasih sayang antara ibu dan bayi

Artikel berkaitan KH Kopi

Ada soalan? Tinggalkan komen di bawah.